DEMI menunaikan impian memiliki rambut lurus menawan, ada wanita sanggup berbelanja besar melakukan rawatan di salun. Selain perlu berbelanja tinggi, rawatan di salun rambut juga menggunakan bahan kimia yang kita sendiri tidak tahu kandungannya. Sedikit sebanyak berisiko beri kesan sampingan.

Tidak perlu pening kepala, cuba saja petua di bawah ini. Kos murah dan kesannya pula lebih tahan lama. Inilah kelebihan bahan semula jadi yang boleh digunakan untuk merawat rambut kita. Jom cuba!


1. JUS LEMON BERSAMA SANTAN

Campurkan ½ cawan jus lemon bersama 1 cawan santan. Kemudian, sejukkan ramuan ini dalam peti sejuk semalaman. Ramuan tersebut akan bertukar jadi krim. Sapukan pada rambut hingga rata sambil mengurut kulit kepala.

Bungkus dengan tuala atau shower cap selama 1 jam. Bilas hingga bersih. Lakukan petua ini seminggu dua kali, anda pasti akan berpuas hati dengan hasilnya.

2. LIMAU NIPIS BERSAMA SANTAN

Masukkan ½ cawan pati santan bersama sedikit air suam dan air perahan limau nipis. Gaul sebati, jadikan sebagai perapi setiap kali selepas bersyampu.

Lakukan petua ini setiap hari hingga anda berpuas hati dengan hasilnya.

3. SUSU SEGAR

Masukkan susu segar ke dalam bekas penyembur. Kemudian semburkan ke rambut. Biar selama 20 hingga 30 minit. Selepas itu, sikat rambut anda.

Bilas rambut dan cuci dengan syampu serta akhir sekali, dengan perapi. Lakukan sekerap mungkin.

4. PISANG DAN BETIK

Lenyek pisang masak dengan betik hingga halus atau kisar saja dua bahan ini. Campurkan dua sudu madu. Sapukan ramuan ini pada rambut dan biarkan hingga kering. Bilas rambut hingga bersih diikuti dengan memakai perapi.

Selepas itu, sikat rambut hingga lurus, biarkan ia kering. Elakkan mengikat rambut. Lakukan petua ini dua kali seminggu.

5. TELUR DAN TEPUNG GANDUM

Campurkan 2 biji telur dan tepung gandum, gaul hingga sebati. Basuh rambut, lap dengan tuala hingga separuh kering. Sapukan bancuhan tadi pada rambut, pastikan rata.

Kemudian, sikat rambut hingga lurus. Biarkan selama 30 hingga 40 minit, bilas hingga bersih. Amalkan petua ini dua kali seminggu.


Tapi harus ingat, jangan cuba sekali sahaja terus harapkan kesan. Kalau hendak cantik, terpaksalah merajinkan diri mencuba petua ini. Bukan setakat rambut lurus menawan, tapi sihat dan cantik! Cubalah. 😉

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda