BERBEZA bayi lelaki, ramai ibu bapa ada sedikit keraguan apabila mahu membawa anak perempuan bersunat atau berkhitan hingga ada yang menangguh hingga anak berusia 2-3 tahun.

Jadi, kepada ibu bapa yang ada anak perempuan atau bakal menimang cahaya mata perempuan, boleh baca perkongsian Pakar Sakit Puan, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak dalam status laman Facebook tentang anak perempuan dan khitan.


“Abang, bila nak bawa anak kita bersunat? Lagi awal lebih bagus atau tunggu dulu dia besar? Tapi macam seriau pula. Sakit ke tak ye?”

Ibu bapa yang baru menimang cahaya mata bayi perempuan – ini salah satu persoalan yang pasti bermain dalam fikiran. Kalau anak lelaki bersunat, itu sudah biasalah kan mendengarnya. Tetapi, kalau sunat anak perempuan, masih ada segelintir yang was-was tentang prosedur.

Berkhitan atau bersunat ialah proses yang melibatkan hanya ‘melukakan’ sebahagian kulit pada bahagian atas klitoris. Bahagian yang dilukakan itu sangat kecil dan jauh berbeza dengan proses bersunat lelaki. Jangan ingat sama pula.

HUKUM BERKHATAN ANAK PEREMPUAN DALAM ISLAM

Ada beberapa pendapat utama dalam hukum sunat bayi perempuan yang dibahaskan dalam konteks Malaysia dan Mazhab Syafie, iaitu wajib, sunat dan ada juga mengatakan ia harus.

Bagaimanapun, islam itu mudah, dan tidak diberatkan sekiranya terdapat halangan ataupun kemudaratan terhadap anak tersebut.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21-23 April 2009 membincangkan Hukum Pemotongan Genitalia Wanita (Female Genital Mutilation) bersetuju memutuskan bahawa hukum berkhitan bagi wanita ialah WAJIB. Namun, sekiranya boleh membawa kemudaratan diri, maka perlu dielakkan.

Mari kita perhatikan beberapa perbahasan dan ulasan yang meletakkan hujah amalan berkhitan ini masih diamalkan di kalangan umat Islam. Ia merujuk hadis Khitan anak perempuan dinaskan dalam syariat.

Rasulullah SAW bersabda kepada ‘Ummu ‘Athiyah radhiyallahu ‘anha:

إذا خفضت فأشمي ولا تنهكي فإنّه أسرى للوجه وأحضى للزوج

Apabila Engkau mengkhitan perempuan, sisakanlah sedikit dan jangan potong (bahagian kulit klitoris/kelentit) semuanya, kerana itu lebih boleh membuat ceria wajah dan lebih disenangi suami.”

Kitab Fiqh Islami menghuraikan bahawa khitan adalah sunat bagi lelaki dan perkara yang elok bagi perempuan menurut mazhab Hanafi dan Maliki. Menurut Mazhab Syafie dan Hambali hukumnya WAJIB bagi lelaki dan perempuan.

Bilakah nak sunatkan bayi perempuan?

Umur seawal mungkin ialah lebih sesuai sunat bayi perempuan. Selalunya, pasangan akan membawa bayi mereka untuk disunatkan selepas selesai tempoh berpantang.

Tiada had umur, tetapi saya secara peribadi memilih bayi perempuan yang umur kurang setahun – senang untuk kawal dan pulih cepat.

Macam mana sunat bayi perempuan? Kena jahit ke atau macam sunat laki?

 

Berkhitan anak perempuan berbeza dengan anak lelaki yang mana proses lebih mudah dan cepat. Prosesnya melibatkan melukakan sebahagian kecil selaput kulit pada bahagian atas saluran kencing yang menutupi klitoris. Ini patut dilakukan sesedikit mungkin supaya tidak akan mencacatkan ataupun mencederakan.

Ulama juga menegaskan bahawa khitan perempuan tidak boleh dilakukan secara berlebihan seperti memotong hingga boleh mengakibatkan kemudaratan.

Kalau diikutkan, prosedurnya tidak sampai 5 minit atau kurang. Ia menggunakan peralatan perubatan moden yang bebas kuman – saya gunakan jarum halus yang disteril dan bebas kuman serta bayi tidak perlu suntikan bius.

Sebelum bawa bayi perempuan anda bersunat:

Ibu bapa perlu memastikan keadaan kesihatan bayi ialah baik. Maksudnya, tangguhkan dahulu sekiranya anak demam, batuk atau ada masalah kesihatan lain.

Dapatkan nasihat doktor sekiranya ada sebarang keraguan berhubung kesesuaian umur anak dan keadaan kesihatan. Sebaiknya, carilah doktor berpengalaman dan mahir mengendalikan proses ini.

Ada penjagaan khusus ke lepas sunat?

Berbanding berkhatan lelaki, sunat anak perempuan ini biasanya mengambil masa yang sangat cepat untuk pulih. Malah, ada bayi perempuan yang boleh bergerak aktif walaupun baru selepas dikhitankan.

Lazimnya selepas ditekup dengan kapas, darah sudah tidak mengalir lagi dan tidak perlu risau jika bayi nampak selesa dan aktif seperti biasa.

Tidak ada pantang apa-apa ye.

Akhir kata, berkhitan atau sunat bayi perempuan memberi manfaat kepada seseorang kerana ia adalah sesuatu yang disunnahkan dan sangat dituntut.

Khitan juga dapat membawa kesempurnaan agama, keindahan dan meluruskan syahwat.

Khatan ialah sunnah kepada lelaki dan kehormatan kepada wanita.” (Direkodkan Al-Baihaqi)

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda