PENGALAMAN dalam dewan bersalin ketika menemankan rakan yang hendak beranak dulu memang tidak dapat dilupakan. Bayangkan, selepas diberikan suntikan epidural, terus saja dia tersenyum sambil minta dihulurkan nasi lemak dan air Milo!

Katanya, sudah hilang sakit dan muncul rasa geli sampai boleh bergelak ketawa. Sampai satu tahap, rakan itu sudah tidak rasa tekanan kontraksi dan doktor terpaksa mengvakum bayinya.

Ibu hamil pasti sudah biasa dengar tentang epidural, iaitu kaedah alternatif berupa ubat penahan sakit yang disuntik ketika sedang bersalin. Banyak kes menunjukkan ramai ibu masa kini sudah pandai meminta doktor supaya disuntik epidural sebab mampu mengurangkan sakit bersalin dengan berkesan.

APAKAH ITU EPIDURAL?

Suntikan epidural ialah ubat penahan sakit, yakni sejenis dadah yang disuntik ke dalam tubuh untuk memberikan kelegaan ketika sedang melahirkan anak. Ibu yang sudah tidak boleh menahan kesakitan atau mahu mengurangkan kesakitan bersalin boleh meminta doktor menyuntik epidural.

ADAKAH EPIDURAL SELAMAT?

Ya, secara umumnya epidural memang selamat untuk diambil, terutama kepada ibu yang pertama kali melahirkan anak, ibu yang perlu mempercepatkan proses bersalin dan ibu yang selalu mengalami senggugut ketika haid.

Bagaimanapun, ibu TIDAK BOLEH mengambil epidural sekiranya:

  • Ada masalah bilangan platelet rendah.
  • Sejarah pendarahan cair.
  • Jangkitan belakang badan.
  • Jangkitan darah.
  • Belum mencapai bukaan serviks hingga 4sm.

BAGAIMANA EPIDURAL DISUNTIK?

  • Epidural disuntik ke dalam ruang kecil di belakang badan menggunakan jarum bengkok dan berlubang.
  • Ruang dimasukkan itu ialah ruang antara lapisan tisu tulang belakang ‘epidura’.
  • Posisi terbaik untuk disuntik adalah duduk membongkok atau baring mengiring bagi meregangkan ruas-ruas tulang belakang dengan tujuan memudahkan suntikan, dan mengurangkan risiko bocor (leakage) atau masalah lain.
  • Selepas jarum ditusuk belakang dan bahu ibu, jarum tersebut akan dicabut keluar.
Posisi suntikan epidural

CARA EPIDURAL BERFUNGSI

Suntikan epidural membuatkan kesakitan akibat rahim mengecut jadi tidak terasa kerana perut rasa kebas. Pakar bius akan mematikan saraf yang membawa isyarat sakit.

Jangan risau, ibu yang disuntik tidak terus dipengsankan. Saraf otot masih lagi berfungsi supaya ibu boleh meneran semasa melahirkan. Cuma rasa kebas pada bahagian perut akan membuatkan ibu lupakan kesakitan.

KEBAIKAN EPIDURAL

  • Memberikan kelegaan kesakitan semasa proses bersalin.
  • Memberikan kesan segera. Mengambil masa kira-kira 20 minit untuk berkesan selepas disuntik.
  • Ibu masih boleh rasa kontraksi, tetapi tidak rasa sakit yang keterlaluan.
  • Dapat merendahkan tekanan darah sekiranya ibu ada tekanan darah tinggi.

KEBURUKAN EPIDURAL

  • Ia mungkin tidak berkesan. Sekiranya masih berasa sakit, minta doktor sesuaikan dos.
  • Boleh buat ibu menggeletar dan pening kepala.
  • Ibu memerlukan lebih banyak pemantauan.
  • Doktor perlu memantau denyutan jantung bayi secara berterusan selama 30 minit apabila ibu pertama kali mengambil epidural.
  • Kemungkinan memerlukan bantuan oksigen apabila tekanan darah jatuh.
  • Sesetengah kes, ibu hilang terus kontraksi sehingga tidak rasa tekanan bersalin. Doktor terpaksa menggunakan kaedah vakum atau pembedahan ceaser untuk mengeluarkan bayi.

KOS EPIDURAL

Harga suntikan epidural berbeza mengikut hospital. Mengikut pengalaman rakan yang pernah mengambil epidural, kos suntikan sekitar RM800 hingga RM1,000 di hospital swasta.

Semoga ibu semua dipermudahkan dan selamat melahirkan anak.

SUMBER: BabyCentre | AkakVitamin

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda