SEMASA lahirkan anak kedua, saya terpaksa dibedah kerana tali pusat terbelit pada leher...” Ini antara kes kerap didengar ibu hamil yang menjalani pembedahan kerana tali pusat bayi dalam kandungan terbelit.

Sebenarnya, tidak semua ibu hamil yang mengalami masalah tali pusat terbelit terpaksa dibawa ke bilik bedah. Pembedahan hanya dibuat atas faktor yang hanya memudaratkan bayi. Mari baca perkongsian didedahkan doktor Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak.


TALI PUSAT TERBELIT LEHER BAYI (NUCHAL CORD)

Mengikut kajian, kadar kejadian atau insiden tali pusat terbelit di leher bayi semasa kehamilan cukup bulan ialah lebih kurang 33-35 peratus. Hampir 3.5 peratus melibatkan belitan berganda.

Bunyinya memang menakutkan kepada ibu sedang hamil, tetapi benarkah keadan ini berbahaya dan menyebabkan masalah yang boleh membawa kemudaratan kepada bayi?

Kita biasa dengar kebanyakan ibu yang melahirkan bayi secara pembedahan caesar adalah kerana dikhabarkan bayi dalam kandungan terbelit tali pusat.

Persoalannya, perlu atau tidak sebenarnya si ibu yang ada bayi terbelit tali pusat ini menjalani pembedahan caesarean ataupun mereka boleh saja bersalin normal?

Saya kongsikan fakta dan bukti perubatan daripada jurnal antarabangsa mengenai tali pusat di leher, bukan saja memanfaatkan ibu-ibu yang sedang menunggu kelahiran cahaya mata, juga mungkin bermanfaat untuk doktor yang merawat.

  • Selagi mana bayi berada dalam rahim, belitan tali pusat dileher bayi TIDAK BERBAHAYA dan ia sesuatu yang biasa berlaku, lebih-lebih lagi jika tali pusat itu panjang.
  • Tali pusat di leher bayi juga bukan satu sebab musabab untuk pembedahan caesarean. Ini kerana ramai ibu yang mengalami keadaan ini bersalin normal dan didapati ada tali pusat di leher bayi ketika dilahirkan. Doktor atau penyambut kelahiran akan memotong atau melepaskan tali pusat dari leher bayi sebaik saja kepala bayi keluar dan seterusnya diikuti bahagian badan bayi. Jika ketat belitan tali pusat dileher bayi, kadangkala bayi boleh kelihatan biru seketika, tetapi akan pulih segera.
  • Terdapat peratusan kecil yang mana belitan tali pusat terlalu ketat di leher bayi. Jika belitan tali pusat itu terlalu ketat atau tali pusat jadi terlalu pendek, ketika proses bersalin, kepala bayi tidak akan dapat turun ke bawah kerana belitan itu menyukarkan pergerakan bayi ke bawah dan bekalan oksigen kepada bayi melalui tali pusat boleh terganggu. Selalunya keadaan ini berlaku ketika si ibu sudah sakit hendak bersalin. Dalam keadaan ini, doktor akan mengesyorkan ibu melahirkan bayi secara pembedahan caesaeran kecemasan.

Apa perlu ibu lakukan jika diberitahu ada tali pusat terbelit di leher bayi?

1. Bertenang. Jangan panik! Tidak perlu berbuat apa-apa hingga bersalin. Bayi anda berkebolehan menanggalkan tali pusat di lehernya sendiri.

2. Boleh bersalin normal atau tidak? Boleh cuba dan lihat. Jika ada apa-apa masalah tentang bekalan darah dan oksigen kepada bayi akibat jerutan tali pusat ketat, biasanya doktor akan dapat mengesannya melalui graf jantung anak (CTG) semasa dalam proses bersalin itu sendiri. BUKAN SEMUA ibu yang mengalami situasi tali pusat di leher bayi memerlukan caesar. Jangan Takut!

3. Tiada kaitan antara makan mi segera dan ibu pakai tudung atau selendang belit-belit di leher dengan tali pusat berlingkar di leher bayi. JANGAN MENGARUT!

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda