KES penderaan, kecuaian dan kematian bayi ketika dalam jagaan pengasuh bukan isu lapuk lagi. Saban tahun ada saja kes dilaporkan hingga mengundang kerisauan ibu bapa.

Tidak dinafikan menjaga anak orang bukan perkara mudah, apatah lagi menjaga anak yang ramai. Jadi, kepada sesiapa yang berhajat mahu jadi pengasuh, ketahui dahulu apakah kriteria yang perlu kita miliki. Selepas tahu, tanya semula kepada diri sendiri, layakkah kita menjaga anak orang?

Berikut 6 kriteria yang perlu ada dalam diri setiap pengasuh menawarkan diri menjaga anak orang. Perkongsian ini dikongsikan Dr Aishah Alsagoff.


Selalu ada ibu datang mengadu tentang masalah pengasuh kepada saya. Selalu juga saya jumpa bayi yang bengkak pipi dicubit, parut di kaki digigit dan macam-macam lagi.

Beginilah.

Untuk pengasuh sekalian… 

Menjadi pengasuh di rumah untuk menjaga anak orang lain bukan satu benda yang mudah. Ia tidak perlukan sijil, tidak perlu kepakaran tinggi, tidak perlu pergi kursus, tetapi ia BUKAN MUDAH.

Kita tidak tertakluk di bawah mana-mana akta, tidak dikenakan tindakan undang-undang (melainkan ada bukti yang sungguh kukuh), dan tidak perlu penyeliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tapi!

Sebelum offer diri mengambil anak orang di bawah jagaan kita, mari kita semak dulu ciri-ciri ini.

Pastikan kita MAMPU menjaga bayi.

1. UMUR

Mampu dari segi umur, tidak tua sangat hingga nak membongkok cebok pun susah dan tidak muda sangat juga hingga tidak kenal tanda-tanda bahaya ke atas bayi.

2. SIHAT TUBUH BADAN

Mampu dari segi kesihatan ini termasuk kesihatan mental dan fizikal. Tiada sakit kronik yang boleh mengehadkan pergerakan kita. Bukankah perlu kejar anak orang berlari sana sini nanti? Tiada masalah sakit depresi, bipolar atau apa-apa penyakit yang boleh mendatangkan bahaya kepada anak orang.

3. PENYABAR

Ini memang subjektif. Kita saja yang tahu kita jenis boleh bersabar atau tidak. Jaga budak kecil memang perlukan sikap sabar luar biasa, bukan biasa-biasa. Sedangkan anak sendiri pun kita boleh tidak sabar, apatah lagi anak orang lain. Jadilah kes cubit-cubit sampai darah, pukul kepala, hentak sana sini. Nauzubillah. Kalau kita jenis tidak sabar, cari profesion lain. Jangan bekerja dengan budak.

4. SUASANA BERSIH DAN SELAMAT

Rumah kecil tidak apa tapi biar bersih. Janganlah ada sampah sana sini, lantai kotor, cadar kotor berbau. Pastikan juga keadaan rumah selamat untuk anak. Tiada puntung rokok bersepah, hiasan gelas dan kaca di sana sini, dan benda-benda tajam yang mudah dicapai, serta apa-apa yang boleh mendatangkan bahaya kepada bayi.

Termasuk juga ROKOK. Kalau keluarga atau suami kita merokok di rumah, tidak perlulah kita ambil anak orang jaga. Walau kita pandai dan suka sangat jaga bayi. Sebab tidak selamat untuk bayi dijaga oleh pengasuh yang isi rumahnya merokok. Bincang dulu, buat peraturan dengan ahli rumah sebelum buat keputusan.

5. KUCING

Kalau nak jaga bayi kecil, jangan pelihara kucing. Kalau nak pelihara kucing, jangan jaga bayi kecil. Begitulah. Tidak semua bayi boleh dengan kucing.

6. NIAT YANG BAIK

Letakkan niat kita menjaga anak orang untuk memudahkan ibu bapa mereka, niat yang baik-baik, semoga Allah jauhkan benda yang tidak baik berlaku kepada anak itu sepanjang di bawah jagaan kita.

Semoga belaian dan sentuhan kita kepada si anak, anak itu membesar dengan sihat dan menjadi orang yang berguna suatu hari nanti, insya-Allah.

Untuk ibu bapa… 

Kena saling ada perasaan hormat menghormati antara ibu bapa dan pengasuh. Mudahkan kerja mereka, jangan berikan mereka bebanan berlebihan, selalu berbual dengan mereka, dan rajinkan diri bertanya masalah dihadapi pengasuh ketika menjaga anak.

Sekali-sekala hargai mereka dengan berikan buah tangan. Belikan goreng pisang petang-petang sebelum ambil anak pun OK.

Dan akhir sekali, doa. Doalah selalu supaya anak anda dijaga dengan baik sepanjang ketiadaan anda, doa dapat pengasuh baik dan jaga solat supaya anak anda makan dari suapan tangan-tangan orang baik-baik, insya-Allah.

SUMBER: DrAishahAlsagoff 

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda