AWAL minggu lalu tersebar sekeping gambar bayi dalam di bawah 1 tahun melakukan rawatan bekam.

Disebabkan perkara itu timbul persoalan dalam kalangan ibu bapa tentang rawatan tersebut. Adakah ia boleh dilakukan ke atas bayi? Dan adakah ia dibenarkan?

Berikut adalah perkara yang ibu bapa perlu tahu tentang bekam dan bolehkah ia dilakukan pada bayi untuk rujukan semua.

BACA>>>  Cara Hilangkan Kerak Kepala Bayi Dengan Selamat dan Berkesan

APAKAH TUJUAN BERBEKAM?

1. KELUARKAN DARAH KOTOR

Berbekam dengan tujuan mengeluarkan darah kotor dari badan yang dipercayai boleh memberi kemudaratan serta mengurangkan risiko yang menyebab penurunan tahap kesihatan.

2. MELANCARKAN SISTEM DARAH 

Mekanisme keberkesanan bekam menurut Taibah Theory adalah dengan melancarkan peredaran sistem darah dan sistem limpa menerusi ‘pressure gradient’ dan ‘traction force’ ke atas saluran darah dan limpa di kawasan yang dibekam.

Walaupun, bekam telah wujud beribu tahun lamanya, akan tetapi ianya masih kekurangan konklusi secara sistematik dan kajian saintifik ke atas keberkesanannya kepada kesihatan.

BOLEHKAH BAYI DIBEKAM?

Berdasarkan kenyataan yang dipetik di Mstar, pegawai perubatan Sarjana, Dr Afiq Izzudin A. Rahim berkata, rawatan bekam hanya boleh dilakukan kepada mereka yang berumur 10 hingga 65 tahun sahaja, dengan syarat-syarat tertentu.

Ia termaktub dalam garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ini bermakna kanak-kanak di bawah umur 10 tahun tidak dibenarkan menerima rawatan bekam berkenaan. Saya juga tidak pernah jumpa lagi kajian yang membolehkan bayi melakukan amalan itu.

“Bagaimanapun, saya tahu ada perawat-perawat alternatif di Indonesia yang menggalakkan amalan ini dilakukan terhadap bayi namun kajian itu agak lemah dan tidak kukuh kerana ia merupakan pendapat peribadi perawat tersebut.

“Rawatan bekam secara umum adalah untuk mengeluarkan darah kotor di dalam badan dan ia hanya berfungsi sebagai rawatan  sampingan (complimentary) dalam perubatan moden, khusus untuk pesakit yang menghidap masalah sendi. Malah, ia juga tidak sesuai dilakukan ke atas seseorang yang sedang demam,” katanya.

JANGAN PERCAYA  MAKLUMAT TIDAK SAHIH DI LAMAN SOSIAL

Dr Afiq menasihati ibu bapa agar tidak mudah percaya dengan maklumat atau informasi yang dikongsikan di media sosial terutama melibatkan kesihatan bayi atau kanak-kanak.

“Jika terdapat masalah kesihatan pada anak-anak, ibu bapa haruslah mendapatkan nasihat dan pemeriksaan di klinik berdekatan.

“Jangan mudah percaya dengan panduan kesihatan yang dikongsikan di media-media sosial dikhuatiri info yang dikongsikan diperolehi daripada individu yang tidak bertauliah,” katanya.

Bagaimanapun sehingga kini tiada komplikasi bekam yang membawa kepada kematian.

SUMBER: DrAfiqRahim | Mstar

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda