JIKA sebut tentang kesuburan bagi memudahkan proses kehamilan, kerap wanita jadi tumpuan. Jadi, tidak hairan ramai wanita yang nampak lebih berminat mengambil tahu tentang tip atau penjagaan kesihatan untuk kesuburan.

Sebenarnya, bukan wanita saja yang perlu jaga kesuburan, tetapi juga lelaki. Tiada guna si isteri bersungguh menjaga kesuburan, tetapi si suami tidak. Jadi, janganlah pula menyalahkan isteri jika tidak hamil.

Mari baca artikel perkongsian doktor pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Imelda Balchin tentang tip kesuburan khusus untuk lelaki. Baca jangan tidak baca cik abang semua ye!


Tip kesuburan lelaki.

Terlalu ramai pengasas dan penjual produk yang tiada kelayakan perubatan menuduh kaum wanita sebagai punca masalah kesuburan pasangan suami isteri apabila membuat promosi macam-macam produk mengarut kepada wanita.

Mereka buat tuntutan palsu yang satu produk itu boleh menyembuh berpuluh-puluh jenis penyakit, termasuk masalah kesuburan, tanpa membuat apa-apa penilaian kesihatan, tanpa mengenal pasti betulkah anda ada masalah kesuburan dan tanpa perlu mengenal pasti adakah penyakit yang anda ada atau tiada? Tiada pula bertanggungjawab jika produk mereka memberi kesan sampingan kepada wanita.

Pengasas dan penjual produk mungkin tidak tahu, jika 100 pasangan suami isteri membuat hubungan kelamin tanpa menggunakan apa-apa kaedah perancang keluarga, 85 pasang suami isteri akan hamil dalam tempoh masa satu tahun tanpa menggunakan apa-apa produk.

Kemudian mereka terus buat overclaim dan mengambil kredit yang produk merekalah yang menyebabkan wanita itu hamil, sedangkan wanita lain yang tidak sentuh pun produk mereka juga akan hamil dalam tempoh masa sama. Inilah dinamakan penggunaan testimoni berat sebelah dan tidak boleh dipercayai.

Tahukah anda 15 dalam 100 pasang suami isteri ada masalah kesuburan. Di antara mereka, satu pertiga bermasalah kesuburan isteri, satu pertiga bermasalah kesuburan suami dan lagi satu pertiga bermasalah kesuburan kedua-dua suami dan isteri.

Maknanya, 50 peratus masalah kesuburan sepasang suami isteri berpunca daripada masalah kesuburan suami. Kenapa pula isteri-isteri saja yang dituduh tidak subur dan isteri yang disuruh makan produk mengarut jika anda tidak tahu siapa antara suami isteri yang ada masalah kesuburan?

Inilah dia tip kesihatan untuk meningkatkan kesuburan kaum suami. Perkara yang disebut dalam senarai ini terbukti menyebabkan masalah kesuburan lelaki dan boleh dikurangkan atau dicegah.

1. MEROKOK

Hentikan tabiat ini. Merokok mengurangkan jumlah sperma lelaki.

2. ARAK

Jangan minum arak. Arak menurunkan hormon testosteron lelaki dan boleh menyebabkan penyakit hati (liver disease) yang mengganggu kesuburan lelaki.

3. PENYALAHGUNAAN DADAH

Jangan ambil dadah seperti ganja, kokain, marijuana.

4. ANABOLIC STREROIDS

Jangan ambil anabolik steroid untuk membesarkan dan menguatkan otot. Kesan jangkamasa panjangnya ialah mengurangkan kesuburan lelaki.

5. BUAH ZAKAR YANG PANAS

Jangan pakai seluar ketat atau meletak laptop panas atas riba atau duduk lama-lama atau masuk dalam sauna atau berendam dalam air panas. Sebab ia boleh memanaskan suhu buah zakar dan merosakkan kualiti sperma.

6. KERADANGAN BUAH ZAKAR

Ambil vaksin MMR untuk mencegah mumps atau jangkitan penyakit beguk yang boleh menyebabkan keradangan buah zakar dan kemandulan lelaki.

7. RACUN PEROSAK (PESTICIDE) DALAM MAKANAN

Kurangkan pemakanan buah-buahan dan sayuran yang diimport secara besar-besaran yang mengandungi kandungan racun perosak atau pesticide yang tinggi (Sila lihat dirty dozen). Lebihkan pemakanan buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan.

8. OBESITI

Lelaki obes ada dua kali ganda lebih tinggi masalah kesuburan daripada lelaki tidak obes. Turunkan berat badan yang obes, amalkan gaya hidup sihat dan cergas untuk menurunkan berat badan ke tahap normal dan sihat.

9. DIABETES

Kawal penyakit kencing manis jika anda ada penyakit ini. Turunkan berat badan yang obes, amalkan gaya hidup sihat cergas untuk menurunkan berat badan ke tahap yang normal dan sihat.

10. JANGKITAN SEXUALLY TRANSMITTED DISEASES (STD)

Jika isteri anda dikenalpasti mempunyai tube tersumbat atau dikenalpasti mendapat penyakit bawaan seks (STD), atau pelvic inflammatory disease, sila periksa kedua-dua isteri dan suami untuk jangkitan gonorrhoea dan chlamydia. Jika ada jangkitan penyakit ini, kedua-dua suami dan isteri perlulah dirawat segera untuk mencegah kemandulan.

11. VARICOCELE

Jika ada pembuluh salur darah yang bengkak berdekatan buah zakar, ia boleh dirawat untuk membantu meningkatkan masalah kesuburan lelaki.

12. MASALAH PERUBATAN KRONIK

Sebagai contoh penyakit buah pinggang, penyakit barah, sila ambil nasihat doktor untuk mendapatkan rawatan terbaik untuk penyakit supaya tingkatkan kesihatan anda.

13. KURANGKAN STRES DALAM KEHIDUPAN

Jadilah pengguna bijak. Mereka yang mengiklankan ubat untuk mencegah, menyembuh atau mengubati masalah kemandulan sudah pun melanggar undang-undang Malaysia dan boleh didenda atau dipenjarakan.

Masalah kesuburan boleh dicegah dengan menjaga kesihatan anda.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda