SEMALAM 2 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Selangor diarah tutup oleh Kementerian Kesihatan berikutan jangkitan wabak beguk yang semakin meningkat di sekolah berkenaan.

Rentetan kes tersebut menjadi tanda tanya bagaimana wabak beguk ini terjadi dan meningkat sedangkan vaksin MMR telahpun diberikan kepada bayi seawal 9 bulan.

Berikut adalah penjelasan Dr Amirul Amzar tentang wabak beguk untuk rujukan semua. Semoga bermanfaat.

BACA>>>  Kenapa Penyakit Beguk Terjadi? Kenali Punca dan Simptom

PENULARAN WABAK BEGUK (MUMPS)

Mumps atau beguk adalah sejenis jangkitan virus pada kelenjar air liur. Virus ini menular melalui udara dan sentuhan terutamanya batuk dan bersin. Virus ini menyebabkan bengkak pada kelenjar air liur dan berpotensi menyebabkan pelbagai komplikasi.

Antara komplikasi yang biasa berlaku adalah kecacatan pendengaran, bengkak pada testis atau ovari, bengkak selaput otak dan bengkak tisu otak. Dan bengkak pada testis dan ovari ini boleh menyebabkan KEMANDULAN.

Komplikasi-komplikasi ini lebih cenderung berlaku pada golongan dewasa yang dijangkiti. Namun, kanak-kanak yang dijangkiti masih terdedah kepada risiko ini. Oleh itu, tindakan mengkuarantinkan pesakit beguk adalah amat penting.

Mumps boleh dicegah dengan pengambilan vaksin MMR yang dijadualkan pada usia 9 bulan serta 12 bulan. Vaksin ini mempunyai keberkesanan melindungi jangkitan mumps setinggi 96 peratus.

BAGAIMANA BERLAKUNYA PENINGKATAN WABAK BEGUK

Antara faktor yang menyebabkan peningkatan kes mumps di Malaysia adalah peningkatan golongan antivaksin. Golongan ini menolak vaksin seterusnya meruntuhkan herd immunity.

Bagi mempunyai perlindungan kelompok yang berkesan terhadap mumps, peratusan vaksinasi perlulah mencapai 75-86 peratus. Jika semakin ramai yang menolak vaksin, peratusan ini semakin sukar dicapai dan wabak akan mula berlaku.

Ada ibu bertanya, anak saya sudah pernah ambil vaksin tetapi masih kena beguk. Perlu difahami keberkesanan vaksin MMR untuk mumps adalah 96 peratus, bukan 100 peratus. Bermakna walaupun sudah ambil vaksin, masih ada risiko sebanyak 1-5 peratus dalam kalangan yang mengambil vaksin, antibodi yang dibentuk tidak mencukupi untuk melindungi daripada jangkitan ini.

JADI BAGAIMANA MAHU PASTIKAN PERLINDUNGAN TERCAPAI?

Jawapannya adalah dengan memastikan herd immunity tercapai. Herd immunity berfungsi untuk melindungi kelompok yang mengambil vaksin tapi gagal menghasilkan antibody (1-5 peratus) serta ia juga melindungi mereka yang tidak boleh mengambil vaksin seperti kurang daya tahan disebabkan kemoterapi atau alahan komponen vaksin yang teruk.

Oleh itu, tindakan antivaksin menolak vaksin bukan sahaja membahayakan diri mereka, malah menyebabkan risiko pada orang lain walaupun orang lain itu telah divaksin.

Oleh itu, saya menyarankan kita menyeru rakan-rakan kita yang antivaksin untuk sama-sama kembali menjalankan tanggungjawab mereka dan memperkasakan semula herd inmunity.

BACA>>> 5 Salah Faham Tentang Suntikan Vaksin yang Kita Perlu Tahu

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda