IBU bapa mana yang tidak risau apabila anak selalu demam disebabkan jangkitan kuman pada tonsil. Sudahlah demam berpanjangan, anak pula tidak mahu makan atau minum sebab hilang selera.

Kerap demam akibat terkena jangkitan tonsil memang mengundang dilema dan persoalan. Perlukah anak dibedah untuk buang tonsil? Apakah rawatan terbaik untuk tonsil? Bahayakah tonsil kepada kanak-kanak? Semua persoalan tersebut akan kami jawab di bawah ini.

APAKAH TONSIL?

Tonsil ialah kelenjar tisu limfoid yang berfungsi sebagai markas pertahanan yang diperlukan badan pada awal pembesaran kanak-kanak. Pada awal pembesaran, tonsil berfungsi sebagai pertahanan badan untuk melawan jangkitan kuman yang melalui saluran pernafasan dan mulut.

Apabila anak kita dijangkiti kuman, tisu tonsil akan menghasilkan sel untuk melawan kuman dan menyebabkan tonsil menjadi radang dan membesar.

Jangkitan tonsil biasanya akan berterusan hingga anak berusia 2-3 tahun. Kemudian secara beransur-ansur tugas itu diambil alih sistem pertahanan badan yang lebih menyeluruh dan matang. Apabila ini berlaku tisu tonsil akan mengecil dan kurang berfungsi.

Tetapi, sesetengah tisu tonsil kanak-kanak terus kekal besar dan menjadi tumpuan jangkitan kuman. Kanak-kanak ini akan menginap masalah sakit tonsil secara berulang dan kerap sekurang-kurangnya sekali sebulan.

TANDA-TANDA SAKIT TONSIL

  1. Sakit tekak teruk hingga sukar menelan makanan.
  2. Demam suhu melebihi 38°C.
  3. Suara berubah jadi garau atau serak.
  4. Lenguh atau sakit badan.
  5. Sakit kepala.
  6. Berdengkur ketika tidur disebabkan tonsil bengkak.

KESAN TONSIL KEPADA KANAK-KANAK

  1. Mengalami kesakitan dan demam yang lama (sekurang-kurangnya 1 minggu)
  2. Perlu ke klinik berjumpa doktor.
  3. Perlu mengambil dan menghabiskan ubat antibiotik, dan ubatan lain untuk simptom dihidapi (contohnya ubat demam dan sakit tekak).
  4. Terpaksa cuti sakit daripada persekolahan.
  5. Tidur terganggu disebabkan tonsil membengkak dan berdengkur. Kes tonsil teruk boleh menyebabkan nafas berhenti semasa tidur, dikenali Sleep Apnea.

RAWATAN

1. RAWATAN PERUBATAN

  • Antibiotik – Perlu diambil sekurang-kurangnya seminggu (contoh: Amoxicillin digunakan pada peringkat pertama, dan Augmentin apabila antibiotik biasa tidak berkesan)
  • Ubat demam/tahan sakit
  • Lezonges (ubat hisap)
  • Ubat kumur (Diflam atau Thymol gurgle) juga diberikan tetapi kurang berkesan kerana tidak membasahi tonsil.

2. PEMBEDAHAN

Pembedahan tonsil dikenali sebagai tonsillectomy, iaitu pembedahan membuang tonsil yang dilakukan secara bius penuh atau general anaethesia. Bagaimanapun, pembedahan ialah jalan terakhir merawat penyakit tonsil berulang.

PESAKIT TONSIL AKAN DIBEDAH SEKIRANYA…

  1. Masalah sakit tonsil berulang hingga menyebabkan pesakit memerlukan rawatan doktor, ubatan antibiotik dan terpaksa cuti persekolahan.
  2. Mengalami tonsillitis 5 kali setahun atau 7 kali dalam 2 tahun berturut-turut.
  3. Tonsil besar dan radang yang menyebabkan pesakit berdengkur dan mengalami apnea (berhenti bernafas) ketika tidur.
  4. Sakit tonsil yang menyebabkan kawasan sekeliling tonsil bernanah (Peritonsillitis atau Quincy).
  5. Sekiranya doktor pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) mengdiagnosis pembesaran tonsil disebabkan barah tonsil.

SUMBER: DoktorBudak.com

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda