RATA-rata ibu selepas bersalin secara pembedahan Caesarean risau sekiranya hamil dalam tempoh terdekat. Walaupun sudah mengambil kaedah dan pil merancang kehamilan tetapi masih khuatir kalau masih juga hamil lagi.

Pakar Perunding Maternal & Fetal Medicine, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur, Prof Dr Imelda Balchin ada menjawab soalan tersebut di dalam laman Facebooknya dan kami kongsikan di sini untuk maklumat bersama.

Status di bawah disunting mengikut skema penulisan kami tanpa menjejaskan maksud sebenar kandungan asal. Status asal boleh dibaca pada pautan di akhir artikel. Harap maklum.


SOALAN: Doktor, macam mana kalau saya Caesarean pada Januari lalu.  Saya ada ambil suntikan untuk perancangan kehamilan setiap 3 bulan tapi kalau mengandung juga, risiko dia tinggi ye doktor, risaulah?

Syabas puan sebab mengambil berat kesihatan puan dan berusaha membuat apa yang terbaik untuk puan dan bayi puan sebelum mengandung semula.

Jarak terbaik di antara dua kelahiran ialah dua tahun atau lebih, sama ada bersalin secara normal atau pembedahan Caesarean. Habiskanlah penyusuan bayi dahulu sebelum hamil lagi sekali.

Kajian perubatan menunjukkan jika jarak antara dua kelahiran terlalu berdekatan, risiko yang boleh berlaku ialah:

1. MASALAH PEMBESARAN 

Terdapat lebih risiko anak kedua dilahirkan lebih kecil sebab masalah pembesaran dan juga pencapaian persekolahan yang tidak sebaik kanak-kanak yang mana jarak antara kelahiran itu dua tahun atau lebih.

2. KELAHIRAN PRAMATANG

Kajian perubatan juga menunjukkan jika jarak antara kelahiran dua bayi ialah kurang satu tahun jika kelahiran pertama itu ialah pembedahan, ada lebih lagi risiko kelahiran pramatang bagi anak kedua.

3. RAHIM PECAH

Ada kemungkinan lebih sedikit risiko rahim pecah semasa bersalin anak kedua. Tetapi jika anda terhamil juga dengan jarak dekat selepas pembedahan Caesarean, anda tidak akan dinasihatkan menggugurkan kandungan jika tiada masalah perubatan yang lebih rumit dan harus meneruskan kehamilan anda.

Anda memerlukan lebih pemantauan semasa bersalin jika anda ingin mencuba kelahiran normal (vaginal birth after Caesarean Section – VBAC). Kebanyakan doktor akan menggalakkan pembedahan Caesarean daripada membuat induction of labour jika jarak di antara kelahiran kurang daripada setahun.

Injection depo provera dibuat setiap 13 minggu. Dalam 100 wanita yang mengambil kaedah perancang ini selama satu tahun, 6 akan hamil juga.

Kebanyakan mereka hamil semula disebabkan terlambat mengambil suntikan ini melebihi tempoh 14 minggu. Tiada masalah kesihatan kepada janin jika hamil semasa mendapat suntikan ini dan akan dinasihatkan meneruskan kehamilan.

Jika anda bimbang juga dan mahukan kaedah perancang keluarga yang lebih berkesan, pilihan anda ialah:

1. SUSUK IMPLANON

Hanya 5 dalam 10,000 wanita dalam satu tahun akan hamil semasa menggunakannya. Tukar setiap 3 tahun atau keluarkan apabila anda bersedia hamil semula.

2. MIRENA INSTRAUTERINE SYSTEM

Sejenis alat perancang dalam rahim, di mana 2 dalam 1,000 wanita dalam satu tahun akan hamil ketika menggunakannya. Tukar setiap 5 tahun atau keluarkan apabila anda bersedia hamil semula.

3. ALAT PERANCANGAN DALAM RAHIM (IUCD)

Ada 8 dalam 1,000 wanita dalam satu tahun akan hamil ketika menggunakannya. Tukar setiap 5-10 tahun bergantung kepada jenis IUCD digunakan.

Sila berjumpa doktor untuk penilaian kesihatan dan berbincang lagi kelebihan dan kelemahan setiap kaedah ini supaya boleh membuat pilihan terbaik anda.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda