CACING bersarang dalam perut ialah antara penyakit yang masih kerap dihidapi bayi dan kanak-kanak. Jangan ambil mudah, cacing yang membiak dalam perut anak boleh menjejaskan perkembangan dan kesihatan kalau dibiarkan tanpa sebarang tindakan.

Artikel ini akan mengulas mengenai permasalahan cacing yang kerap dikaitkan dengan bayi dan kanak-kanak.

KESAN BURUK CACING KE ATAS KESIHATAN ANAK

Kebiasaannya, kita selalu terlepas pandang soal cacing yang sedang giat membiak dalam perut anak sebab haiwan itu tidak dapat dilihat secara fizikal. Anak pun masih debab dan sihat, memang kita anggap semua masih OK.

Sekiranya kita biarkan cacing membiak dan senang-lenang dalam perut anak, ini boleh menyebabkan anemia. Ini kerana cacing yang masuk ke dalam badan akan bersarang dalam usus dan membiak.

TANDA-TANDA ANAK BANYAK CACING 

Antara tanda anak banyak cacing dalam perut adalah kurang selera makan, perut buncit, turun berat badan, muntah, insomnia dan pernafasan tidak teratur.

NGERI, CACING HISAP DARAH DAN ZAT MAKANAN!

Seekor cacing yang ada dalam usus anak boleh menghisap darah dan zat gizi seperti karbohidrat dan protein. Bukan calang-calang cacing, dalam diam parasit itu mampu menyedur karbohidrat sebanyak 0.14 gram dan 0.035 gram protein.

Cacing cambuk dapat menghisap 0.005ml darah, manakala cacing tambang dapat menghisap darah hingga 0.2ml. Ini baru sukatan seekor cacing dan bayangkan kalau ada 100 ekor! Ngeri dan tidak dapat dibayangkan betapa derita usus anak kita.

BAGAIMANA CACING BOLEH MASUK DALAM BADAN ANAK?

Kurang penjagaan kebersihan ialah antara faktor kenapa cacing masuk ke dalam badan anak. Cacing boleh melekat pada kuku dan memasuki tubuh ketika anak memasukkan jari ke dalam mulutnya. Dalam badan, cacing akan membiak dengan bahagia di dalam usus.

Cacing dalam bentuk telur juga boleh masuk ke dalam badan anak jika dia bermain di tempat kotor atau makan makanan dijangkiti cacing. Cacing dan telur boleh bertahan hingga dua minggu tanpa makanan.

CARA CEGAH CACING MENIMPA ANAK

  • Jadikan rutin cuci tangan dengan sabun selepas bermain, selepas ke tandas, dan sebelum/selepas makan.
  • Jangan biar kuku anak panjang. Kerap potong kuku secara teratur.
  • Sekiranya tangan anak kotor, jangan beri anak hisap jari atau masukkan tangan ke dalam mulut.
  • Beri makan ubat cacing setiap enam bulan sekali.
  • Bersihkan tandas dan tempat tidur anak.
  • Bersihkan mainan anak.
  • Jangan kongsi tuala.
  • Galakkan anak bermain di tempat kering dan bersih.

SUMBER: BeingTheParent | HelloSehat

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda