SEBAGAI ibu bapa kita sering melakukan kesilapan yang tanpa sedar boleh menguris perasaan anak sekali gus meninggalkan kesan kepada mereka.

Memang tidak mudah untuk menjadi ibu bapa yang berjaya dalam mendidik anak tetapi kita boleh perbaiki diri sendiri dan elakkan 7 perbuatan ini dalam berhadapan karenah anak-anak.

Berikut adalah perkongsian Maznah Ibrahim untuk perkongsian bersama ibu bapa agar mengubah kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini.

1. TIDAK RESPON KEPADA ANAK

Sedar atau tidak, kerap kali kita sebagai ibu ayah tersilap dengan terus react kepada perkara yang disampaikan oleh anak. Pada kebiasaannya, kita langsung memarahi anak atau terus membuat judgement kepada perkara tersebut tanpa respon kepada mereka.

Usah terburu-buru react dan membuat penilaian. Beri respon dengan bertanyakan kepada mereka perkara yang sebenarnya terjadi, tunjukkan rasa empati kita dengan situasi tersebut dan jelaskan kepada mereka tentang perkara itu.

BACA>>> 6 Tip Marahkan Anak dan Buatkan Dia Makin Hormat Ibu Bapa

2. BERWAJAH SERIUS DENGAN ANAK

Kita mungkin tidak sedar yang kita sering kali berwajah serius dan masam apabila berhadapan dengan anak-anak. Kesannya, apabila kita ingin menegur anak, mereka akan menjadi takut untuk bercakap atau bercerita.

Mulai hari ini, serlahkan wajah baik kita yang manis dengan senyuman kepada anak dan pandang matanya apabila ingin berbicara. Dengan cara ini, anak akan rasa lebih relaks untuk bercerita, mudah menerima teguran dan lebih bersedia untuk mendengar nasihat kita.

3. PERATURAN KITA BERCAKAP DAHULU

Sesetengah ibu ayah tidak membenarkan anak bercakap terlebih dahulu. Konsep mereka adalah ibu ayah bercakap dahulu, kemudian baru anak boleh bercakap.

Peraturan ini tanpa disedari sebenarnya boleh membantutkan hasrat anak untuk bercerita tentang perkara sebenar kerana dikhuatiri akan dibangkang serta dimarahi oleh ibu ayah.

Praktikkan konsep yang lebih baik iaitu konsep give first dengan mendengar terlebih dahulu cerita anak. Setelah selesai anak bercerita, barulah kita pula bercerita dan berbicara padanya.

4. BERKATA TIDAK BOLEH ATAU NO TANPA TELITI PERMINTAAN ANAK

Melihat kepada pengalaman atau momen lampau anak, kerap kali kita sebagai ibu ayah berkata ‘tidak boleh’ atau ‘no’  tanpa memahami seluruh makna permintaan anak.

Sebagai alternatif, katakan YA atau BOLEH kepada permintaan anak, kemudian baru diselitkan dengan TAPI untuk perkara yang kita tidak benarkan.

Sebagai contoh, jika anak minta untuk bermain di taman permainan serta membeli mainan atau ‘junk food’  di sana, ibu ayah boleh berkata begini :

“Abang boleh bermain di taman permainan, tetapi kita tidak boleh beli mainan dan makanan manis, Papa dah bawakan air masak dan bekalan buah untuk abang”.

Bukan sekadar berkata ‘tidak boleh’ atau ‘no’.  Kita seharusnya teliti permintaan anak serta jelaskan dengan baik perkara yang kita benarkan dan tidak benarkan.

5. LUPA PUJI ANAK SEBELUM TEGUR

Kita sering kali terlupa untuk memuji kebaikan atau kelebihan anak sebelum menegur mereka. Pada kebiasaannya, kita terus menegur kesilapan anak sehingga terlupa untuk memuji niat sebenar dan bakat anak bijak ini.

Seeloknya, puji anak terlebih dulu setiap kali sebelum menegurnya. Sebagai contoh :

“Bagus, kakak berani kacau air panas ni, tetapi kacau dengan perlahan agar air tidak tertumpah.”

“Berani dan kreatif abang bergayut dalam kereta, tetapi kita hanya boleh bergayut di taman permainan, lebih selamat berbanding di dalam kereta.”

“Pandai adik mengecat, tetapi berhati-hati ya adik agar tidak terlanggar cat sehingga tertumpah.”

Dengan cara ini, anak akan berasa diri mereka dihargai dan akan lebih berhati-hati agar kesilapan yang sama tidak berulang lagi.

6. LUPA PELUK ANAK

Dalam kesibukkan kita melakukan tugasan harian, kita terlupa untuk menghadiahkan pelukan lama yang ‘powerful’  untuk anak-anak. Alasan kita adalah masa yang kita ada sangat terhad.

Sekiranya kita benar-benar sibuk, satu pelukan yang berkualiti setiap hari juga sudah memadai. Peluk anak minima 16 saat, buat sekurang-kurangnya 1 kali sehari. Kemudian, kita boleh tambah bilangannya kepada 3 hingga 5 kali sehari.

Ayuh sasarkan untuk peluk setiap anak, setiap hari, sebaiknya pada waktu pagi sebagai permulaan hari yang hebat untuk mereka.

BACA>>>  7 Cara Lain Beri Ganjaran Kepada Anak, Bukan Beli Mainan Saja

7. LUPA BERDOA UNTUK ANAK SEBELUM TIDUR

Tidak dinafikan, kerap kali kita sebagai ibu ayah hanya berdoa untuk anak ketika usai solat sahaja dan anak tidak mendengar perkara yang didoakan untuknya itu.

Pada waktu malam pula, mungkin juga anak-anak tidur dengan membaca doa sebelum tidur sahaja, tanpa mesej untuk mereka memperkukuh tingkahlaku baik mereka pada keesokan hari.

Amalkan untuk turut mendoakan anak sebelum anak tidur pada waktu malam sambil didengari oleh anak. Sebutkan hasrat kita kepada anak dengan menyebut perkataan yang positif agar anak tahu perkara yang kita mahukan daripada mereka.

Sebagai contoh, apabila kita mahu anak bangun pagi dengan ceria, tersenyum gembira dan tidak menangis, sebelum tidur pada waktu malam, ibu ayah boleh katakan begini kepada anak :-

“Ammar senyum bangun pagi esok, Ammar gembira nak ke sekolah esok, Ammar solat Subuh awal pagi esok, Ammar cepat siap ke sekolah.”

Semoga dengan penutup hari sebegini, ianya bakal membangkitkan emosi positif dalam diri anak apabila anak bangun pagi setiap hari.

BACA>>> Amalkan Doa Ini Jika Hati Rasa Berat Tinggalkan Anak di Rumah Pengasuh

SUMBER: Bidadari

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda