SETIAP pasangan suami isteri pasti mahukan anak perempuan dan lelaki sebagai pelengkap kehidupan rumah tangga. Kepada pasangan yang sudah ada anak lelaki, pasti mahukan anak perempuan. Begitu juga sebaliknya, pasang yang sudah ada anak perempuan pula mengharapkan anak lelaki.

Kepada yang inginkan anak lelaki apa kata berikhtiar dengan mengikut tip dikongsikan Dr Zubaidi  Ahmad dalam blognya tentang merancang anak lelaki. Bagaimanapun, kita janganlah berharap sangat 100 peratus. Kita merancang tetapi Allah menentukan. Anak lelaki atau perempuan, itu semua rezeki daripada-Nya.

INI PENERANGANNYA…

Ramai bertanyakan soalan lebih kurang serupa seperti ini. Cuma apa boleh dikatakan secara saintifiknya belum ada kajian sahih mengenai hal ini. Belum ada kajian mengesahkan bahawa pemakanan akan menentukan anak yang kita harapkan.

NAMUN, ada kajian menunjukkan bahawa pemakanan mempengaruhi jantina anak yang dikandung seorang wanita.

Dalam kajian dilakukan pakar saintis di Universiti Oxford dan Exeter ke atas 740 wanita mendapati wanita yang mengambil makanan tinggi kalori ketika proses ovulasi cenderung untuk hamil anak lelaki.

Dalam kajian agak lemah, saintis melakukan kajian tersebut juga dapat membuktikan bahawa wanita yang makan pisang dalam kuantiti banyak melahirkan anak lelaki. Hal ini kerana pisang mengandungi kalori tinggi, jadi benarlah ada petua mengatakan jika mahu anak lelaki banyakkan makan pisang sebelum melakukan hubungan seks dengan suami.

Bahkan, ada juga yang mengatakan bahawa banyak minum susu sebelum hamil juga boleh dapat anak lelaki.

Begitu juga petua mengatakan makan makanan laut boleh menyebabkan hamil anak lelaki. Tiada bukti dari segi sains, tetapi tidak salah mencuba.

Bagi mendapatkan seorang anak, harus berlaku pencantuman benih lelaki (sperma) dan perempuan (ovum).

Penentuan jantina pula bergantung kepada sperma yang disenyawa dengan ovum kerana setiap sperma membawa kromosom Y untuk benih anak lelaki dan Kromosom X untuk benih anak perempuan, manakala, ovum hanya mempunyai dua kromosom X.

Sperma yang membawa Kromosom Y selalunya lebih aktif dan bergerak menuju ke Ovum lebih cepat tetapi hanya mampu hidup pada waktu singkat sahaja. Ia hidup lebih lama dalam suasana rahim beralkali.

Sementara, sperma yang mempunyai Kromosom X bergerak lambat tetapi hidup dengan lebih lama terutama dalam suasana rahim lebih berasid.

Sesetengah pakar perubatan berpendapat jika pH dalam faraj wanita dapat diubah menjadi lebih beralkali kebarangkalian mendapat anak lelaki lebih tinggi.

Jadi, pakar mencadangkan setengah jam sebelum melakukan hubungan seks dengan suami, si isteri harus membasuh kemaluan dengan sejenis cecair yang mengandungi ‘sodium bikarbonat’ yang bersifat alkali dengan menggunakan teknik ‘douching’ (bilas).

Peluang mendapat anak lelaki adalah tinggi. Namun, saya lebih suka jika kita meletakkan segalanya kepada Allah selepas beriktihar dan jangan kecewa dengan takdir-Nya. Kita harus bersyukur jika bayi dilahirkan itu sihat dan cukup sifat, tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda