MENJELANG Ramadan ramai orang mengadu mengidap gastrik teruk. Sakit ulu hati rasa seperti membakar. Hanya pesakit gastrik saja yang tahu.

Bagaimanapun, gastrik bukan alasan ponteng puasa. Ada beberapa pantang larang dan perkara yang boleh kita lakukan bagi mengelakkan gastrik berlaku ketika berpuasa.

Berikut perkongsian jururawat bertauliah, Bel Nawhen berhubung perkara yang perlu dielakkan pesakit gastrik supaya kita boleh berpuasa tanpa perlu rasa bimbang.


SAYA GASTRIK DOKTOR!

Berpuasa dan gastrik tidak dapat dipisahkan. Malah kebanyakan kes dijumpai sepanjang saya jadi jururawat ialah gastrik di bulan puasa.

Gastrik ialah penyakit yang sering dikaitkan dengan pedih ulu hati. Bagaimanapun, dari segi istilah perubatan, ia dikenali sebagai radang yang berlaku di lapisan permukaan perut.

Ia biasanya disebabkan sama ada jangkitan kuman Helibactor Pylori, alahan, pengambilan ubatan seperti ubat tahan sakit ataupun tabiat merokok.

Tanda-tanda penyakit gastrik ialah rasa sakit di ulu hati, kembut perut, rasa loya dan diikuti muntah-muntah.

Bagi mendiagnosis seseorang mempunyai penyakit gastrik, pengesahan daripada doktor adalah perlu supaya mereka dapat mengenal pasti faktor penyebab berlaku penyakit itu.

Selain itu, beberapa pemeriksaan terperinci akan dilakukan seperti endoskopi, iaitu memasukkan tiub berkamera melalui mulut terus ke lapisan duodenum dan perut pesakit (OGDS). Tujuan dilakukan pemeriksaan ini adalah untuk melihat radang dalam perut atau tujuan pengambilan sampel ujian.

PERKARA YANG BOLEH DIAMALKAN PESAKIT GASTRIK KETIKA PUASA

1. MAKAN DALAM KUANTITI SEDERHANA

Berbuka puasa dalam kuantiti sederhana dan jarakkan pengambilan pemakanan. Contohnya, berbuka dengan buah kurma dan segelas air seterusnya solat maghrib dahulu.

2. MAKAN NASI SEPARUH

Makan nasi separuh pinggan dan ambil lauk seperti ikan stim berserta sayuran dan buah-buahan. Selesai tarawih, makan buah-buahan, biskut, oat atau roti. Seeloknya segerakan berbuka dan melewatkan waktu bersahur.

Bagi yang ada gastrik elok elakkan:

  • Makanan bergoreng
  • Makanan di dalam tin – kerana kandungan asid tinggi
  • Minuman bergas
  • Makanan yang ada asid tinggi – contohnya limau, oren dan tomato
  • Merokok
  • Minuman tinggi kandungan kafein seperti teh, dan kopi
  • Tidur sebaik sahaja selesai sahur atau berbuka
  • Berbuka dalam kuantiti banyak

Bagi pesakit dalam rejim ubatan, pesakit dinasihatkan mengambil ubat yang diberikan ketika sahur untuk ambilan sekali sehari.

Ketika berbuka dan sahur untuk ambilan dua kali sehari.

Anda perlu tahu bahawa makan makanan yang dipanggang lebih baik daripada digoreng.

Dan anda perlu minum air kosong sekurang-kurangnya 2.5 liter sepanjang malam  Ramadan.

Anda dinasihatkan untuk minum air susu atau air buahan yang tidak berasid, contohnya pisang ketika sahur.

Mengalami gastrik tidak menghalang anda daripada berpuasa. Gastrik juga bukan alasan tidak berpuasa.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda