APABILA disebut tentang hernia yang juga dikenali sebagai angin pasang, ibu bapa pasti sudah dapat membayangkan masalah yang menimpa bayi lelaki sekitar bahagian kemaluannya. Tetapi tahukah anda hernia juga boleh berlaku kepada bayi atau kanak-kanak perempuan?

Biasanya, selain rawatan hospital, ramai ibu bapa turut mencuba rawatan tradisional dengan menyapu ubat atau urutan bagi meredakan bengkak. Pun begitu, cara terbaik ialah berjumpa pakar kanak-kanak kerana mungkin anak kita memerlukan pembedahan.

Jururawat Bel Nawhen dalam artikel kali ini akan membincangkan tentang Hernia.

Status di bawah sudah disunting tanpa menjejaskan maksud kandungan asal penulis. Status sebenar boleh dirujuk pada pautan di akhir artikel. Harap maklum.


ANGIN PASANG PADA KANAK-KANAK

Baru saja baca dalam satu group pertanyaan tentang ‘telur’ anak kepada seorang ibu yang didapati besar sebelah.

Maka, ramai yang menyuruh amalan menyapu dan memberikan tuaman di telur tersebut. Malah, ada yang salah faham menyamakan ia dengan kolik (colic).

Apa saya khuatir, keadaan yang berlaku kepada anak itu ialah angin pasang.

Teringat semasa bantu kes hermioplasty tempoh hari, saya bertanya kepada surgeon (pakar bedah).

Bos, kenapa Hernia dipanggil angin pasang ye?”

Surgeon memandang saya dan berkata,

Saya baru nak tanya kamu. Saya rasa mungkin kerana apabila batuk, ada rasa angin di kawasan hernia/scrotum kot Staff Nurse.. Sebab itulah dipanggil ‘angin pasang’.

Angin pasang atau dalam bahasa medical dikenali sebagai Inguinal Hernia ialah keadaan usus/selaput (omentum) terjatuh dan masuk ke dalam kantung (sac) dan kantung itu terjulur keluar melalui bukaan otot dinding perut di bahagian ari-ari.

KANAK-KANAK

Bagi kanak-kanak, keadaan ini boleh berlaku disebabkan pembukaan pada otot dinding perut apabila ia tidak tertutup secara semula jadi ketika bayi baru dilahirkan ataupun pada tahun pertama kelahiran lagi.

MITOS TENTANG ANGIN PASANG

Mitos mengatakan inguinal hernia terjadi disebabkan gaya pemakanan ibu ketika hamil ialah salah! Ia tidak dapat dikesan ketika bayi berada dalam kandungan pun. Ada menyatakan, ibu hamil yang kerap makan mi segera ketika hamil akan menyebabkan usus bayi tersumbat sedangkan bukannya mi segera itu masuk terus ke dalam usus bayi. Bahaya di sini hanyalah kerana kandungan MSG (monosodium glutamat) berlebihan!

Secara keseluruhan, kadar masalah inguinal hernia di kalangan kanak-kanak ialah 3 peratus. Kebiasaannya kerap terjadi kepada bayi/kanak-kanak lelaki; lebih kurang 6-10 kali ganda berbanding bayi perempuan.

Inguinal hernia ialah keadaan berisiko tinggi, terutama di kalangan bayi-bayi yang berumur bawah umur 1 tahun kerana kerana mampu menyebabkan pelbagai komplikasi disebabkan usus yang terperangkap dalam kantung hernia.

Inguinal hernia boleh melibatkan sebelah ataupun kedua-dua belah ari-ari. Ia akan kelihatan seperti benjolon bawah kulit di bahagian ari-ari atau boleh turun masuk ke dalam sarung ‘telur’ bayi atau kanak-kanak lelaki.

Ia TIDAK disebabkan aktiviti lasak atau anak meneran atau menangis, tetapi akan dilihat dengan lebih nyata dalam keadaan-keadaan tersebut.

KOMPLIKASI

Sekiranya sebahagian usus terperangkap dalam kantung hernia, komplikasi utama yang boleh berlaku ialah usus tersumbat, juga dikenali sebagai ‘intestinal obstruction’.

Dalam keadaan ini, najis dan gas tidak dapat keluar melalui saluran dubur seperti biasa, lalu mengakibatkan bayi mengalami kesakitan perut, ari-ari/karung telur, perut kembung, muntah dan juga kesukaran membuang air besar.

Sekiranya kanak-kanak/bayi tidak mendapat rawatan awal, usus yang terperangkap di dalam kantung hernia boleh terus tercedera sehinggakan bahagian tersebut mati (gangrene) disebabkan sekatan saluran darah ke bahagian usus yang terperangkap.

Komplikasi lain yang boleh berlaku, termasuk keadaan tumbesaran telur bayi lelaki terbantut atau terjejas sama sekali disebabkan inguinal hernia. Ini boleh berlaku terutama kepada bayi-bayi pramatang atau sekiranya hernia dikaitkan dengan kedudukan telur tidak betul bagi bayi lelaki.

RAWATAN

Rawatan bagi Inguinal Hernia hanyalah pembedahan, dikenali sebagai Herniotomy.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda