TALI pusat menghubungkan bayi kepada uri dan plasenta dalam rahim. Salur darah dalam tali pusat ini mengandungi darah yang kaya dengan oksigen, nutrisi kepada bayi dalam masa yang sama membawa bahan perkumuhan metabolism bayi ke uri lalu kembali ke peredaran darah ibu.

Lepas bayi dilahirkan, tali pusat ini akan di clamp dan dipotong, sebelum uri dikeluarkan.

APA PULA TALI PUSAT TERKELUAR DULU SEBELUM BAYI?

Haa mestilah baby keluar dulu then tali pusat. Ini apa cerita pula kalau tali pusat yang kluar dulu, tapi baby masih dalam rahim lagi?

Bila air mentuban pecah, tali pusat ini boleh turun dengan laju sehingga terkeluar dari pintu rahim setelah melepasi kepala baby. Selalunya berlaku bila sudah nak bersalin ataupun bila air mentuban turun atau pecah.

SANGAT JARANG berlaku 1 dalam 200 dan 1 dalam 1,000 kelahiran. Kalau ia berlaku nak dekat penghujung kehamilan selalunya 37 minggu ke atas. Perkara ini bukan main-main, hal hidup atau mati si baby. Kecemasan dan perlu dilahirkan SEGERA.

BACA>>> Tali Pusat Bayi Terbelit di Leher, Boleh atau Tidak Bersalin Normal?

KENAPA SAYA CAKAP IA HAL HIDUP ATAU MATI BAYI?

Apabila sudah terkeluar tali pusat, ia boleh terhimpit oleh kepala baby atau ditekan bersama-sama kontraksi rahim. Salur darah yang bawa oksigen untuk baby boleh tersekat, kurang oksigen sampai pada baby.

Maka, bayi perlu keluar serta-merta dari dalam rahim untuk mengelakkan komplikasi daripada kurangnya oksigen. Sama kalau kita cekik seseorang, oksigen sampai ke otak terganggu dan boleh mati akibat tercekik. Begitu analoginya.

Malangnya, tidak boleh nak agak bila situasi ini terjadi. Melalui scan pun tidak boleh sebab kedudukan baby dan tali pusat sentiasalah berubah-ubah pada peringkat kehamilan.

APAKAH KEADAAN YANG BOLEH MENJADI PENYEBAB?

Tapi ada beberapa keadaan yang dikenalpasti di mana tali pusat terkeluar ini berisiko tinggi terjadi:-

  • Baby dalam keadaan songsang atau bayi dalam keadaan melintang.
  • Air mentuban pecah awal atau dah nak bersalin tak cukup bulan.
  • Kehamilan kembar.
  • Air mentuban lebih banyak dari biasa.
  • Baby kecil dari biasa.
  • Bila air mentuban dipecahkan untuk memulakan sakit bersalin (ARM) oleh doktor atau jururawat perbidanan lebih-lebih lagi bila kepala bayi masih tinggi terapung di atas tulang pinggul. Doktor atau jururawat selalunya akan memecahkan air mentuban ini bila baby benar-benar sudah masuk dalam ruang pelvis. Untuk kes-kes yang special sebegini, kakitangan akan sentiasa bersedia membawa pesakit ke dewan bedah untuk caeserean jika berlakunya tali pusat terkeluar dahulu selepas air mentuban dipecahkan.

APA TANDA-TANDA BERLAKUNYA TALI PUSAT TERKELUAR DAHULU?

Lazimnya doktor atau jururawat berasa ‘sesuatu’ yang pelik dalam faraj ataupun nampak sendiri tali pusat itu menjulur keluar dari faraj. Biasanya bila terjadi tanda ini, labour room sudah menjadi hiruk-pikuk sementara menyediakan pesakit untuk ke dewan bedah. Suasana yang sunyi sepi akan bertukar menjadi gegak gempita.

Degupan jantung bayi tetiba menjadi sangat perlahan lepas air mentuban pecah.

Walaupun begitu, ada saja kes di mana tali pusat sudah terkeluar tapi tidak ada apa-apa tanda langsung.

Haaa. Nama pun emergency kan. Baby mesti dilahirkan dengan segera. Dalam hiruk-pikuk suasana pesakit akan diterangkan dengan pantas apa yang berlaku – lazimnya pesakit sendiri pun keliru dengan apa yang berlaku dan tergamam. Tapi percaya lah mereka-mereka ini sedang melakukan sehabis baik untuk menyelamatkan nyawa bayi.

Jari dimasukkan ke dalam faraj, untuk menolak kepala bayi supaya tidak menghimpit dan menekan tali pusat itu. Tiub kencing dimasukkan dan air dimasukkan ke pundi kencing ibu melalui tiub ini supaya pundi kencing yang penuh dengan air dapat menolak kepala bayi ke sisi, jauh dari tali pusat terkeluar itu.

Oksigen diberikan pada ibu melalui topeng muka oksigen agar cukup oksigen sampai ke bayi dalam saat genting ini.

Dengan sepantas kilat, perkara-perlara di atas ini berlaku serentak, pesakit pun sudah sampai di dewan bedah untuk caeserean. Ibu akan diberikan bius penuh supaya pembedahan dapat dilakukan dengan kadar segera.

BACA>>> Bagaimanakah Jaga Tali Pusat Bayi Baru Lahir?

Asistant nurse membantu saya untuk caeser kes tali pusat terkeluar ini lazimya tidak menang tangan sebab bayi selalunya akan keluar kurang dari 2 minit, sejurus sahaja ibu diberikan bius penuh.

Bayi akan diperiksa oleh doktor kanak-kanak untuk tindakan selanjutnya.

Nampak tidak semua berlaku dengan sangat pantas, bila semua kakitangan sudah bersedia menghadapi saat-saat genting ini. Pilihan pesakit yang tidak mahu ini tidak mahu itu, nak doktor perempuan tidak mahu doktor lelaki, dan seumpama denganya akan melambatkan masa. Belum lagi kalau bersalin di rumah, betapa cepat pesakit boleh sampai ke dewan bedah jika dari rumah?

MASA = NYAWA
Kita sudah tua tidak apa. Baby yang baru nak menjengah dunia itu bagi dia peluang lahir dengan baik dan sempurna, dengan fungsi otak yang normal seperti bayi-bayi biasa.

Tidak kisah lah baby itu hitam ke, putih ke, comel ke tak, comel ke mulut terjuih ke bibir tebal ke, SEMUA baby punya HAK untuk lahir dengan sihat tanpa apa-apa komplikasi.

Dr Muhammad Izzat Abdul Razak
Pegawai Perubatan
Kesihatan Wanita & Kehamilan

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda