BERITA baik kepada suri rumah apabila Kerajaan bakal melaksanakan potongan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) suami sebanyak 2 peratus. Duit simpanan itu nampak sedikit, tetapi jika disimpan dalam jangka masa panjang, banyak jumlahnya.

Cik abang semua pula, janganlah rasa itu satu beban kerana wang itu diberikan kepada isteri anda sebagai penghargaan dan simpanan untuk hari tua kelak.

Berikut perkongsian Perunding Kewangan, Afyan Mat Rawi menerusi perkongsiannya di laman Facebook yang turut membuat pengiraan jumlah wang bakal diterima dalam tempoh 30 tahun kemudian.


Ini ialah anggaran jumlah simpanan yang akan diperoleh para suri rumah apabila cadangan skim simpanan KWSP untuk golongan ini dilaksanakan.

Dalam skim tersebut, akan ada 2 peruntukan untuk simpanan KWSP untuk suri rumah:
1) RM50 setiap bulan peruntukan daripada Kerajaan
2) 2 peratus daripada gaji suami

Berdasarkan rekod 5 tahun terakhir, kadar dividen KWSP melebihi 6 peratus setiap tahun. Tahun 2017 pulangannya ialah 6.4 peratus bagi akaun KWSP patuh syariah dan 6.7 peratus.

Dengan andaian pulangan KWSP 6 peratus setahun, jumlah simpanan yang akan diperoleh selepas 30 tahun, ialah seperti berikut:

1. RM50 peruntukan daripada Kerajaan

Caruman RM50 setiap bulan daripada kerajaan akan menghasilkan jumlah terkumpul RM48,962.

2. 2 peratus daripada gaji suami

Andaikan gaji suami RM2,000 sekarang dan meningkat 5 peratus setahun, selama 30 tahun akan menghasilkan jumlah terkumpul sebanyak RM68,324.

Jumlah: RM48,962 + RM68,324 = RM117,286

Ia satu jumlah yang baik untuk dana persaraan bagi suri rumah berbanding tiada langsung.

Saya tidak pasti sama ada ia kewajipan atau pilihan untuk suami melakukannya tetapi jika tidak diwajibkan, saya percaya tidak ramai akan melakukannya.

Ia sama seperti Skim Persaraan Swasta atau Private Retirement Scheme (PRS). Jika tidak wajib, tidak ramai yang mempunyai kesungguhan dan kesedaran untuk buat simpanan.

Berdasarkan statistik Bank Negara, hanya 1 daripada 5 rakyat Malaysia yang mampu menyediakan RM1,000 jika berlaku kecemasan.

Kepada suami, duit dicarum tidak ke mana. Ia jadi simpanan untuk persaraan nanti.

2 peratus tidak banyak mana pun sebenarnya. 98 peratus lebih banyak daripada 2 peratus.

Oh ya, pekerja ada potongan 11 peratus untuk KWSP. Jadi potongan KWSP nanti ialah 11 peratus (untuk diri sendiri) dan 2 peratus untuk isteri, berjumlah 13 peratus.

Jangan fokus kepada 13 peratus yang dipotong, fokuslah pada 87 peratus pendapatan yang boleh digunakan.

Dan duit potongan itu nanti tetap milik kita, bukan milik orang lain, tidak perlu risau.

Itupun masih ramai yang guna KWSP untuk pelbagai perkara lain yang dibolehkan. Sehingga menyebabkan tidak ramai mempunyai wang persaraan mencukupi ketika bersara.

Lagipun, tugas seorang suri rumah sangat berat.

Kena bangun awal pagi, masak, kejutkan anak dan suami, sediakan makanan, basuh baju, sidai baju, angkat baju, lipat baju, jaga anak, mandikan anak, susukan anak, kemas rumah, buang sampah, hantar anak sekolah, ambil anak sekolah, beli barang dapur, masak, membebel, tidurkan anak…. Jadi 2 peratus caruman KWSP sebagai penghargaan daripada sang suami kepada isteri mereka

Berdasarkan statistik dan laporan KWSP, 60 peratus pencarum KWSP menghabiskan wang persaraan mereka dalam masa 3 tahun. Jadi sekurang-kurangnya melalui skim ini, dapat menambah dana persaraan apabila tua kelak.

Jika KWSP tidak diwajibkan, saya yakin lebih ramai warga tua yang masih bekerja selepas usia persaraan.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda