KEMURUNGAN selepas bersalin seringkali dikaitkan dengan wanita. Tetapi, ramai yang terlepas pandang lelaki juga boleh menderita masalah kemurungan kerana perubahan persekitaran dan hidup baharu.

Mungkin cik abang semua tidak perasan atau mungkin tidak pernah tahu. Hanya sekadar ‘mungkin perasaan aku’ saja.

Mari kita fahami tentang sebab gejala dan rawatan yang diperlukan cik suami yang bermasalah kemurungan atau PPD (postpartum depression) ini.

TAHUKAH KITA?

Kajian dilakukan Persatuan Perubatan Amerika mendapati 10 peratus lelaki seluruh dunia menunjukkan tanda-tanda kemurungan, dikenali sebagai kemurungan PPD.

PPD berlaku seawal trimester pertama kehamilan hingga enam bulan pertama selepas kelahiran. Jumlah itu meningkat 26 peratus semasa tempoh 3-6 bulan selepas kelahiran.

Potensi lelaki mengalami masalah kemurungan ialah 2.5 kali ganda lebih tinggi berbanding isteri, manakala 50 peratus lelaki yang mengidap kemurungan ini memiliki sejarah yang sama dialami ahli keluarga lain.

Walaupun kejadian kemurungan di kalangan lelaki tidak begitu diceritakan kepada umum secara meluas, tetapi ia memberi kesan kepada hubungan suami isteri dan juga perkembangan anak.

Berdasarkan kajian, bapa yang mengalami masalah kemurungan lebih cenderung memiliki anak yang mempunyai masalah pertuturan apabila mencecah usia 2 tahun.

SEBAB KEMURUNGAN

1. PERUBAHAN HORMON

Kajian yang dilakukan ke atas hormon dalam tubuh lelaki menunjukkan bahawa paras hormon testosteron menurun. Sebaliknya, paras estrogen, prolactin dan kortisol meningkat semasa proses kehamilan dan selepas kelahiran bayi. Sesetengah lelaki yang mengalami perubahan ini akan rasa loya dan berat badan meningkat.

2. STRES

Beban yang ditanggung semakin bertambah selepas kelahiran anak dengan situasi isteri bekerja dan keperluan menjaga anak. Keadaan ini menyebabkan tekanan dan menjejaskan kualiti tidur.

3. PERUBAHAN GAYA HIDUP

Perubahan corak kehidupan selepas kelahiran anak juga boleh menyebabkan kepada kemurungan di kalangan suami. Suami mula bimbang akan kehilangan kawan, hobi yang diminati dan perkara yang digemari sebelum mempunyai anak.

4. TANGGUNGJAWAB BERTAMBAH

Dengan kos sara hidup meningkat dan perbelanjaan bertambah juga menjadi antara punca kemurungan ini.


Lelaki yang merasa dia mengalami kemurungan sukar untuk menyuarakan kebimbangan tersebut. Jadi, kita boleh lihat perubahan suami sekiranya mempunyai tanda-tanda ini.

TANDA-TANDA KEMURUNGAN

1. Pemarah dan mudah gelisah.
2. Nafas yang pendek.
3. Jantung berdebar.
4. Serangan panik.
5. Kurang minat pada seks.
6. Menjadi tidak minat kepada hobi atau perkara yang disukai sebelum ini.
7. Terlibat dalam penyalahgunaan alkohol atau dadah.
8. Berjudi.
9. ‘Makan luar’.
10. Suka melakukan kerja luar atau balik lambat.
11. Mula elak diri daripada isteri dan anak.
12. Mudah merajuk dan pendiam.

CARA BANTU ATASI KEMURUNGAN

1. BINCANG

Hal ini ialah masalah keluarga. Bawalah berbincang dengan isteri. Bercerita tentang apa yang dirasai kepada isteri, mungkin dia akan membantu mengurangkan rasa bimbang itu.

2. JAGA DIRI SENDIRI

Bersenam, makan makanan seimbang, lakukan yoga atau akupuntur yang boleh menghilangkan stres diri.

3. SOKONGAN KELUARGA

Selain isteri, sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan juga sangat membantu mengatasi masalah kemurungan. Yakinlah kita tidak bersendirian dan jangan malu berkongsi masalah.

4. JUMPA PAKAR ATAU RAWATAN

Bantuan profesional seperti pakar terapi dan ubat anti depres mungkin dapat membantu (rujuk dan minta nasihat pakar).

SUMBER: Parents.com

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda