SEPANJANG tempoh kehamilan salah satu perkara merisaukan ibu hamil ialah masalah keputihan tidak normal yang menyebabkan kegatalan. Umumnya, keputihan ketika hamil ialah normal, tetapi dikira bahaya sekiranya mengalami tahap keputihan yang teruk.

Keputihan bukan saja berbahaya kepada ibu, tetapi dikhuatiri menyebabkan jangkitan kepada anak yang bakal dilahirkan kelak. Sebab itu, ibu hamil perlu mendapatkan rawatan segera apabila mengenal pasti diri mengidap masalah keputihan kepada pakar obstetrik dan ginekologi (O&G).

Penting bagi ibu hamil mengetahui sebab berlaku keputihan dan cara mengatasi, selain ubat yang diberikan doktor.

PUNCA KEPUTIHAN

Ketika hamil, leher rahim dan dinding vagina menjadi lebih lembut daripada biasa hingga menyebabkan pengeluaran lendir vagina jadi lebih banyak. Pengeluaran lendir dalam jumlah lebih banyak daripada biasa ini turut dipengaruhi tinggi kadar hormon estrogen dalam badan.

Selain itu, ia juga boleh dipengaruhi peningkatan aliran darah ke bahagian leher rahim, yang berlaku ketika hamil.

Bagaimanapun, jika kita mengalami keputihan yang lebih banyak daripada biasa, tidak perlu panik selagi warnanya tidak bertukar dan berbau. Jadi penting untuk sentiasa memastikan keputihan yang dialami dalam keadaan normal.

Keputihan tidak normal biasanya akan bertukar warna kekuningan, hijau atau kelabu. Ada sesetengah kes diikuti sedikit darah yang menunjukkan ada gangguan kehamilan atau jangkitan.

Selain warna, bau yang tajam atau tidak menyenangkan juga adalah tidak normal. Biasanya kita akan mengalami gatal dan bengkak pada kawasan vagina.

Bahaya keputihan boleh menyebabkan jangkitan pada seksual dan komplikasi dalam kehamilan. Segera berjumpa doktor untuk memastikan punca dan rawatannya.


CARA MENGATASI KEPUTIHAN KETIKA HAMIL

1. GANTI SELUAR DALAM DENGAN KERAP

Kita disaran kerap menukar seluar dalam bagi memastikan kawasan vagina sentiasa bersih dan kering.

2. KAIN MUDAH SERAP

Jika boleh, gunakan seluar dalam diperbuat daripada bahan yang mempunyai daya serap terbaik.

3. PANTYLINER TANPA WANGIAN

Jika menggunakan pantyliner, jangan beli yang ada bauan atau wangian, dan kerap ditukar apabila lembab.

4. PAKAIAN LONGGAR 

Elak menggunakan pakaian atau seluar dalam terlalu ketat. Pakailah pakaian dan seluar dalam longgar ketika proses kehamilan kerana bukan saja lebih selesa tetapi baik untuk kesihatan.

Jika mengalami keputihan lebih banyak daripada biasa, kerapkan ganti pakaian dalam untuk memastikan kawasan vagina sentiasa kering dan bersih.

5. CUCI TANGAN

Sentiasa cuci tangan sebelum dan selepas menyentuh kawasan vagina.

6. BASUH DENGAN BERSIH

Selepas buang air besar atau kecil, pastikan membersihkan kawasan intim dengan betul. Ketika mencuci dengan air, mulakan daripada bahagian depan ke belakang bagi mencegah bakteria anus masuk ke dalam vagina.

Kemudian, lap menggunakan tisu atau kain bagi memastikan kawasan vagina sentiasa kering dan bersih.

7. ELAK SABUN DENGAN PARFUM

Kita disarankan mengelakkan penggunaan sabun,  pembersih wanita atau vaginal douche yang mengandung parfum kerana akan memengaruhi keseimbangan bakteria baik dan pH vagina. Jika keseimbangan bakteria baik tidak terjaga dengan baik, risiko untuk mengalami jangkitan ialah lebih besar.

Bagaimanapun, jika keputihan sudah bertukar warna dan bau, perlu segera berjumpa doktor bagi rawatan khusus yang selamat dan sesuai untuk ibu hamil bagi mengelakkan jangkitan lebih teruk.

SUMBER: AloDokter

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda