SIAPA sangka seorang wanita yang mengidap penyakit Sindrom Down mampu berdiri sama dengan model profesional lain di pentas peragaan. Madeline Stuart membuktikan betapa kekurangan dirinya tidak pernah mematahkan semangat untuk mencapai cita-cita.

Tetapi siapalah Madeline tanpa kegigihan, kesungguhan dan dorongan ibunya yang sentiasa percaya anaknya mampu melakukan apa saja hingga menjadikan ia ikon dan pencetus semangat golongan itu di seluruh dunia.

Mari kita kenali siapa Madeline Stuart dan bagaimana dia boleh jadi model berjaya hari ini.

SIAPA MADELINE STUART 

Madeline dilahirkan pada 1996 di Brisbane, Australia. Dia pernah muncul dua kali pada New York Fashion Week Catwalk dan jadi model kedua Sindrom Down selepas Jamie Brewer.

Penglibatan Madeline dalam bidang peragaan bermula selepas dia dan ibu, Rosanne datang melihat persembahan fesyen di Brisbane pada 2015. Melihat gaya model-model jelita itu, Maddy berkata kepada ibunya:

“Mum, me model”

Rosanne sedar untuk menjadikan anaknya model, Madeline perlu bekerja keras. Mereka bermula dengan misi mengurangkan berat badan. Berkat kesungguhan Madeline, dia akhirnya berjaya menghilangkan berat 20 kilogram.

Selepas itu, Rosanne membuka satu akaun Instagram dan berkongsi gambar sebelum dan selepas Madeline. Hanya dalam beberapa hari gambarnya dilihat lebih 6.8 juta kali seluruh dunia.

Kemudian hanya dalam beberapa hari kemudian, nama dan gambarnya menjadi tajuk utama syarikat penerbitan di Ireland, German, Amerika Syarikat (AS), Mexico, Cuba dan Britain.

Kontrak pertama diterima Madeline ialah sebagai model jenama pakaian kecergasan, Manifesta dan beg tangan everMaya.

Bermula itu, Madeline menerima banyak kontrak peragaan secara global dan diiktiraf sebagai model sindrom Down bertaraf profesional. Dia juga melancarkan koleksi pakaian sendiri yang mengetengahkan rekaan legging, baju, skirt dan baju lengan panjang daripada kain lycra.

Selain aktif dalam bidang peragaan, Madeline juga terlibat dalam banyak aktiviti amal yang melibatkan Orang Kurang Upaya (OKU), khususnya pesakit Sindrom Down dalam memberikan semangat kepada golongan tersebut untuk maju ke depan.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda