ANAK saya sudah 5 tahun, nak kongsi barang memang payah. Dengan adik sendiri pun dia tak beri pinjam walaupun sekejap. Jadi, asyik berebut dan bergaduh. Pening saya…”

Itulah antara keluhan ibu bapa apabila ada anak yang sukar berkongsi barang. Rupanya perangai lokek mainan ini juga memberikan kesan kepada perkembangan anak-anak.

Jadi, ibu bapa yang sedang mencari penyelesaian, bolehlah baca 5 teknik yang boleh dipraktikan di rumah daripada perkongsian dipetik laman web pusat perkembangan kanak-kanak, Excel Qhalif.


Saya sering didatangi ibu bapa yang mengadu anaknya tidak suka berkongsi, terutama barang mainan, walaupun dengan ibu bapa atau adik-beradik sendiri. Perkara ini bukan masalah pokok, tetapi boleh jadi serius apabila anak tersebut mempunyai masalah pertuturan atau lambat bercakap.

Kenapa boleh jadi begitu?

Selain eye contact, berkongsi juga ialah sebahagian elemen asas pra-komunikasi. Contohnya: sekarang kita berkongsi cerita yang sama, topik yang sama, membaca artikel yang sama dan berkongsi masalah yang sama. Iaitu topik anak sukar berkongsi. Begitulah juga anak-anak kita, sekiranya mereka sukar berkongsi, tiada komunikasi 2 hala yang sihat bakal berlaku.

Bukan saja komunikasi, malah perkembangan vocab, perkembangan interaksi sosial dan emosi juga boleh menjadi terhad dan terganggu. Kanak-kanak perlu bermain dengan rakan sebaya untuk merangsang perkembangannya. Secara tidak langsung idea dan kebijaksanaan mereka bertambah.

Bagaimana hendak atasi masalah ini? Di sini saya sertakan 5 teknik yang mungkin berguna buat ibu bapa di rumah.

1. PILIH MAINAN YANG BETUL

Pilih permainan yang mempunyai ciri-ciri berkongsi atau memerlukan 2 orang pemain ataupun memerlukan bantuan orang dewasa. Contohnya, congkak dan LEGO. Pasti untuk menyiapkan satu LEGO, anak perlukan bantuan ibu bapa. Di sinilah peluang berkongsi dan bermain bersama digunakan sebaik mungkin.

2. JADILAH DIRI KITA SEBAGAI CONTOH

Mainkan peranan kita sebagai contoh terbaik. Ibu bapa mesti menunjukkan teladan berkongsi kerana anak-anak ialah peniru terbaik. Sekiranya bermain dengan mereka, pastikan mengikut giliran bermain. Contohnya permainan, baling bola masuk ke dalam bakul. Boleh dilakukan mengikut giliran, mula papa baling, kemudian mama dan kemudian si anak. Cakap dengan dia, “Papa baling pula” dengan ini anak faham konsep berkongsi dan main bersama.

Saya pernah didatangi anak yang sangat pandai berkongsi. Inilah teknik yang beliau suami isteri lakukan.

3. PUJI DAN GALAKKAN MEREKA

Puji mereka apabila mereka sudi berkongsi dengan rakan. Dengan cara ini mereka suka lakukannya dengan kerap. Jika boleh, pujilah mereka di depan orang yang dia sayangi.

Si ibu boleh kata begini, “Tengah hari tadikan papa, Imran kongsi permainan dia dengan Aiman. Bagus dia main sama-sama.” Papa pula sampuklah dengan penuh minat, “Oh, ye ke, baguslah Imran pandai kongsi dan main sama-sama.

4. BINCANG DAN PUJUK

Kadangkala anak tidak mahu berkongsi sebab permainan tersebut ialah permainan kesayangan mereka. Atau mungkin juga ada sejarah silam yang membuat mereka tidak mahu berkongsi. Permainan mereka dirosakkan atau dihilangkan.

Tanya mereka; “Kenapa Imran tak nak kongsi kereta tu?”

Mungkin Imran akan menjawab; “Dulu Aiman main kereta Imran sampai rosak

Pujuk dan bincang dengan mereka; “Mama faham, tapi dulu Imran tak sengaja, kesian dia nak main dengan Imran. Kalau rosak papa betulkan nanti”.

Guna kebijaksaan anda memujuk mereka. Ibu bapa pasti lebih mengenali anak dengan lebih dekat.

5. KUAT KUASAKAN UNDANG-UNDANG

Setiap barang mainan yang baru dibeli, letakkan satu undang-undang. “Ini papa punya mainan, Imran nak main, boleh. Tapi kena main dengan papa.” Jangan berikan kuasa milik mutlak kepada mereka. Tegur sikap mereka yang terus merampas barang yang mereka mahukan. Simpan barangan tersebut selepas bermain bersama. Undang-undang ini tidak semestinya dikuat kuasa untuk semua mainan, cuma sesetengah permainan.

Ia mampu mengubah sikap dan cara anak bermain. Matlamat kita ialah mereka terus boleh berkongsi dan berkomunikasi. Sebagai ibu bapa kita perlu sabar dan berdoa. Tiada apa yang berlaku sekelip mata. Insya-Allah semua usaha ini ada balasan daripada-Nya.

SUMBER: ExcelQhalif

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda