BERKAHWIN bukan bermakna suami perlu lepas tangan dan biarkan semua kerja di tangan isteri. Bantulah mereka dalam urusan rumahtangga, walaupun hanya membuang sampah ataupun membersihkan bilik air.

Cuba cik abang semua ambil alih sebentar semua kerja isteri walaupun sehari. Rasai penatnya, letihnya, tekanannya, marahnya dan cuba selami perasaan isteri. Jika cik abang semua berada di tempat isteri, apakah perasaannya?

Itulah yang dilakukan oleh lelaki yang bergelar suami, Muhammad Ahmad hingga dia tekad berubah melakukan kerja-kerja rumah bagi meringankan beban isterinya. Semoga perkongsian ini memberi iktibar kepada semua suami.


Awal perkahwinan dulu saya fikir LEGALAH, pakaian, makan minum saya semua isteri uruskan. Apabila kahwin nanti senanglah isteri jaga segalanya, sehinggakan pinggan, sisa makanan pun isteri bersihkan.

Sampai satu tahap isteri asyik mengeluh sakit badan, sakit sana sini, rambut mulai gugur, isteri mula kurang senyum, sedangkan sebelum ini orang yang mudah lemparkan senyuman.

Saya mula muhasabah diri, rupanya LEGALAH saya itu saya letakkan satu BEBANLAH kepada isteri.

Sehinggakan satu masa saya tekad untuk berubah. Saya mula tekad kena sama-sama uruskan rumahtangga atau semua tanggungjawab ini saya kena pikul. Isteri bukan orang surah atau manusia untuk saya ambil peluang bersenang-lenang dan arahkan buat itu ini.

Suatu hari saya hantar isteri balik rumah mertua,saya kata ada urusan sekejap, tapi saya balik rumah kemaskan segalanya. Kebetulan ada buat majlis makan-makan untuk keluarga jadi pinggan, periuk dan sisa makanan bertimbun dalam singki.

Saya masuk bilik saya sepahkan pakaian, tempat tidur. Dan dari situlah saya mula kemas semula sehingga semuanya beres. Dari dapur sehinggalah 4 bilik tidur, 4bilik air, depan rumah, belakang rumah semua saya uruskan sendiri. Ya Allah rupanya penat, stres, nak marah semua ada.

Saat itulah saya mulai rasa, betapa penatnya seorang ibu untuk besarkan kita, jaga makan minum pakaian kita dalam serba kekurangan. Dalam keadaan begitu pun isteri tetap layan suami dengan baik lemah lembut siang malam.

Berbeza Kita suami, balik dari kerja badan penat boleh rehat sambil tengok tv, sambil order air. Kadang-kadang waktu malam sempat lagi melepak bersama kawan-kawan.

Tetapi tidak isteri. isteri yang bekerjaya balik rumah walaupun penat tetap masuk dapur, tetap uruskan anak, kemas rumah, sempat lagi tanya kita nak makan apa, nak minum apa. Itu pun kadang-kadang handbag masih lagi dibahu, baju kerja masih lagi dibadan sudah buat segalanya.

Allahu banyaknya dosa kita kepada isteri.

Para suami, jika masih berperangai seperti saya sebelum ini marilah berubah. Marilah buatkan isteri kita bahagia, sayang, tenang tidak stres dengan kerja rumah siang malam. Sayangi isteri lebih dari jiwa kita. Hargai setiap kebaikan dalam diri mereka.

Balik rumah nampak bersepah bersihkan, baju, stokin letak ditempat yang sepatutnya. Anak belum mandi ajak anak mandi, jika isteri belum mandi dukung isteri mandikan sekali. Setiap hari belajar untuk iron baju sendiri, cuci pinggan sendiri, kemas tempat tidur, sental bilik air. Jika outstation belajarlah untuk kemaskan pakaian sendiri.

Begitulah dalam perkahwinan, kita sama-sama mencari bahagia, kasih sayang, saling menyintai, saling memberi dan menerima dan paling utama saling memikul tanggungjawab dalam ikatan perkahwinan yang telah diamanahkan oleh Allah s.w.t.

Percayalah,jika kita bahagiakan pasangan berlipat kali ganda Allah gantikan kebaikan.

P/s: jika tag pasangan,katakanlah jom abang sama-sama kita cari bahagia atau terima kasih abang baca sampai habis.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda