“ITULAH, aku suruh kau banyak berjalan masa mengandung dulu tapi tak buat. Sekarang sudah kena operate!” Mungkin itu antara kata-kata menyakitkan hati yang pernah dihadapi ibu yang disahkan perlu bersalin secara Caesarean.

Jika ada pilihan lain, mungkin kita lebih memilih untuk bersalin secara normal kerana lebih selamat berbanding pembedahan. Ibu yang bersalin caesarean berhadapan risiko dan komplikasi yang boleh membawa maut.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna bersalin normal 100 peratus selamat dan tiada komplikasi. Tetap ada, tetapi kurang berbanding caesarian.

RISIKO BERSALIN CAESAREAN

1. LEKATAN 

Caesarean berisiko menyebabkan lekatan (adhesion) semasa proses penyembuhan. Lekatan ialah kelompok tisu parut yang boleh menyebabkan organ pada abdomen kita melekat satu sama lain atau pada dinding perut.

Kira-kira separuh wanita yang menjalani caesarean mengalami lekatan dan jumlah itu meningkat 83 peratus selepas tiga kali pembedahan.

2. JANGKITAN

Sebelum dibedah, kita akan diberi satu dos antibiotik untuk mengurangkan risiko jangkitan. Bagaimanapun, kira-kira 8 peratus  wanita yang menjalani caesarean masih mendapat jangkitan selepas pembedahan.

Ada tiga jangkitan utama yang perlu diberi perhatian:

     i. Bahagan Luka

Tanda-tanda jangkitan pada luka termasuk kemerahan, berair atau kesakitan yang semakin teruk.

     ii. Lapisan Rahim

Jangkitan pada lapisan uterus (rahim), dikenali sebagai Endometritis. Ia kemungkinan berlaku jika air ketuban sudah lama pecah sebelum sakit bersalin atau menjalani banyak pemeriksaan faraj sebelum pembedahan. Antara tanda ialah pendarahan teruk dan berbau serta demam.

     iii. Saluran Kencing

Semasa pembedahan, sebatang tiub nipis atau catheter akan dimasukkan ke dalam salur kencing untuk mengosongkan pundi kencing. Kita juga boleh mendapat jangkitan menerusi tiub ini.

3. DARAH BEKU

Pembedahan meningkatkan risiko darah beku dan boleh jadi serius  bergantung kepada lokasi pembekuan itu berlaku. Pembekuan dalam paru-paru boleh menyebabkan kematian.

Tanda-tanda, batuk, sesak nafas, kesakitan atau bengkak pada bahagian betis. Datang ke hospital segera sekiranya ada tanda-tanda di atas selepas pembedahan.

Doktor mungkin akan berikan ubat untuk mencairkan darah dan stoking getah sokongan untuk memperbaiki peredaran darah pada kaki. Sebab itu, kita akan dibekalkan suntikan bagi mencairkan darah beku selepas bersalin yang perlu diambil selama 10 hari atau minimum 6 hari.

Selain itu, kita juga digalakkan supaya berdiri dan berjalan secepat mungkin selepas pembedahan bagi membantu peredaran darah dan mengurangkan risiko pembentukan darah beku.

4. KESAN BIUS 

Suntikan epidural juga memberikan sedikit risiko seperti sakit kepala teruk (melibatkan 1 peratus ibu) dan kerosakan saraf tetapi jarang berlaku dan akan berlangsung selama beberapa hari atau minggu selepas bersalin.

5. SAKIT PADA LUKA

Kita akan mengalami kesakitan pada luka pembedahan selepas bius hilang selama beberapa hari bergantung kepada individu. Bagi mengurangkan kesakitan, kita akan diberikan ubat penahan sakit.


KOMPLIKASI KETIKA PEMBEDAHAN

Komplikasi serius jarang berlaku, iaitu kurang 1 peratus. Antara komplikasi serius ialah:

  • Kecederaan pundi kencing, tiub yang menyambungkan buah pinggang dengan pundi kecing atau kepada usus besar.
  • Kadang-kadang, dan perkara ini sangat jarang berlaku, doktor mungkin perlu melakukan pembedahan membuang rahim (histerektomi) sebagai langkah menyelamatkan nyawa.
  • Perlu menjalani pembedahan pada masa akan datang.

Jika kita mengalami komplikasi serius ketika pembedahan caesarean, kita mungkin perlukan pemindahan darah. Komplikasi akibat caesarean yang membahayakan nyawa sangat jarang berlaku. Risikonya sangat kecil, iaitu satu dalam 12,000.

SUMBER: BabyCenter.Com

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda