INI artikel khas untuk pembaca bergelar suami. Memang pening kepala betul kalau isteri dan ibu sendiri saling bermasam muka! Pasti keliru dan tidak tahu apa hendak dibuat? Maklumlah, kedua-dua mereka ialah wanita yang paling dicintai.

Tidak mungkinlah menyebelahi mana-mana pihak, bak kata pepatah, ‘mahu diluah mati emak, mahu ditelan mati bapa!’

Apa agaknya tindakan apabila isteri mengadu tidak senang dengan sikap ibu sendiri? Ibu pula merungut yang menantunya tidak pandai itu ini. Hah, sudahnya kita tersepit di tengah-tengah. Macam mana hendak selesaikan masalah ini?

1. HATI-HATI TUNJUK SAYANG

Boleh jadi ibu rasa kasih sayang anda sudah dicuri menantunya. Jadi, berhati-hatilah dalam menayang kasih sayang atau bermanja dengan isteri.

Jangan berat sebelah dan cuba bandingkan sifat mereka antara satu sama lain. Kalau dibandingkan, risau pula berlaku perang dunia. 😛

2. JANGAN PUTUS ASA

Minta isteri jangan putus asa untuk menawan hati ibu mertuanya. Jelaskan, apa yang berlaku tidak boleh dipaksa. Ibu tentunya memerlukan lebih masa untuk mengenali isteri anaknya dengan lebih baik.

3. HORMAT ORANG TUA

Sebagai orang muda, biar apapun kesalahan dilakukan, kita wajib menghormati orang tua. Jadi, jika ibu mertua buat kesalahan, minta isteri anda bersabar.

Jika isteri marah, redakan kemarahan isteri dan sampaikan pesanan dengan penuh sopan dan kasih sayang. Jangan sesekali serang atau marahkan isteri.

4. BANTU ISTERI BERBAIK

Bantulah isteri untuk membina hubungan baik dengan ibu. Kenali rentak dan hobi ibu. Jika ibu suka berkebun, minta isteri luangkan masa meneman ibu anda berkebun. Perbualan mengenai minat pasti dapat membantu membangkitkan emosi dan kemesraan.

5. TERAPKAN NILAI MURNI

Perasaan marah dan bergaduh itu pasti tidak lama. Masih ada harapan untuk isteri berbaik dengan ibu anda. Jika ibu tidak suka, sudah pasti sejak awal lagi dia tidak menerima isteri anda sebagai menantunya. Mungkin ada hal tertentu yang membuatkan ibu anda kurang senang dengan isteri.

Bersabarlah dan sentiasa menerapkan nilai murni. Mudah-mudahan hati ibu anda lembut. Mintalah isteri sentiasa ringan tulang membantu ibu di dapur. Sentiasa ambil hati, cubalah beri hadiah kepada ibu. Tidak perlu berbelanja besar, cukup sekadar sebagai tanda ingatan.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda