TIDAK dinafikan ramai dalam kalangan masyarakat kita yang lebih percayakan rawatan tradisional atau alternatif bagi mengubati sakit. Memang tidak salah kerana itu hak kita.

Tetapi, apa yang salah ialah apabila kita langsung mengabaikan rawatan pemeriksaan kesihatan atau janji temu hospital hingga menyebabkan tahap kesihatan menjadi semakin teruk.

Berikut perkongsian Dr Ezairy M Salih mengenai kisah benar seorang pesakit kanser payu dara. Semoga jadi pengajaran dan memberi kesedaran kepada kita semua.

INI KISAHNYA…

“Darah dalam badan isteri awak ni rendah sangat… sangat rendah.. dia memang akan saya tahan di wad,”

“Buatlah apa yang terbaik bagi doktor, saya ikut saja,”

Saya belek rekod lampau pesakit ini. Umur 34 tahun. “Known case of breast cancer, planned for chemotherapy and referred to oncology in February. Hmmm..”

Saya menghela nafas panjang.

Saya teruskan pembacaan secara ringkas.

“She was given appoinment to see onco team in March. But she didn’t turn up. Defaulted!!”

Gambar Sekadar Hiasan – Ihsan Google

Saya segera ke katil pesakit. Saya dapat lihat beberapa pesakit lain turut sedang dirawat di zon kuning.

Semua tidak stabil.

“Encik, saya baca rekod isteri. Nampaknya kami pernah jumpa isteri encik Februari lepas. Kami bagi janji temu dengan doktor bahagian onkologi. Kenapa tak datang ya?”

Saya sekadar mahukan kepastian.

Lelaki itu tertunduk. Dia hela nafas dalam-dalam.


“Isteri kamu ni kena buatan orang, nasib baik cepat dibawa berubat,”

Otak berserabut rasa lega.

Seakan ada ‘penawar’ yang dapat menyembuh. Seolah-olah ada sinar di hujung jalan. Seakan ada pintu di hujung lorong yang sangat gelap.

“Alhamdulillah, kalau macam itu. Boleh ke ubatkan isteri saya ni tok?”

Lelaki itu banyak berdiam. Sekali sekala mulutnya terkumat kamit. Tidak jelas kedengaran bacaannya. Sukar sangat untuk difahami.

Sekali sekala dia dilihat menghembus nafas. Sekali sekala menggeleng-geleng. Sekejap-sekejap terangguk-angguk.

“Jangan dibuat apa-apa dengan isteri kamu ni. Aku akan beri air penawar, minumlah.”


Saya hela nafas panjang.

“Astaghfirullahal’azim…”

“Tak apalah, encik. Buat masa ini saya kena selamatkan isteri encik. Keadaannya sangat tak stabil sekarang,”

“Kami akan upgrade dia ke zon merah selepas ini,”

“Dr Ezairy, kami baru dapat call daripada blood bank. Darah patient ini tidak boleh transfuse dulu. Ada antigen yang incompatible. So, blood bank minta kita withold (jangan beri) dulu,”

Panggilan salah seorang doktor di jabatan kecemasan itu benar- benar mengganggu saya.

“Hb is only 2.8 and they asked us to hold the transfusion?”

“They said they will try to get it as soon as possible,”

Kringgg… kringgg…. kringgg…

“Hello, hi Dr Ezairy. Dr Nabihah here. I just want to update you that we now are able to get 1 pint packed cell for your patient, and we will try to get another pint tonight,”

“Huh…”

Saya merengus sendiri.

“Once stable, admit this patient…” pendek arahan saya.


Gambar Sekadar Hiasan

Keesokan harinya saya lihat keadaan pesakit lebih dekat.

Saya luangkan sedikit masa menyelami keadaan pesakit dan keluarga.

“Kami ada 4 anak doktor. Yang sulung 6 tahun. Paling kecil baru 2 tahun,” ujar si suami.

Dia nampak tabah.

Dari sehari ke sehari keadaan pesakit semakin tidak stabil.

Daripada hanya perlukan nasal prong oxygen 3 liter (tiub oksigen di hidung), hingga perlukan topeng oksigen maksimum high flow.

Dia nampak tercungap ketika saya melakukan rondaan bersama doktor lain.

“Daripada X-Ray yang kami buat, besar kemungkinan sel-sel kanser itu sudah merebak ke bahagian tulang dan paru-paru, sebab itu juga isteri awak nampak susah bernafas.”

“Kalau rasa nak bawa ahli keluarga atau anak-anak, bolehlah bawa. Kami izinkan.”

Saya boleh lihat keempat-empat anak sudah berada di sisi si ibu.

Ya… si ibu yang sedang berjuang mempertahankan kudrat dan nyawa yang terdaya.

Air mata menitis di atas pipinya.

Semua anak-anak kecil itu tak mengerti apa- apa. Wajah mereka kosong.

Tidak ada apa-apa kata yang mampu terluah.

Hanya pilu dan bermacam-macam perasaan yang bercampur-baur di saat itu.

Saya tinggalkan mereka sekeluarga sekitar jam 5 petang.


Saya kembali ke wad membuat rondaan pagi sebagai rutin harian pada keesokan hari.

Katil bernombor 9 kosong.

Tiada pesakit.

Hanya sebuah bantal dan cadar putih bersih sahaja di atas katil itu.

Nama pesakit juga telah dipadam.

Saya segera periksa dokumen pesakit.

“Innalillahiwainna ilaihirajiun…”

Daripada-Nya kita datang, Kepada-Nya kita juga kembali.

1. Tidak salah untuk kita mencari dan menemui apa jua rawatan alternatif selagi ia boleh mendatangkan kesembuhan. Insha-Allah.
2. Namun jangan sesekali tinggalkan rawatan dan janji temu hospital.
3. Ingatlah sentiasa insan-insan dan orang yang sentiasa menyayangi dan amat memerlukan kita.

Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang sudah kamu kerjakan”. [Al Jumu’ah:8].

** Saya pernah kongsi kisah ini sebelum ini. Tiba-tiba rasa ramai lagi antara kita yang perlukan kesedaran. Bantulah mereka, kalau bukan kita , siapa.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda