VAKSIN sudah jadi satu keperluan buat kanak-kanak masa kini berikutan persekitaran yang semakin terdedah kepada pelbagai jangkitan penyakit. Vaksin berfungsi menjadikan sistem imun tubuh lebih kebal dan tahan lasak terhadap penyakit. Hari ini, ada pelbagai jenis vaksin boleh didapati di pasaran termasuk cacar air.

Sekarang mari kita ketahui beberapa perkara tentang cacar air dan vaksin penyakit itu.

 APAKAH VAKSIN CACAR AIR?

Vaksin cacar air adalah sejenis cairan yang dapat melindungi hampir semua orang yang menerima vaksin ini daripada serangan cacar air. Vaksin ini juga dikenali sebagai vaksin varicella kerana cacar air disebabkan virus varicella-zoster.

Vaksin ini berfungsi membantu sistem imun membangunkan pertahanan diri untuk melawan virus apabila terkena serangan cacar air.

Sekitar 90 peratus orang yang mengambil vaksin ini tidak terkena cacar air. Tetapi, tidak mustahil ada individu yang masih dijangkiti walaupun sudah disuntik vaksin. Tetapi, jangkitan virus cacar air yang dihidapi pesakit yang terlebih dahulu divaksin adalah lebih ringan dan mampu sembuh lebih cepat.

KENAPA PERLU DAPATKAN VAKSIN CACAR AIR?

Umumnya, virus cacar air tidak berbahaya. Tempoh pesakit mengidap cacar adalah sekitar 5-10 hari. Bagaimanapun, dalam situasi serius, penyakit itu mampu mengancam nyawa. Pesakit yang berisiko ialah bayi, dan kanak-kanak atau orang dewasa dengan sistem imun lemah.

Cacar air juga sangat mudah menular dan boleh tersebar daripada udara menerusi bersin dan batuk. Sekiranya dijangkiti cacar air, pesakit dinasihatkan supaya tidak berada di khalayak ramai.

Apabila diserang cacar air, tubuh akan mengalami 200-500 luka yang menggatalkan seluruh tubuh. Malah, pesakit boleh mengidap gejala sakit kepala dan kerap bersin.

SIAPAKAH PERLU AMBIL VAKSIN CACAR AIR?

Vaksin cacar air disyorkan kepada semua anak yang berusia bawah 13 tahun dan belum pernah terkena penyakit itu. Orang dewasa yang belum pernah terkena cacar air juga boleh mengambil vaksin ini.

Sejak 2005, vaksin cacar biasanya digabungkan dengan vaksin penyakit lain, dikenali sebagai MMRV, iaitu vaksin khas untuk melawan demam campak, alergi pernafasan dan cacar air.

BERAPAKAH DOS DIPERLUKAN?

Anda akan diberikan 2 dos vaksin cacar secara berasingan. Bagi anak-anak, dos pertama diberikan ketika berusia 12-18 bulan, manakala dos kedua ketika berusia 4-6 tahun.

Dos kedua untuk orang dewasa pula diberikan dalam jangka masa 4-8 minggu selepas suntikan vaksin pertama.

APAKAH KESAN SAMPINGAN VAKSIN CACAR AIR?

Kesan sampingan vaksin cacar air tidak berat. Kebiasaannya, mereka yang mengambil vaksin akan rasa sakit, merah dan bengkak sekitar kawasan suntikan, termasuk mengalami alahan seperti ruam.

PENGECUALIAN VAKSIN CACAR AIR

Individu sakit tidak digalakkan mengambil vaksin ini dan hanya dibenarkan selepas kembali sihat. Malah, individu yang mengalami alergi selepas mengambil dos pertama juga tidak dibenarkan mendapatkan dos kedua.

Golongan lain yang turut dikecualikan vaksin cacar ialah:

  • Ibu mengandung
  • Individu alergi gelatin
  • Individu mengidap kelainan sistem imum
  • Individu yang baru terima steroid dalam dos tinggi
  • Pesakit yang sedang dalam rawatan kanser dengan X-Ray, ubat-ubatan dan kemoterapi
  • Individu yang baru saja menjalani transfusi darah.

SUMBER: HelloSehat.com

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda