BARU-BARU ini, seorang wanita meninggal dunia selepas melahirkan anak disebabkan darah beku dalam paru-paru atau lebih dikenali sebagai Pulmonary Embolism.

Keadaan ini biasa berlaku kepada wanita selepas bersalin dan berbahaya hingga boleh menyebabkan kematian kepada ibu secara senyap.

Berikut adalah kisahnya yang dipetik dari Kosmo.

BACA>>> Jangan Ambil Mudah Darah Beku di Betis Ibu Hamil!

ANAK SULUNG TIDAK MAHU MAKAN DAN MINUM SUSU SELEPAS IBU MENINGGAL

“Teringat lebih daripada teringat, dua tiga hari tidak mahu makan dan minum susu. Dia berlari ke dapur mencari ibunya lepas itu menangis kerana tidak jumpa.”

Demikian ujar seorang jurutera kilang di Alor Gajah, Melaka, Mohd Hasbullah Mohamed Yasin, 32, menceritakan keadaan anak perempuan sulungnya, Nurul Huwaina Arissa berusia setahun empat bulan selepas kehilangan ibu 10 hari lalu.

Lebih menyedihkan, wanita itu, Nurul Shuhadat Mohd Daud, 32, seorang ustazah dari Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak, Melaka meninggal dunia semasa melahirkan anak keduanya, Muhammad Hayyan di Hospital Besar Melaka.

Bayi lelaki tersebut selamat dilahirkan secara normal dengan berat 3.17 kilogram pada pukul 12.21 tengah malam pada 22 Disember lalu.

Mohd Hasbullah berkata, selepas kejadian tersebut, anaknya, Nurul Huwaina Arissa begitu merindui arwah isterinya yang mesra dengan panggilan ‘mama’.

“Nurul Huwaina memang rapat dengan ibunya. Setiap malam dia akan tidur berpelukan dengan arwah isteri. Dia masih kurang mengerti bahawa ibunya sudah pergi buat selama-lamanya. Dua ke tiga hari selepas ibunya meninggal dia tidak lalu makan dan minum susu.

“Dia berlari ke dapur mencari ibunya, melihat ke kerusi yang selalu ibunya duduk tetapi tidak berjumpa. Selepas itu dia akan menangis kerana tidak jumpa. Malah, apabila terjaga pada tengah malam dia akan memanggil mamanya,” katanya.

TIBA-TIBA KOMA SEBELUM MENINGGAL DUNIA

Menceritakan semula detik tersebut, Mohd Hasbullah berkata, keadaan isterinya stabil selepas melahirkan zuriat mereka dan arwah beriya-iya mahu memberikan nama kepada bayi lelaki itu.

“Saya sempat azan dan iqamat di telinga anak kedua kami sebelum doktor mengarahkan saya keluar untuk prosedur seterusnya. Kira-kira pukul 2 pagi, pihak hospital memaklumkan keadaannya stabil dan perlukan rehat.

“Kira-kira pukul 3 dia koma dan terus tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia. Doktor memberitahu punca kejadian berpunca daripada darah beku menyerang paru-parunya,” ujarnya tenang.

Jenazah isterinya dibawa pulang ke kampung halaman dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Selehor, Kok Pasir.

Katanya, dia kini bercadang untuk mencari kerja di Kelantan selepas ini bagi memastikan kedua-dua anaknya mendapat perhatian dan kasih sayang secukupnya semasa membesar.

“Isteri ini jodoh yang baik dengan saya, dia amat mengambil berat tentang saya. Sifat penyayangnya itu terhadap keluarga ini akan sentiasa dirindui. Dia pergi dalam keadaan mengejut namun saya tetap reda.

“Ini dugaan ketiga buat keluarga saya, pada Mac tahun lalu bapa saya, Mohamed Yasin Mohamed meninggal dunia diikuti kakak sulung, Norhayati pada Ogos lalu meninggal akibat demam denggi berdarah di Hospital Selayang,” katanya.

BACA>>> Doktor: Kenapa Ibu Bersalin Wajib Ambil Suntikan Cair Darah?

MENINGGAL SELEPAS BERSALIN TERGOLONG DALAM SYAHID KECIL

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, kematian Nurul Shuhadat itu kerana melahirkan anak tergolong dalam golo­ngan syahid kecil.

Beliau berkata, mati syahid ini menurut Islam terbahagi kepada dua iaitu syahid besar dan syahid kecil manakala kaum wanita yang meninggal dunia kerana melahirkan anak termasuk dalam kalangan para syuhada.

“Bukan sahaja wanita meninggal dunia semasa melahirkan, malah mati lemas, kemalangan, mati dalam kebakaran juga dianggap sebagai syahid kecil.

“Cumanya jenazah mereka yang syahid kecil ini perlu diuruskan se­perti biasa berbeza dengan golongan yang gugur di medan perang ketika berjuang membela Islam (syahid besar),” katanya.

SUMBER: Kosmo

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda