KANDUNGAN paraben banyak didapati dalam produk kosmetik dan farmaseutikal. Hari ini agak sukar menemukan produk yang tidak mengandungi bahan pengawet tersebut dan banyak pula bacaan yang mengingatkan tentang bahaya bahan tersebut.

Apapun, masih ramai tidak jelas mengenai kesan produk yang ada bahan itu terhadap kesihatan diri, terutama kanak-kanak dan bayi. Malah, sesetengah pengguna dewasa pun dinasihatkan mengelak menggunakan produk paraben.

Persoalannya, apakah itu paraben? Adakah berbahaya?

Kepada mereka yang masih tidak tahu, apa kata baca perkongsian lanjut Dr Zubaidi Hamid yang dipetik daripada menerusi laman Facebooknya.


PARABEN DALAM PRODUK PENJAGAAN DIRI

Paraben ialah sebatian kimia yang banyak digunakan sebagai pengawet dalam industri penjagaan diri dan keluarga. Paraben berasal daripada sumber sintetik. Ia lebih murah dan menjadikan produk itu tahan lebih lama.

Paraben natural boleh diperoleh daripada makanan, terutama buah-buahan beri. Antara jenis paraben ialah:

  • Methylparaben
  • Ethylparaben
  • Propylparaben
  • Butylparaben
  • Isobutylparaben
  • Isopropylparaben

Mengapa pengawet dimasukkan ke dalam produk-produk ini?

Pengawet digunakan untuk menghalang kulat dan bakteria membiak dalam produk disediakan. Ia mengekalkan kestabilan formulasi produk tersebut. Tanpa pengawet, sesuatu produk harus diletakkan dalam peti sejuk.

Mengapa ada sesetengah produk mengandungi lebih satu jenis paraben?

Ini kerana setiap jenis paraben bertindak aktif menghentikan pembiakan kulat dan bakteria tertentu. Dengan mencampurkan beberapa jenis paraben, ia melindungi produk itu dari pelbagai jenis kulat dan bakteria.

Paraben selalunya tidak menyebabkan alahan kulit berbanding beberapa jenis pengawet lain. Pengawet lain boleh menyebabkan kulit menjadi ruam dan gatal akibat masalah alahan ini (contact dermatitis).

Namun, banyak pengeluar produk penjagaan bayi tidak lagi menggunakan paraben bagi meningkatkan mutu pengeluaran produk mereka.

Perlukah kita risau berkenaan dengan paraben?

Paraben boleh bertindak seperti hormon wanita, estrogen dalam tubuh kita. Jika berlebihan, ia dibimbangi menyebabkan masalah kesihatan pada masa akan datang. Peningkatan tahap estrogen tinggi dalam badan boleh menyebabkan beberapa jenis kanser.

Namun perlu diketahui juga, kesan paraben yang bertindak sebagai estrogen ini sangat rendah. Beribu-ribu atau berjuta-juta kali lebih rendah berbanding kesan oestrogen yang natural. Apatah lagi jika digunakan dalam kuantiti sedikit.

Belum banyak kajian berkaitan dengan kesan paraben terhadap wanita hamil dan bayi yang masih dalam rahim. Namun apa yang mungkin kita boleh jangka ialah jika ada kesan buruk paraben, kesan itu lebih dirasakan bayi berbanding orang dewasa.

Bayi lebih banyak menyerap paraben jika produk penjagaan diri yang mengandungi paraben diletakkan pada bahagian kelengkang untuk menghilangkan ruam (nappy rash). Ini disebabkan kulit yang mempunyai ruam lebih mudah menyerap paraben kerana lapisan luar kulit sudah rosak dan ‘bocor’.

Di Eropah dan Amerika Syarikat, ada peraturan yang mengehadkan kuantiti paraben yang harus berada dalam setiap produk kosmetik. Ini menjadikan produk mereka lebih selamat.

Di Denmark, beberapa jenis paraben seperti propylparaben dan butylparaben diharamkan untuk dimasukkan ke dalam mana-mana produk kecantikan dan penjagaan diri.

Bagaimanapun, ramai saintis menganggap penggunaan paraben dalam kuantiti kecil selamat digunakan untuk orang dewasa, tetapi bukan untuk bayi. Paraben ialah pengawet yang sudah 80 tahun digunakan dan menjadi pengawet paling selamat berbanding pengawet lain.

Ini kerana kesan paraben seribu hingga sejuta kali lebih rendah berbandingkan hormon natural estrogen dalam tubuh atau estrogen sintetik dalam pil hormon. Maknanya, kesan kemudaratannya sangat kecil.

Namun bagi mereka yang sensitif, contohnya pernah mengalami kanser payudara atau kanser yang melibatkan sistem peranakan (seperti rahim dan ovari) atau mempunyai ahli keluarga yang ada masalah sama, saya mencadangkan elok mengelakkan diri daripada menggunakan produk sebegini.

Cuba cari produk yang tidak mengandungi bahan paraben, terutama kegunaan bayi atau ketika sedang hamil.

Periksa label pada produk sebelum membeli.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda