COKLAT memang jadi makanan kegemaran ramai. Bukan saja kita, bayi pun turut suka. Ramai ibu bapa risau pasal anak suka coklat yang khabarnya boleh mendatangkan masalah kesihatan. Namun, apakah benar coklat berbahaya untuk bayi dan kanak-kanak?

Selain negatif, coklat sebenarnya ada juga kebaikan untuk anak-anak kita seperti:

  1. Bantu Fungsi Otak – Sebatian semula jadi dalam coklat membantu meningkatkan fungsi memori dan mampu meningkatkan kognitif umum.
  2. Bantu Sistem Peredaran Darah – Makan dalam kuantiti biasa mampu meningkatkan prestasi jantung dan saluran darah.
  3. Bantu Mengurangkan Kerosakan Sel – Coklat yang kaya dengan antioksidan dapat meminimumkan kerosakan semula jadi sel dan meningkatkan kecekapan pelbagai fungsi sel.
  4. Tingkatkan Mood – Coklat merangsang pengeluaran neurotransmiter, dipanggil endorfin, untuk mencipta perasaan bahagia dalam diri.
  5. Rendahkan Tahap Kolesterol – Pengambilan coklat boleh mengurangkan kadar kolesterol LDL (buruk) dan meningkatkan kolesterol HDL (baik).

CARA TERBAIK PERKENAL COKLAT KEPADA ANAK

Masa sesuai berikan coklat kepada anak adalah ketika berusia 2 tahun atau 24 bulan, iaitu peringkat kanak-kanak. Pada masa itu, sistem penghadaman mereka sudah terbina sempurna untuk memproses makanan tanpa kesan buruk. Jadi asasnya, coklat memang tidak sesuai untuk bayi atau anak peringkat usia 0-24 bulan.

Bagaimanapun, pakar pediatrik menyatakan bayi boleh diberikan susu coklat kerana itulah jenis makanan coklat paling selamat. Setiap bancuhan susu coklat hanya mengandungi 5mg kafein bagi setiap 8oz (226gram) berbanding 160mg dalam coklat biasa dalam kuantiti sama. Anda juga boleh memilih susu formula perisa coklat untuk bayi dengan kandungan gula rendah, tanpa perisa tambahan dan kaya nutrisi.

BILAKAH PERLU ELAK BERI COKLAT?

Jarang ada kesan buruk pengambilan coklat dalam kuantiti sederhana ke atas kanak-kanak. Namun, ibu bapa perlu elak berikan coklat dalam beberapa situasi.

  1. Sebelum Tidur – Walaupun dalam kuantiti sedikit, coklat boleh menyebabkan anak sukar tidur. Jadi, elakkan beri susu coklat atau apa juga bentuk coklat.
  2. Sindrom Gangguan Usus (IBS) –  IBS ialah situasi akut seperti kembung perut kronik, kejang perut dan perubahan mendadak dalam ragam usus. Coklat ialah salah satu makanan utama yang boleh mencetuskan gejala IBS. Jangan berikan coklat kepada bayi yang didiagnosis masalah ini.
  3. Penyakit Asam Lambung (GERD) – Coklat boleh bersifat asid, dan mencetuskan refluks asid terhadap bayi dengan GERD.

Kepada ibu bapa yang anaknya ada alahan makanan dan dibuktikan secara klinikal, anda mesti berhati-hati berikan coklat. Sila berunding dengan pakar pediatrik sebelum perkenalkan coklat kepada mereka.

SUMBER:  MomJunction.com

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda