”DOKTOR, kedudukan bayi saya normal atau songsang? Boleh tak dibetulkan supaya saya boleh bersalin normal?”

Inilah antara soalan yang kerap kali diterima doktor sakit puan daripada ibu hamil yang mempunyai kedudukan bayi songsang atau breech baby.

Kerisauan itu, kadangkala tidak dinafikan ada yang melakukan urutan tradisional yang dikatakan mampu membetulkan kedudukan bayi dalam rahim kepada keduduk normal.

Bagaimanapun, perkara itu berbahaya dan boleh mendatangkan kematian kepada ibu dan bayi. Kepada ibu hamil yang masih tidak tahu perkara tersebut, kami kongsikan artikel mengenai ibu hamil dan bayi songsang.

MINGGU BERAPAKAH BAYI DIKATEGORIKAN SEBAGAI SONGSANG

Hampir 40 peratus bayi ketika usia kandungan 26-34 minggu berposisi songsang dalam rahim. Ini perkara biasa dan tidak mendatangkan apa-apa masalah kepada ibu dan bayi kerana pada usia kandungan ini, ibu belum lagi boleh bersalin melainkan ibu bersalin awal masa. Bayi berposisi songsang kerana pada masa ini, isipadu air ketuban ialah pada tahap maksimum, dan bayi lebih mudah terapung dan banyak bergerak.

Hanya 5-6 peratus bayi sahaja yang akan terus berposisi songsang apabila sudah cukup bulan (> 38 minggu). Selepas tahap ini, bayi sudah padat dan isipadu air ketuban menurun.

Jadi, bayi tidak dapat berpusing membetulkan kedudukannya lagi. Kemungkinan besar dia akan lahir secara songsang juga. Ada juga yang tidak boleh berpusing balik kerana terlilit tali pusat atau tali pusatnya pendek, jadi sukar untuk dia pusing.

BOLEHKAH BAYI SONGSANG LAHIR SECARA NORMAL?

Kajian ‘Breech Trial’ pada 2005 melaporkan kadar kematian bayi dan bilangan bayi yang cacat otak akibat asphyxia menurun jika bayi berkedudukan songsang dilahirkan secara pembedahan caesarean terancang berbanding jika bayi lahir secara normal.

Susulan kajian ini, doktor dari negara maju dan membangun, memilih untuk tidak membenarkan ibu melahirkan bayi berkedudukan songsang secara normal. Jadi hampir semua ibu yang mempunyai bayi berposisi songsang akan dilahirkan secara pembedahan caesarean.

APAKAH SEBAB BAYI DALAM KEDUDUKAN SONGSANG?

  • Uri di bawah
  • Pendek tali pusat
  • Bayi tidak normal
  • Terlalu banyak air tetuban
  • Fibroid yang menyekat kaviti rahim

ADAKAH BERURUT MAMPU BETULKAN POSISI BAYI SONGSANG?

Urut untuk membetulkan posisi bayi yang bidan kampung boleh membawa bahaya kepada bayi dan kematian. Ini kerana bidan tiada pengetahuan tentang sebab bayi berposisi songsang seperti tertera di atas.

Jika posisi bayi dibetulkan secara paksa, ia boleh menarik tali pusat dengan kuat dan menjadi tegang lalu putus dalam rahim. Uri juga boleh tertanggal dari rahim menyebabkan pendarahan teruk hingga menyebabkan kematian ibu dan bayi.

APA ITU PROSEDUR EXTERNAL CEPHALIC VERSION (ECV)

ECV ialah prosedur doktor akan membetulkan posisi bayi ibu dari songsang ke posisi normal apabila cukup bulan. Prosedur ini dibuat di bawah pemerhatian imbasan ultrasound dan persediaan bilik bedah.

Jika ada berlaku komplikasi kepada bayi ketika pemusingan itu dibuat, ibu akan terus di bedah untuk menyelamatkan bayi. Namun, jika posisi bayi dapat dipusingkan balik seperti normal, hampir 60 peratus hingga 80 peratus terpaksa juga menjalani pembedahan ceasarean kerana sebab-sebab lain antaranya cervical os tidak membuka dan bayi lemas.

SUMBER: DrSharifah

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda