PERNAH dengar mengenai Pencegahan Kehamilan Kecemasan (Emergency Contraception)? Kaedah ini merujuk kepada situasi melakukan hubungan seks tanpa sebarang pelindung atau tanpa menggunakan kaedah pencegahan kehamilan dan pada masa sama kita belum bersedia hamil.

Kaedah ini tidak disarankan dan tidak sesuai untuk suami isteri yang sedang merancang kehamilan. Jika boleh, gunakan kaedah pencegah kehamilan yang lebih tepat mengikut nasihat doktor.

Bagaimanapun, dalam kes tertentu, suami isteri yang terlupa atau alpa (atau terlanjur?) tanpa sebarang pencegahan masih boleh menggunakan kaedah ini sebagai Plan B bagi mengelak kehamilan seterusnya.

BILAKAN ‘PENCEGAHAN HAMIL KECEMASAN’ DIPERLUKAN?

1. Selepas melakukan hubungan seks tidak terlindung atau tidak menggunakan sebarang kaedah pencegah hamil.

2. Apabila terjadi insiden kegagalan kontraseptif ketika melakukan hubungan seks seperti berikut:

  • Kondom pecah atau tertanggal ketika seks
  • Terlupa mengambil pil perancang 3 hari berturut-turut
  • Gagal withdrawal – pancut luar
  • Pasangan yang jarang melakukan hubungan seks
  • Mangsa rogol
  • Melakukan seks rambang tanpa pelindungan

JENIS PENCEGAHAN HAMIL KECEMASAN

  1. Pil after morning – postinor (boleh didapati di farmasi)
  2. Pil kontraseptif oral (OCP) – (dos tinggi – rejim yuzpe)
  3. Alat dalam rahim (IUCD)

CARA PENGAMBILAN 

1. POSTINOR

Lebih dikenali sebagai pil after morning dan boleh di dapatkan di farmasi. Postinor ialah pil hormon progestogen (levanogestrel), yang boleh diambil terus sebanyak 1.5mg, iaitu 2 biji selepas seks dalam jangka masa 120 jam (5 hari). Ia juga boleh di ambil 0.75mg (1 biji) 2 kali dalam masa 12 jam setiap biji.

Pil ini boleh menghalang kehamilan dengan melambatkan atau mencegah proses ovulasi dan menebalkan cervical mucus serta mengurangkan kebolehan sperma untuk mensenyawakan telur. Postinor tidak dapat menghalang kehamilan jika proses implantasi sudah berlaku dan tidak dapat menyebabkan keguguran.

Keberkesanan: Hampir 52-94 peratus kehamilan dapat dicegah.

Adakah selamat? Postinor selamat digunakan dan jika kehamilan gagal dicegah, ia tidak boleh menyebabkan keguguran atau kecederaan kepada bayi. Antara kesan sampingan ialah rasa mual dan muntah.

2. PIL KONTRASEPTIF ORAL (OCP)

Boleh digunakan sebagai pil perancang keluarga (Mercilon, Gynera, Marvelon). Tetapi disebabkan dos progestogen setiap pil rendah, dan bagi mendapat kesan pencegahan kehamilan, kita harus mengambil 5-6 biji pil dalam masa 12 jam selepas hubungan seks. Kesannya sama seperti pill Postinor.

3. ALAT DALAM RAHIM (COPPER BASED IUCD)

Jika kita tidak mahu mengambil ubat hormon atau hubungan seks itu sudah berlaku lebih 5 hari, IUCD boleh digunakan sebagai langkah pencegahan hamil.

WHO telah mencadangkan copper bearing IUD dimasukkan dalam masa lima hari selepas hubungan seks tidak terlindung. Ini ialah satu kaedah ideal untuk wanita yang ingin meneruskan pemakaian IUCD sebagai langkah pencegahan kehamilan sebelum dia bersedia untuk hamil.

IUCD mencegah persenyawaan berlaku dengan menyebabkan perubahan kimia dalam persekitaran rahim dan menyebabkan kegagalan proses implantasi daripada berlaku. Kaedah ini terbukti berkesan sehingga 99 peratus mampu mencegah kehamilan.

SUMBER: DrSharifah

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda