CURANG boleh berlaku di mana-mana walaupun suami tiada aplikasi sosial. Tetapi, kewujudan aplikasi sosial masak banyak disalahgunakan hingga mengundang keruntuhan rumah tangga suami isteri kebelakangan ini.

Berikut perkongsian Akhtar Syamir di laman sosialnya tentang curang yang boleh terjadi menerusi aplikasi sosial seperti Tagged, termasuk kepentingan setiap orang sentiasa memeriksa telefon pasangan masing-masing.


Curang di aplikasi chat…

Semalam saya rasa terkesan sungguh dengan posting seorang sahabat FB saya.

Beliau dapat tangkap suaminya bermain cinta dan mencari cinta di aplikasi ‘Tagged’.

Lebih menyedihkan itu bukan kali pertama suaminya berbuat demikian. Sudah berkali-kali perkara itu terjadi.

Oh ya, mereka sudah dikurniakan beberapa cahaya mata. Anak bongsu masih berdukung lagi. Saya tidak mahu berikan maklumat spesifik, cukuplah sekadar info penting demi menjaga aib mereka.

Apabila memikirkan keadaan dan suasana mereka berkeluarga, saya jadi sesak nafas dan lemas. Terbayang kehidupan di rumah yang tegang dan dipenuhi dengan amarah, amaran, perli dan lain-lain.

Menjadi persoalan di minda saya. Apakah masih tidak cukup? Kalau nak kata belum bersedia, sudah ada beberapa orang anak. Mengapa tiada perasaan hormat kepada isteri? Kenapa berkahwin jika hati masih ‘nakal’ dan penuh nafsu kepada wanita lain?

Apa yang menyakitkan hati apabila si suami berkongsi tanda-tanda isteri derhaka kepada suami di akaun Facebooknya.

Persoalannya, adakah jatuh tahap derhaka jika seorang isteri memarahi suami yang menggatal dengan wanita lain? Adakah jatuh tahap derhaka jika isteri tidak menyokong minat suami yang suka chat dengan orang lain?

Saya bukan mahu campur urusan keluarga orang lain, terutama orang yang saya tidak kenal. Tetapi saya sentiasa meletakkan diri di tempat isteri. Dengan cara inilah saya dapat lebih memahami perasaan isteri. Dan, sudah tentulah jika perkara sebegini berlaku ia amatlah menyakitkan.

Betapa hancur hati isteri yang saban hari menjaga anak-anak dan suami. Membuang segala perasaan terhadap orang lain sejurus selepas memberikan hati sanubari kepada si suami. Tetapi dibalas pula sebegini rupa. Ini yang saya rasa, belum apa yang betul-betul dirasai isteri yang mengalami situasi sebegini.

Maaf kepada semua lelaki yang bergelar suami tetapi masih menggunakan aplikasi chat selain WhatsApp atau Telegram. Alasan untuk suka-suka, mencari kawan itu amat menjijikkan. Jika sudah berpasangan, kenapa masih perlu cari kawan lain? Adakah anda terlalu sunyi walaupun sudah beristeri? Maaf, saya tidak boleh terima.

Jadi, sebagai makluman kepada semua isteri mahupun suami. Saya cadangkan anda periksa telefon pasangan hidup masing-masing. Jika ada aplikasi yang saya senaraikan di bawah, bawalah berbincang bersama pasangan. Yakinkan yang si dia tidak perlukan aplikasi sebegini yang lebih menjurus ke arah yang tidak baik. Jika pasangan keberatan membuang aplikasi tersebut, itu tanda awal ada yang dia sayang pada aplikasi itu.

Perlu diingatkan aplikasi itu tidak salah. Salahnya cara penggunaan aplikasi itu. Dan, aplikasi itu jadi tidak baik kepada yang sudah berkahwin. Kepada yang belum berpunya, tidak sepatutnya mendatangkan masalah kerana aplikasi itu juga boleh menemukan jodoh. Ada beberapa orang sahabat saya yang berjumpa jodoh dengan salah satu aplikasi itu. Tetapi yang sudah berpunya dan berkahwin, rasanya tidak perlulah nak cari jodoh lagi kot?

Antara aplikasi yang boleh menjurus ke arah keretakan rumah tangga:-

  • Tagged
  • Wechat
  • Beetalk
  • Tinder
  • Dan lain-lain aplikasi chat dan dating.

Ini termasuk aplikasi video seperti Bigo Live dan Tik Tok yang sentiasa disalah gunakan.

Saya tidak nafikan, jika pasangan mahu curang, tiada aplikasi langsung pun boleh jadi, Facebook dan Instagram pun boleh jadi. Cuma aplikasi yang saya nyatakan di atas itu lebih menjurus ke arah mencari “kawan” dan seterusnya lebih dari itu.

Sekali lagi saya perlu tekankan yang aplikasi ini tidak salah. Tetapi cara dan tujuan penggunaan itu yang salah, terutama kepada yang sudah berpunya.

Perlu saya maklumkan juga mengenai WeChat. Jika pasangan anda seorang peniaga yang sering berurusan dengan kilang dan kedai di negara China, mereka memang akan gunakan aplikasi WeChat ini kerana kebanyakan transaksi bayaran akan dilakukan dalam aplikasi ini. Namun, kalau pasangan bukan kerjanya sebegitu, tetapi masih aktif menggunakan WeChat, maknanya aplikasi digunakan untuk tujuan lain.

Jika anda tidak berani menunjukkan handphone kepada pasangan, sudah pasti anda ada perkara yang dirahsiakan.

Apabila sudah berkahwin, sepatutnya tiada lagi rahsia. Ini ditujukan kepada si suami DAN si isteri. Jika anda bersama pasangan setuju dengan alasan, “Saya tak pernah check handphone dia dan dia tak pernah check handphone saya”, saya tidak tahu nak cakap apa. Mungkin kedua-duanya ada rahsia. Itu pilihan hidup anda.

Saya bukan seorang yang sempurna. Cuma saya meluahkan apa yang berlaku di sekitar saya. Apa yang saya lihat, perkara ini berleluasa tetapi tidak ramai yang cuba memperbaiki penyakit ini.

Marilah kita sama-sama mengambil iktibar atas apa yang berlaku dan mengelakkan diri daripada terjerumus ke arah kecurangan dan keruntuhan institusi kekeluargaan.

Jom sahut cabaran saya untuk memeriksa telefon pasangan masing-masing. Anda berani?

Buanglah apa yang tidak patut dan kembalikan fokus kepada keluarga tercinta.

Apabila kita sudah tua dan apabila kita sakit nanti, bukan kawan chat yang akan membantu anda, tetapi pasangan anda sendiri. Jagalah mereka dengan baik, nescaya anda akan dijaga dengan sempurna.

Semoga bermanfaat. Maafkan saya jika anda tidak bersetuju dengan pandangan peribadi saya ini.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda