SAYA mahu cerai! Awak langsung tak solat, tak suruh saya solat. Macam ini ke lelaki yang boleh jadi imam dan ayah untuk anak kita?

Kepada para isteri yang berdepan masalah suami tidak solat, jangan jadikan cerai sebagai alasan. Ramai wanita mengimpikan suami yang boleh mendidik, membimbing dan mengimamkan solat berjemaah.

Bagaimanapun, kita perlu ingat, setiap perkara itu pasti ada sebab dan hikmah. Sekiranya menghadapi masalah ini, jangan kita melatah dulu. Harus diingatkan, kita juga yang buat pilihan sebelum bernikah.

APA PATUT SAYA BUAT?

Mainkan peranan untuk mendidik dan bimbing suami untuk solat. Jangan hanya memerintah, tetapi ajaklah suami untuk solat bersama. Ingatkan suami untuk menunaikan solat setiap kali masuk waktu.

Jangan sampai mengajar, suami ada ego sendiri. Cakaplah dengan lembut dan penuh kasih sayang. Jika sudah ada anak, minta anak ajak ayah menunaikan solat.

SAYA HILANG HORMAT KEPADA SUAMI

Tidak seharusnya kita hilang hormat kepada suami kerana dia tidak solat. Kita perlu ingat, suami melaksanakan tanggungjawab menyediakan nafkah zahir, melayan kita dan anak. Cuma dia tidak solat.

Jadi, kita masih wajib hormat kepada suami. Cuma kita perlu aktif memujuk, memberikan nasihat, menjaga dan membimbing suami untuk berubah.

TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Jangan ingat tanggungjawab mendidik itu hanya terletak pada suami! Itu salah kerana tugas mendidik ahli keluarga ialah tanggungjawab bersama. Ibu juga bertanggungjawab memastikan anak berada atas landasan betul.

Rasulullah SAW juga menegaskan bahawa tanggungjawab mendidik dan membawa pasangan ke jalan diredhai Allah ialah tugas bersama. Sabda baginda:

Semoga Allah SWT merahmati seorang isteri yang bangun malam hari untuk mengerjakan solat malam lalu mengejutkan suaminya bersama. Apabila suami enggan, dia percikkan air ke wajah suaminya –

hadis riwayat Abu Daud.

BERDOA

Tidak mustahil pasangan boleh berubah menjadi seseorang yang lebih baik. Bagaimanapun, kita tidak boleh putus berdoa dan berusaha hingga suami berubah. Mungkin inilah hikmah kenapa kita dijodohkan dengan dia. Hikmah tersembunyi di sebalik rahsia jodoh yang ditetapkan Allah SWT.

SUMBER: Seri

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda