WALAUPUN anak diletakkan dalam kerusi kereta atau car seat, masih ramai kalangan ibu bapa yang ambil lewa tentang cara penggunaan betul aksesori keselamatan itu. Ada yang sekadar cukup syarat saja sedangkan bagi mendapatkan perlindungan optimum, car seat mesti dipasangkan dengan betul dan tepat.

Jangan ambil mudah kerana kelalaian kita mampu mengundang maut. Berikut beberapa kesilapan ibu bapa dalam memasang car seat untuk anak.

1. TIDAK KUNCI CAR SEAT PADA KERETA

Anak diletakkan dalam car seat tetapi tidak dikunci. Adakah kita keliru tentang bagaimana car seat berfungsi atau mungkin sengaja ambil mudah? Sesetengah orang selalu bertukar kereta dan car seat dialihkan begitu saja tanpa dipasangkan dengan betul.

Tindakan ini membahayakan keselamatan anak jika kereta hilang kawalan atau berhenti mengejut kerana boleh mengakibatkan car seat tercampak.

2. POSISI CAR SEAT TIDAK SESUAI 

Ramai ibu bapa suka meletakkan anak menghadap ke depan (front facing). Cara ini dibuat supaya anak dapat lihat arah jalan dan tidak bosan serta memudahkan ibu bapa. Namun, tindakan ini berisiko menyebabkan kecederaan dan kematian jika berlaku kemalangan.

Leher dan kepala bayi masih lembut. Impak kuat berpotensi menyebabkan leher patah jika duduk menghadap ke depam. Kita digalakkan meletakkan car seat ke belakang (rear facing) mengikut berat anak (biasanya 2 tahun ke bawah).

3. TALI PINGGANG LONGGAR

Jangan pasang tali pinggang anak terlalu longgar atau terlalu ketat. Sentiasa teliti dalam memastikan tali pinggang car seat sentiasa dipasang kemas pada badan anak sebelum memulakan perjalanan.

4. PILIH SAIZ TIDAK SESUAI

Pilih dan belilah car seat yang sesuai dengan usia dan berat anak. Baca dan fahami arahan diberikan pengeluar. Car seat bayi (bawah 2 tahun) berbeza dengan anak kecil (2-8 tahun. Begitu juga penggunaan kerusi booster yang sesuai untuk anak berumur 8 tahun ke atas.

5. LETAK CAR SEAT DI KERUSI DEPAN

Car seat yang diletakkan di depan mungkin memudahkan tugas ibu bapa yang terpaksa memandu sendiri denan anak.

Faktanya, kebanyakan kereta dilengkapi beg udara di depan. Jika berlaku kemalangan, beg udara itu akan mengembung dalam kelajuan tinggi yang boleh menyebabkan impak kuat ke atas anak. Ini berisiko mencederakan anak dan menyebabkan dia lemas.

6. TUKAR CAR SEAT TERLALU AWAL

Menukar anak kepada kerusi booster terlalu awal sebelum usia 8 tahun. Kerusi Booster direka untuk membantu anak duduk pada ketinggian yang membolehkan dia memakai tali keledar kereta dengan selamat.

Kerusi booster yang ada sokongan belakang sebenarnya lebih selamat dan baik kerana tali keledar boleh diletakkan dengan betul pada dada, pinggul dan paha.

7. PAKAI CAR SEAT LAMA DAN TERPAKAI 

Mungkin ada kalangan ibu bapa lebih suka beli car seat terpakai kerana lebih murah. Tetapi setiap car seat ada tempoh hayat tertentu. Jenama car seat berkualiti biasa ada jangka hayat sekitar 7-9 tahun.

Namun, kita digalakkan menukar car seat selepas 5 tahun kerana keadaan material kerusi akan jadi rapuh dan tali keledar pula sudah tidak kuat.

8. TIDAK PASANG TALI PINGGANG SETIAP MASA

Mungkin kerana kita hanya mahu ke kedai depan rumah. Jadi, anak dibiarkan saja duduk dalam car seat tanpa mengetatkan tali pinggang. Bahaya untuk anak jika berlaku kemalangan. Kata orang, malang tidak berbau!

9. TIDAK BACA MANUAL KETIKA PASANG

Cara memasang car seat sebenarnya berbeza mengikut jenis jenama yang dibeli. Jadi pastikan baca dulu buku manual disediakan bagi memastikan kita memasang car seat dengan betul.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda