BILA isteri mengalami tekanan dan depresi dikata kita tidak tahu mengawal emosi diri sendiri. Bila ada isteri yang meroyan hingga kelar anak, disalahkan pula kita tidak jaga badan ketika berpantang. Semuanya salah isteri!

Kenapa tidak ada yang meletakkan kesalahan itu berpunca daripada suami? Tahukah cik suami semua bahawa ada kajian yang telah membuktikan bahawa suami punca isteri lebih tertekan berbanding anak? Baca: Oh Tidak! Kajian Buktikan Suami Punca Utama Wanita stres berbanding Anak

Semoga ada cik suami yang buka mata apabila membaca perkongsian Saudara Akhtar Syamir di Facebook tentang depresi dan mendedahkan sikap suami yang menjadi penyebab depresi anak-anak.


Ibu kelar anak. Bahaya depresi seorang isteri.

Kes 1. “Saya pernah cuba lemaskan dia dalam besen…Hampir hilang dah dia…”

Kes 2. “Saya rasa saya ada penyakit meroyan. Sampai tahap pukul anak – anak saya. Saya takut sangat, tidur malam pun sampai meracau…”

Itu antara kata – kata dua orang ibu kepada saya.

Kes 1 sudah di tahap genting, kes 2 pula adalah adalah permulaan kepada depresi yang teruk. Jika kita masih ingat, pada bulan Jun baru – baru ini negara dikejutkan dengan kejadian seorang ibu mengelar anaknya yang berumur 1 tahun sehingga meninggal dunia.

Apa sebenarnya depresi?

Depresi ialah satu penyakit yang serius tetapi biasa terjadi. Ia akan memberi kesan terhadap perasaan seseorang, cara berfikir dan perilakunya. Depresi akan menyebabkan perasaan sedih yang teruk dan seperti kehilangan harapan.

Tanda- tanda depresi:-

  • Perasaan sedih dan tertekan
  • Hilang perasaan seronok kepada sesuatu yang pernah disukai
  • Perubahan selera makan (berat naik atau turun)
  • Masalah untuk tidur atau tidur yang berlebihan
  • Kehilangan tenaga dan kepenatan
  • Sentiasa membuat pergerakan tangan seperti kegelisahan atau mundar mandi
  • Pergerakan dan percakapan menjadi perlahan sehingga disedari oleh orang lain
  • Rasa bersalah atau rasa tidak berguna
  • Mempunyai masalah untuk berfikir, memberi tumpuan atau masalah untuk membuat keputusan
  • Ada memikirkan mengenai kematian atau membunuh diri

Jika anda sering mengalami tanda-tanda seperti ini lebih dari jangka masa 2 minggu, cepat-cepatlah dapatkan bantuan pakar.

Menurut kajian, depresi lebih banyak terjadi kepada wanita berbanding lelaki.

Di sini datangnya bahaya depresi seorang isteri dan ibu. Kerana ianya dikhuatiri akan membahayakan anak-anak. Di dalam konteks kaum Melayu, kita namakan ini sebagai meroyan.

Selain genetik dan personaliti asal, faktor persekitaran juga menyumbang kepada terjadinya depresi. Sama ada di tempat kerja atau di rumah.

Mari kita fokus kepada faktor di rumah. Di samping karenah anak-anak, tidak dinafikan depresi boleh berpunca dari suami sendiri.

Bila seseorang ibu mengalami depresi, jika ditanya kepada si suami mengapa isteri begitu, pasti jawapannya “saya tak buat apa pun!”. Sebenarnya itulah antara penyebabnya. Tidak buat apa-apa pun.

Ini pendedahan sikap suami yang boleh menyumbang kepada penyebab depresi.

Pinggan makan sendiri jarang sekali dibasuh. Dapur pun jarang usik. Berat tangan untuk bantu kosongkan sinki selepas isteri penat memasak.

Tandas tidak terjaga. Sentiasa si isteri yang akan mencucinya. Kalau 3 bulan, 3 bulan lah kotor macam itu.

Rumah pula dibiarkan bersepah tidak bersapu dan berkemas sehinggalah isteri yang selesaikan semuanya. Bila ada tetamu nak datang pun masih santai dan biar isteri terbongkok-bongkok mengemas demi menjaga maruah keluarga.

Ada yang sehingga anak ke 5 baru belajar menggunakan mesin basuh. Itu pun kerana terpaksa. Lipat kain pasti satu perkara yang sangat asing.

Jangan cerita bab tanggungjawab. Kerja-kerja rumah ini bukan 100% terletak kepada isteri. Berhenti jadikan ia alasan murahan untuk menjadi lelaki yang pemalas.

Ada juga yang mengadu kepada rakan-rakan bagaimana suami mereka langsung tidak ambil peduli mengenai pembelajaran anak dan membiarkan si isteri menguruskan segalanya. Ini sememangnya akan menambahkan beban mental kepada isteri. Ini bukan lagi soal membuka aib, tetapi ini telah masuk ke kategori mendapatkan bantuan dan nasihat.

Masuk pula bab “Keperluan Rohani” pula. Ini bukan keperluan asas seperti makan dan pakai. Tetapi keperluan dalam diri isteri. Keperluan supaya suami menjadi seorang suami kepadanya.

Contoh keperluan rohani isteri adalah seperti menjaga isteri, membelai isteri, meneman isteri, menjadi penglipur lara isteri, ada bila saat diperlukan, memeluk isteri bila semangatnya jatuh dan lain-lain lagi. Nampak macam banyak kan? Tapi ketahuilah yang isteri sentiasa sedia untuk buat lebih dari ini.

Saya pernah nampak dengan mata saya sendiri bagaimana seorang ibu membawa 3 orang anak termasuk 1 bayi untuk menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan. Dengan hujan yang agak renyai, hanya yang bayi berada di dalam stroller yang tertutup tetapi tidak sepenuhnya, manakala dua lagi anak kecil beliau rapat mengikuti di belakang berjalan kaki sendikit mendaki untuk ke pintu klinik kesihatan. Saya hanya sempat mengangkat stroller bayi beliau sahaja.

Betul, ibu dan isteri ini pandai berdikari. Tetapi alangkah bagusnya jika ada suami di sisi untuk membantu? Kita boleh bersangka baik, mungkin suaminya outstation dan sebagainya. Tetapi kesusahan itu tetap si isteri perlu tanggung seorang diri. Pandai berdikari tidak semestinya perkara semua jadi senang bagi mereka.

Percayalah, kalau suami buat atau sekurang – kurangnya cuba untuk memenuhkan gelas keperluan rohani si isteri, usah kata depresi, berkerut kening dan mengeluh pun akan sukar terjadi.

Jadi, adakah suami boleh menjadi punca isteri atau ibu menghidap depresi? Jawapannya YA.

Namun begitu, suami juga boleh menjadi punca kepada isteri yang bahagia, yang penyayang, yang setia dan yang menjadi ibu yang baik untuk anak-anak.

Anda sebagai suami nak pilih menjadi punca yang mana satu? Punca depresi atau punca kebahagiaan? Pilihan di ego masing-masing. Jangan sesekali memandang ringan depresi isteri.

Kepada yang tidak melalui pengalaman-pengalaman yang tidak baik sebegini diharap jangan mengecam mereka yang berhadapan dengan situasi sebegini setiap hari. Kita tidak berada di tempat mereka. Kita tidak tahu apa yang mereka rasa.

Semoga keluarga kita dilindungi dari kejadian-kejadian yang buruk.

Jika mahu, tinggalkan kata-kata semangat buat puan yang pm saya ini supaya dia boleh baca dan tenangkan hatinya. Saya sudah pm link artikel ini kepada beliau.

Akhtar Syamir a.k.a BroOhsem

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda