ADA macam-macam gaya mak ayah mahu cabut gigi susu anak di rumah. Paling popular ialah menggunakan benang yang direntap dengan tangan. Paling klasik, tambatkan benang pada tombol pintu rumah sebelum daun pintu ditutup hingga menyebabkan gigi anak tercabut keluar. Memang tragis!

Tetapi sebenarnya, semua cara di atas bukan teknik yang betul hendak mencabut gigi anak dengan selamat. Malah, tindakan mencabut gigi terlalu awal sebelum tiba masanya boleh menyebabkan kesakitan melampau, pendarahan dan jangkitan kuman.

Berikut beberapa langkah betul untuk mencabut gigi anak di rumah:

LANGKAH SEBELUM MENCABUT

1. PERIKSA KEADAAN GIGI

Sebelum cabut, periksa keadaan gigi sama ada perlu cabut atau tidak.

  • Minta anak goyang gigi dengan lidah, pastikan gigi boleh ke kiri, kanan, depan dan belakang.
  • Minta anak goyang sendiri gigi dengan jari. Pastikan tangan bersih sebelum dimasukkan ke dalam mulut.
  • Kalau senang sangat digoyang, sekarang boleh teruskan langkah kedua.

2. RASA SAKIT ATAU TIDAK?

Gigi yang boleh dicabut kebiasaannya tidak akan sakit bila digoyang. Sewaktu anak menggoyang gigi, tanya sama ada rasa sakit atau ok. Kalau rasa sakit, maknanya JANGAN cabut lagi.

3. PERIKSA PENDARAHAN

Ketika anak menggoyangkan gigi, perhatikan kalau ada darah keluar. Jika ada darah, maknanya gigi belum boleh cabut.

PROSES MENCABUT

1. HENDAK CABUT ATAU TIDAK?

Tanya anak sama ada hendak cabut atau tidak gigi, dan biarkan mereka betul-betul bersedia. Kalau anak sudah sedia, ikut langkah seterusnya.

2. CABUT GIGI

Cuci tangan dengan sabun dan pastikan bersih untuk mengelak jangkitan atau penyakit. Lebih baik gunakan sarung tangan steril (kalau ada).

3. MESTI TENANG 

Pastikan anak dalam keadaan tenang sebelum kerja mencabut mula. Anak tidak boleh bergerak ketika gigi dicabut.

4. KERINGKAN GUSI

Keringkan bahagian gigi yang perlu dicabut. Air liur yang terlalu banyak akan menyukarkan kerja mencabut gigi. Gunakan bola kapas, kain kasar atau tisu untuk lap kawasan sekitar mulut.

5. PEGANG GIGI 

Pegang gigi dengan kain bersih menggunakan ibu jari dan jari telunjuk. Untuk kurangkan risiko jangkitan, pastikan pakai kapas supaya jari tidak terkena gusi.

6. PEGANG DAN CABUT DENGAN KUAT

Cabut secara pantas untuk elak anak meronta atau duduk tidak diam. Boleh gerakkan gigi secara putaran sebelum dicabut.

Sekiranya gigi tidak tercabut selepas ditarik kuat, jangan teruskan kerana risau anak akan rasa sakit. Cuba lagi selepas beberapa hari.

7. HENTIKAN PENDARAHAN

  • Ambil kain kapas steril yang bersih dan tekan rongga gigi dengan jari telunjuk dan ibu jari.
  • Minta anak gigit kain kapas selama 10 minit.

8. KUMUR AIR GARAM

Selepas selesai semua proses diatas, sediakan air garam untuk kumur supaya tidak dijangkiti kuman.

  • Larutkan dua sudu besar garam ke dalam segelas air suam.
  • Minta anak kumur 30 saat dan pastikan anak tidak tertelan air garam.

TIPS TAMBAHAN

  • Ketika mencabut, pastikan dibuat dengn pantas supaya anak tidak sakit.
  • Beri anak minum air sejuk, ais krim, atau apa saja makanan sejuk supaya gusi kebas sebelum mencabut.
  • Minta anak tundukkan sikit muka ke depan selepas mencabut gigi, supaya tidak tertelan darah.
  • Anak yang berumur 7 tahun ke bawah seeloknya dibawa berjumpa doktor dan jangan cabut sendiri di rumah.

AWAS!

  • Jika pendarahan berlaku lebih 15 minit dan rasa sakit, segera jumpa doktor.
  • Jangan guna cara mengikat gigi kerana boleh menyebabkan bengkak, pendarahan yang tidak sepatutnya, dan masalah serius lain.
  • Gigi yang belum sedia dicabut tidak boleh dipaksa kerana boleh menyebabkan kesakitan melampau.

Selamat mencuba!

SUMBER: ColgateFamilyEducation dan DeltaDentalins

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda