PENYAKIT tangan, kaki dan mulut (HFMD) kian menular ketika ini dan dilaporkan jumlah kes meningkat mendadak di Pulau Pinang. Siasatan dijalankan pegawai kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mendapati, virus HFMD itu dikesan pada pemegang troli dan kenderaan mainan kanak-kanak yang disediakan di pasar raya.

Akibat kejadian itu, ramai ibu bapa risau membawa anak keluar dari rumah. Berikut beberapa perkara yang anda perlu tahu mengenai penyakit HFMD ini:

APA ITU PENYAKIT HFMD?

  • Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) ialah penyakit yang disebabkan jangkitan virus Coxsackie.
  • HFMD mendapat namanya daripada kudis kecil yang terjadi pada tangan dan kaki, dan dalam mulut.

SIAPA BERPOTENSI KENA HFMD?

  • HFMD selalu menyerang kanak-kanak. Ia boleh menyebabkan seseorang kanak-kanak itu kekurangan air dalam badan kerana penyakit ini akan menyebabkan banyak ulser dalam mulut.
  • Bagaimanapun, orang dewasa juga boleh terkena virus ini.

PUNCA PENYAKIT HFMD

  • Virus coxsackie sangat mudah menjangkiti orang lain. Ia boleh merebak dengan cara sentuhan kepada cecair daripada mulut dan hidung pesakit yang dijangkiti virus tersebut.
  • Virus tersebut akan masuk ke dalam saluran limfa melalui kulit di bahagian mulut dan lapisan usus.
  • Daripada saluran limfa itu, ia akan merebak pula ke kelenjar limfa dan masuk ke dalam darah.
  • Kemudian, virus akan merebak ke seluruh badan, terutama kawasan kulit dan lapisan mulut. Di situlah, ruam penyakit kaki, tangan dan mulut akan terbentuk dan virus itu bersedia menjangkiti orang lain.
  • Pada hari ke-7, antibodi badan sudah meningkat dan akan menghapuskan virus yang berada di dalam badan pesakit.
  • Beberapa hari kemudian, ruam pada badan akan semakin kurang dan sembuh.
  • Masa inkubasi bagi virus ini adalah 3-6 hari.

APA TANDA-TANDA PENYAKIT HFMD?

Bayi atau kanak-kanak yang menghidapi penyakit tangan, kaki, dan mulut ini akan rasa tidak sihat.

Tanda-tanda virus amat kecil, seperti kudis lepuh dalam mulut, tangan dan kaki. Anak anda juga boleh:

  • Mengalami sakit tekak
  • Demam ringan
  • Kelihatan keletihan dan tidak bermaya
  • Kurang selera makan
  • Sakit perut
  • Batuk
  • Sakit mulut
  • Ulser dalam mulut

KOMPLIKASI PESAKIT HFMD

Beberapa komplikasi yang boleh dihadapi oleh pesakit ini ialah:

1. DEHIDRASI

Ia selalu berlaku kepada kanak-kanak kerana mereka akan menolak untuk minum ketika menghidap penyakit ini. Ia disebabkan ulser teruk dalam mulut.

2. MENINGOENCEPHALITIS

Jangkitan kuman pada otak dan selaputnya.

3. MYOCARDITIS

  • Keradangan pada otot jantung.
  • Mempunyai masalah penglihatan ataupun buta yang disebabkan jangkitan kuman ini.
  • Membentuk parut pada macula di bahagian retina mata. Tetapi sangat jarang berlaku.

BAGAIMANA SAYA BOLEH MERAWAT PESAKIT HFMD?

Beberapa perkara yang perlu dibuat untuk merawat atau menjaga pesakit HFMD:

1. MINUM AIR: Perlu selalu beri minum air. Ini kerana kita tahu, terutamanya kanak-kanak akan kurang minum air ketika menghadapi penyakit ini.

2. AIS KRIM: Boleh mengurangkan sakit pada ulser. Jika anak ada ulser teruk, memberikan aiskrim dapat mengurangkan sakit ulser, malah menggembirakan mereka.

3. PARASETAMOL: Ubat parcetamol boleh mengurangkan rasa sakit dan demam.
Ubat titis untuk mengurangkan sakit juga boleh didapati di klinik dan farmasi. Dengan pengawasan dan nasihat doktor, cuba tangguhkan pemberian parasetamol kepada bayi.

Jika pesakit mempunyai simptom lebih teruk, kita perlu segera berjumpa doktor.

ADAKAH PENYAKIT HFMD BERI KESAN PADA WANITA HAMIL?

  • Tiada risiko khas untuk wanita hamil, tetapi dalam kes-kes tertentu, janin boleh terjejas.
  • Jika seorang wanita hamil terpaksa menjaga atau memegang seorang kanak-kanak yang dijangkiti HFMD, anda perlu membasuh tangan dengan kerap.
  • Atau mungkin perlu memakai sarung tangan getah jika perlu menukar lampin atau melakukan rutin penjagaan bayi yang lain.

SUMBER: EDiagnosa | TheAsianParent | Ncbi

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda