KETIKA hamil, kita digalakkan bergerak aktif supaya badan kekal sihat dan cergas. Antara gerakan paling membantu ialah senaman ringan berupa kerja rumah.

Tetapi ingat, ada beberapa kerja rumah yang perlu dielakkan sepanjang kehamilan. Kalau semangat rajin datang tiba-tiba pun biarlah berpada-pada. Selepas baca artikel di bawah ini, janganlah pula ambil peluang bermalas-malasan di rumah.

1. BERSIHKAN NAJIS KUCING

Kalau ada kucing, aktiviti membersihkan tempat tinggal dan najis kucing perlu dielakkan sepanjang kehamilan kerana takut mendapat jangkitan Toksoplasmosis, iaitu parasit Toxoplasma Gondii. Parasit boleh sampai hingga plasenta dan janin.

Ibu hamil boleh mendapat jangkitan ini ketika makan, atau menyentuh hidung dengan tangan tidak bersih selepas membersihkan najis kucing.

Jika tersilap langkah, anak dalam kandungan boleh mengalami kecacatan serius pada mata dan otak. Ini termasuk meningkatkan risiko bayi menderita epilepsi dan lebih berbahaya, risiko keguguran.

2. ANGKAT BERAT

Jangan sesekali mengangkat berat atau memindahkan benda berat sepanjang kehamilan kerana perubahan hormon menyebabkan ligamen lemah dan membuatkan sakit otot.

Menurut doktor, perbuatan mengangkat barang berat boleh menyebabkan pendarahan, kelahiran pramatang dan air ketuban pecah.

3. BERDIRI TERLALU LAMA

Melakukan kerja rumah kadangkala memerlukan kita berdiri lama seperti memasak. Tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh memasak. Memasaklah sambil duduk atau mungkin menyediakan makanan mudah dan cepat.

4. BAHAN KIMIA

Proses membersihkan rumah memerlukan kita menggunakan bahan kimia seperti pembersih tandas dan lantai, atau mungkin menggunakan produk anti serangga. Jangan buat perkara ini kerana bahan kimia dalam produk itu tidak selamat bagi kesihatan janin.

Nota: Boleh gunakan bahan pembersih daripada baking soda dan cuka untuk membersihkan rumah. Banyak Manfaatnya.

5. TEMPAT TINGGI

Jangan sesekali berniat membersihkan kipas sepanjang kehamilan atau apa saja tempat tinggi kerana dikhuatiri terjatuh akibat kurang keseimbangan badan. Badan semakin besar, maka tidak hairanlah, keseimbangan makin berkurangan.

Jadi, mintalah bantuan suami untuk melakukan kerja membersihkan kawasan tinggi sepanjang 10 bulan kehamilan kita.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda