SUDAH ada anak isteri, tetapi perangai masih mahu berlagak bujang! Buat-buat lupa atau sengaja abaikan tanggungjawab sebagai suami dan ayah? Kali ini kami ingin kongsikan luahan derita isteri yang terpaksa berdepan masalah suami pemalas.

Perangai suami ada fasa-fasanya. Awal perkahwinan, tip top segalanya rajin. Tapi bila sudah masuk tahun ketiga berkahwin, sudah ada anak kedua, dia mula tunjuk perangai malas. Pening kepala dan rasa dihambakan. Kami sebagai ibu ni penat sangat nak melayan tabiat buruk suami macam ni!”

1. MALAS JAGA ANAK

Ada anak sulung dulu, bukan main lagi berkobar semangat setiap malam bangun nak tolong buatkan susu anak. Tetapi lama-kelamaan, nak tolong mandikan anak pun sebal.

Ibu seharian mengasuh anak, kemas rumah, masak, basuh baju, lipat kain, cuci rumah, dan kejar anak sana sini, minta tolong mandikan anak pun tidak boleh?

2. SEMUA HARAP BINI

Sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar masalah, semua harapkan isteri buat. Suami tahu bagi duit saja dan anggap tanggungjawab selesai. Itupun lokek dan berkira dengan isteri sendiri. Suami terus serah tugas kepada isteri untuk jaga, didik, dan uruskan segala hal pasal anak.

Apabila diminta bantu, kata suami, itu semua kerja ibu. Anak sakit pun tidak dipedulikan, semua harapkan isteri uruskan sampai terkedip-kedip mata berjaga malam untuk tengok anak.

Suamiku hanya tidur terbongkang!”

3. SEMUA SALAH ISTERI

Apabila rumah tidak berkemas, disalahkan pula isteri. Kadang-kadang memang isteri penat menguruskan hal rumah tangga sampai tidak sempat mengemas itu ini. Balik kerja, suami boleh pulak memekak.

Itu satu hal, anak degil atau buat salah pun isteri disalahkan. Katanya, ibu tidak pandai jaga dan ajar anak.

Rasa terseksa betul, ikut hati nak je aku lari rumah, tapi akal masih waras dan sedar mana dosa dan salah”.

4. TAK PANDAI LANGSUNG BUAT KERJA RUMAH

“Tak sangka menikah dengan lelaki yang dahsyat betul sifat pemalasnya”. 

Kalau isteri sudah tolong masak, apa salahnya cucikan pinggan makan sendiri. Itu belum lagi mengharap suami kemaskan meja makan, dan pinggan anak. Memang bermimpilah di siang hari.

“Tambah lagi hati sakit, boleh pula komplen dan bebel pasal masakan kita. Amboi, sudahlah tolong pun tak, komplen pula masak tak sedap! Melampau betul!”

5. SIBUK MAIN TELEFON DAN LAYAN GAME

Kasihan anak-anak. Hujung minggu harap dapat main atau luangkan masa dengan ayah, tapi ayah pula sibuk layan Facebook dan main game. Sudah selesai main telefon, dia keluar melepak jumpa kawan-kawan. Kasihan anak dan isteri di rumah.

6. ALASAN PENAT KERJA

Balik dari kerja, selepas makan, tahu tidur saja. Bila minta tolong pergi kedai, katanya, letih dan penat kerja. Dikutuk isteri yang tidak bekerja. Katanya, duduk rumah tiada kerja hendak buat, sebab itulah banyak berleter.

“Memang sakit hati dan kecewa sangat dengan perangai suami macam ini. Bila agaknya suami nak sedar dan berubah”?

7. PENTINGKAN HOBI

Luangkan masa lebih banyak untuk layan hobi daripada fikir pasal anak. Beli barang anak kalau boleh hendak beli paling murah dan cikai. Tapi kalau hobi sendiri, cecah ribu ringgit pun tidak kisah. Hobi isteri pula abaikan saja. Maklumlah, isteri kena fokus uruskan rumah tangga, jadi tiada masa mahu layan hobi sendiri. Atau tidak boleh ada hobi!

“Sampai bila nak kulikan isteri? Pernikahan bukan untuk jadi hamba, tapi mahu susah dan senang bersama.”

Bukan tidak cuba berbincang, tapi asyik-asyik isteri saja bersalah. Kata suami, isteri hendak lari daripada tanggungjawab. Apa patut dilakukan kalau berdepan situasi macam ini?

Sekian saja luahan seorang isteri yang menanggung derita menahan sikap suami pemalas dan pentingkan diri sendiri. Semoga jadi iktibar buat semua.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda