KEDATANGAN haid pada wanita sering mengundang perasaan dan mood yang berbeza kepada setiap wanita iaitu Premenstrual Syndrome (PMS) atau lebih dikenali sebagai sindrom pra haid.

Bagaimanapun, tidak semua wanita mengalami masalah ini. Mungkin bagi wanita yang masih tidak jelas tentang PMS ini boleh baca perkongsian daripada doktor Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak yang menjelaskan dengan lebih terperinci tentang PMS, simptom dan cara menanganinya.

* Sudah disunting mengikut gaya bahasa BumBumCak. Harap maklum.


PREMENSTRUAL SYNDROME (PMS)

PMS atau sindrom pra Haid adalah gabungan simptom yang diberikan kepada simptom fizikal dan emosi yang mempengaruhi kehidupan seseorang perempuan, 2 minggu sebelum period datang. Biasanya PMS akan jadi kurang bila period sudah bermula dan akan hilang apabila berahirnya period.

Simptomnya berbeza antara individu. Yang paling biasa didapati adalah:

  • Mood swing
  • Rasa kemurungan, senang marah, senang terganggu
  • Sedih, rasa cuak dan beremosi
  • Penat, susah nak tidur
  • Pening kepala
  • Perubahan pada selera makan – nafsu makan menjadi-jadi (mengidam macam-macam)
  • Susah untuk fokus
  • Rasa kembung
  • Perubahan pada kulit dan rambut
  • Buah dada kadang-kadang rasa bengkak dan kurang selesa
  • Cirit-birit atau sembelit

Sebagaimana yang saya cakap tadi, simptom BERBEZA untuk individu, jika dilihat simptom-simptom ini akan ada pattern bila sudah lama diperhatikan.

Simptom-simptom PMS biasanya bermula sekitar waktu selepas ovulasi, apabila tahap hormon progesteron meningkat. Sesetengah wanita mengalami PMS sepanjang dua minggu sebelum haid mereka bermula. Manakala, yang lain hanya mengalaminya dalam beberapa hari yang terakhir sebelum haid. Ramai wanita mendapati bahawa simptom-simptom PMS jadi semakin teruk apabila permulaan haid makin hampir.

Adalah perkara biasa bagi simptom-simptom PMS beransur hilang apabila haid bermula. Tetapi, sesetengah wanita mengalami PMS sepanjang tempoh haid mereka. PMS tidak semestinya berlaku setiap bulan. Anda juga boleh jadi tidak ada langsung PMS untuk satu atau beberapa bulan, tetapi ia kembali semula selepas itu.

Anda mungkin dapat menangani simptom-simptom PMS tanpa mengganggu perjalanan aktiviti seharian anda. Tetapi kira-kira satu dalam 10 wanita dengan PMS terpaksa mengambil cuti kerana simptom yang teruk.

Bagi sesetengah wanita, simptom-simptom PMS yang dialami sangat serius sehingga menjejaskan kehidupan di rumah dan di tempat kerja. Jika ini berlaku kepada anda, jumpalah doktor. Mood yang berubah ini boleh membuatkan hubungan dengan rakan sekerja, suami dan anak-anak menjadi sukar.

Paling teruk, PMS boleh sebabkan seseorang wanita itu rasa ingin membunuh diri. PMS jenis ini, iaitu di mana simptom-simptomnya sangat teruk dan kebanyakannya adalah dari segi emosi dan kelakuan, kadangkala dipanggil kecelaruan disforik prahaid (premenstrual dysphoric disorder – PMDD).

Apa sebabnya PMS ini?

Sebab sebenar memang belum diketahui. Tapi ada beberapa kajian menunjukkan ada kaitan dengan perubahan hormon dan bahan kimia yang dihasilkan oleh badan. Sepanjang kitaran haid paras hormon berubah-ubah. Ada sesetengah wanita ini sensitif kepada perubahan paras hormon ini seterusnya menyebabkan timbulnya simptom-simptom yang tadi itu. PMS juga dikatakan ada kaitan dengan bahan neurotransmitter dalam badan seperti serotonin dan gamma-amino butyric acid (GABA). Tapi bukan semua wanita mengalami PMS.

Bagaimanamana saya nak tahu saya ada PMS ke tidak?

Anda seharusnya mencatat simptom yang anda ada itu dalam diari ke atau rekod dalam handphone anda yang canggih itu. Rekodkan sekurang-kurangnya untuk 2 kali kitaran haid. Lepas itu jumpa Dr dan tunjukkan hasil rekod anda itu, nanti Dr akan menilai sama ada itu adalah PMS untuk anda atau tidak.

TIP MENGHADAPI PMS

1. KENAL PASTI BAGAIMANA PMS MENJEJASKAN KEHIDUPAN ANDA

Kenal pasti bagaimana PMS menjejaskan anda dan keluarga, rakan sekerja serta kawan-kawan. Gunakan diari PMS anda untuk mengenal pasti setiap simptom dan bilakah ia bermula. Anda mungkin rasa PMS anda lebih terkawal jika anda boleh menjangka bila simptom-simptomnya mungkin akan bermula.

2. MEMAHAMI PMS ANDA

Apabila anda lebih memahami PMS anda, beritahulah orang yang terdekat dengan anda supaya mereka boleh faham kesannya terhadap diri anda.

3. PERUBAHAN GAYA HIDUP

Anda boleh membuat perubahan kepada gaya hidup yang akan memperbaiki kesihatan anda secara amnya dan mungkin membantu dalam menangani PMS. Ini termasuk:

  • Makan makanan yang seimbang yang kaya dengan karbohidrat kompleks dalam kuantiti kecil tetapi kerap setiap dua hingga tiga jam.
  • Kerap bersenam. Sasarkan tiga hingga lima sesi senaman seminggu selama 30 minit setiap sesi. Berenang, berbasikal atau berjalan laju adalah senaman yang elok.
  • Jika anda merokok, berhenti merokok.
  • Kurangkan atau berhenti meminum minuman keras.
  • Pastikan tabiat tidur anda adalah tetap.

4. PENGURUSAN STRES

Yoga dan senaman regangan lain serta senaman pernafasan dapat membantu. Senaman sememangnya bagus kerana ia boleh memperbaiki mood anda.

Jika dengan cara-cara di atas tidak dapat membantu mengurangkan PMS, perlu berjumpa doktor. Anda akan dimulakan rawatan dengan pil hormon dan ubat-ubatan lain jika difikirkan perlu.

Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak
Pegawai Perubatan
Kesihatan Wanita & Kehamilan

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda