PERIHAL haid tidak boleh diambil ringan kerana ia mungkin menandakan perubahan dan menunjukkan tahap kesihatan seorang wanita. Kitaran haid boleh berubah-ubah jika dipengaruhi keadaan persekitaran.

Banyak lagi perkara perlu kita tahu tentang haid. Jadi, apa kata baca status dikongsi jururawat terlatih ini, BelNawhen dalam laman Facebook miliknya tentang haid, mitos dan persoalan yang menjadi kekeliruan ramai.

Status di bawah sudah disunting tanpa menjejaskan maksud kandungan asal penulis. Status sebenar boleh dirujuk pada pautan di akhir artikel. Harap maklum.


APA YANG ANDA PERLU TAHU TENTANG HAID

1. Warna haid yang normal ialah warna terang.

2. Jika overwork atau baru memulakan aktiviti berat, ada waktu kita tidak akan datang haid atau mengganggu kitaran haid kita.

3. Jika haid diiringi warna kelabu atau discharge yang keluar bersama haid (warna luar biasa) menandakan kemungkinan ada jangkitan alat kelamin atau kanser pangkal rahim.

4. Haid normal yang keluar ialah 30ml. Jika haid melebihi 80ml menandakan tidak normal atau ada pengeluaran ketulan darah sebesar 50 sen.

Jika kita mengalami perdarahan luar biasa atau kadar kekerapan menukar pad lebih dari dua kali (dengan pad basah dengan darah atau darah segar), rujuk doktor.


MITOS HAID

1. DATANG HAID TIDAK BERMAKNA TIDAK BOLEH HAMIL

Jika anda bersetubuh dengan suami di hujung kitaran haid (hari ke 6-7), anda boleh hamil kerana sperma boleh bertahan hingga 3 hari selepas bersetubuh dan mana tahu waktu subur anda pada hari ke 8-9 selepas haid.

2. TIDAK BOLEH MANDI ATAU BASUH RAMBUT KETIKA HAID

Tiada istilah liang roma terbuka ketika haid. Kadangkala kerana perubahan hormon sewaktu haid, bau badan akan lebih ketara, maka anda perlu mandi.

3. JANGAN MINUM AIR BERKARBONAT ATAU GAS, ALIRAN DARAH HAID TERJEJAS

Sebenarnya lebih memberi rasa tidak selesa kerana rasa kembung atau simptom senggugut.

4. JANGAN MAKAN TIMUN KETIKA HAID SEBAB SEJUK

Timun ialah makanan yang banyak antioksida dan elok untuk tubuh.

5. SENGGUGUT DISEBABKAN AIR SEJUK

Senggugut didefinisikan sebagai kesakitan dialami di bahagian bawah perut atau pelvis ketika datang haid dan tiada kena mengena dengan air sejuk.

6. TIDAK BOLEH BERENANG BERSUKA RIA KETIKA HAID

Ikutkan, bersukan boleh menenangkan minda dan mengurangkan kekejangan otot serta tiada pengeluaran haid ketika berenang.


PERSOALAN BIASA TENTANG HAID

Apa cara membezakan darah haid dan darah istihadhah jika wanita itu mengalami masalah keluar darah berterusan atau melebihi tempoh kebiasaan haid?

Berdasarkan hadis Nabi SAW, ada tiga kaedah membezakannya:

1. Merujuk Kebiasaan Haid yang Lalu

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW kepada wanita, istihadhah pertama hendaklah merujuk kebiasaan haid (yakni darah yang keluar pada hari kebiasaan haid ialah darah haid, dan yang keluar pada hari berikut ialah istihadhah).

Ini berpandukan hadis ‘Aisyah; “Fatimah binti Abi Hubaisyh mengadu kepada Nabi SAW, “Sesungguhnya aku kedatangan haid tanpa putus-putus. Apakah aku perlu meninggalkan solat?” Nabi SAW menjawab, “Tidak”.

Sesungguhnya itu ialah darah daripada urat (عرق), bukan darah haid. (Jadi, janganlah kamu tinggalkan solat pada keseluruhan hari datang darah itu), akan tetapi kamu tinggalkan solat hanya pada hari-hari kamu biasa kedatangan haid padanya, kemudian (apabila habis hari-hari tersebut), hendaklah kamu mandi dan tunaikanlah solat”. – Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim.

Jadi, seorang wanita ketika menghadapi masalah tersebut, jika dia mengingati tempoh kebiasaan haid, hendaklah dia mengira bilangan hari haid mengikut tempoh kebiasaan tersebut dan darah yang keluar selepas tempoh itu dikira sebagai darah istihadhah dan tertakluk dengan hukum wanita istihadhah (bukan wanita haid atau nifas).

Contohnya; jika ia biasa kedatangan haid selama tujuh hari, maka hendaklah ia menetapkan tempoh haidnya selama tujuh hari dan darah yang masih keluar selepas tujuh hari itu dikira istihadhah.

2. Melihat Perbezaan Darah

Jika seorang wanita tidak mempunyai kebiasaan haid (kerana baru kedatangan haid atau melupai kebiasaan haid), hendaklah dirujuk perbezaan darah.

Ini berdasarkan hadis daripada Saidatina Aisyah yang menceritakan: Fatimah binti Abi Hubaiysh menghadapi istihadhah, maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya; “Sesungguhnya darah haid ialah darah hitam yang dikenali (yakni mempunyai bau yang dikenali kaum wanita).”

Oleh demikian, jika kamu melihat darah sedemikian, hendaklah kamu menahan diri daripada menunaikan solat. Tetapi jika kamu melihat darah berwarna lain, maka ambillah wuduk dan kerjakanlah solat”.  – Riwayat Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Hibban dan al-Hakim. Berkata al-Albani, hadis ini hasan soheh.

Hadis di atas menjadi dalil bahawa diambil kira perbezaan sifat darah yang mana jika bersifat dengan warna hitam, maka itu ialah haid dan jika tidak, maka itu ialah istihadhah.

3. Merujuk Kebiasaan Haid Kebanyakan Wanita.

Sekiranya seorang wanita tidak mengetahui kebiasaan haid dan begitu juga tidak dapat membezakan darah dengan melihat sifat-sifat (yakni warna darah yang keluar adalah sekata), maka ketika itu dia hendaklah merujuk kepada kebiasaan haid kebanyakan wanita iaitu 6 atau 7 hari.

Ini berdasarkan hadis daripada Hamnah binti Jahsyi yang menceritakan: Aku telah kedatangan haid yang banyak dan kuat. Lalu aku datang kepada Nabi SAW untuk meminta fatwa baginda. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya ia (bukanlah haid, tetapi) satu tindakan jahat daripada Syaitan (hingga menyebabkan kamu lupa kebiasaan haid kamu). Jadi, tetapkanlah tempoh haid kamu 6 atau 7 hari sahaja, kemudian mandilah.” – Riwayat Abu Dad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah. Menurut al-Albani; hadis hasan

Ibu dinasihatkan mengajar anak gadis mereka tentang haid, kehamilan dan jagaan alat sulit seawal mungkin supaya mereka dapat menjalani kehidupan berkualiti dan lebih faham tentang masalah hormon wanita.

Seeloknya diajar cara pemakaian pad dengan betul supaya anak tidak kekok. Jangan jadikan isu haid ini sebagai taboo dan enggan dibincangkan antara ibu dan anak.

Kepada si bapa, jangan malu belikan pad untuk anak atau isteri. Itu tanda anda seorang pasangan atau bapa yang mengerti perubahan hormon isteri/anak.

Nota:
Ada beberapa kaum ada pendapat berbeza tentang haid dan perubahan fizikal remaja perempuan. Tetapi, benda ini tidak boleh diambil ringan.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda