“ANAK saya baru dua orang, tetapi barang mainan sudah penuh satu bilik. Bila nak kemas, penat betul!” Itulah antara keluhan ibu bapa yang asyik belikan mainan kepada anak-anak.

Katanya kasihan, jika tidak beli nanti meragam. Jadi, kenalah belikan juga. Tetapi tahukah anda tabiat suka beli banyak mainan sebenarnya tidak bagus untuk perkembangan minda si anak?

Menurut Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Universiti Sultan Azlan Shah Hazhari Ismail, kanak-kanak yang didedahkan dengan mainan yang sedikit mempunyai 5 kelebihan positif dalam perkembangan mereka.

* Status di bawah disunting mengikut skema penulisan kami tanpa menjejaskan maksud sebenar kandungan asal. Status asal boleh dibaca pada pautan di akhir artikel. Harap maklum.


Betul ke parents kena sediakan toys yang banyak kepada anak-anak?

Lazimnya, mainan dan kanak-kanak memang tidak dapat dipisahkan. Lambakan mainan di pasaran memudahkan ibu bapa membeli dan memberikan kepada anak-anak. Daripada sekecil-kecil saiz, hingga sebesar-besarnya. Serta, juga sesuatu yang normal jika rumah disepahkan dengan mainan tidak terkira. Untuk perkembangan anak-anak katanya.

Persoalannya, adakah benar memberikan mainan yang terlampau banyak memberikan kesan positif kepada perkembangan mereka?

MAINAN BANYAK VS MAINAN SEDIKIT

Kajian tentang “The Influence of the number of toys in the environment on toddlers’ play” mendapati mainan yang ‘disisihkan’ akan mengurangkan kualiti waktu bermain, dan mainan yang sedikit meningkatkan fokus dan jangkauan perhatian (attention span), juga menggalakkan kreativiti.

Bagaimana?

Apabila kanak-kanak mempunyai pilihan mainan yang sedikit (masih lagi ada pilihan), mereka akan bermain dengan setiap mainan lebih lama dan lebih banyak interaksi. Ia termasuklah akal mereka terus berkembang untuk berimaginasi dan olok-olok main, ekspresi diri, skil motor halus (fine motor skill) dan koordinasi, malah menyelesaikan masalah!

1. Jadi lebih kreatif – Ada kajian dijalankan di taska di Munich yang mengeluarkan mainan dalam premis. Pada peringkat awal, kanak-kanak akan jadi bosan, tetapi lama-kelamaan, mereka menggunakan barang basic atau sumber daripada persekitaraan untuk mencipta games dan berimaginasi lebih tinggi untuk bermain!

2. Memanjangkan jangkauan perhatian (attention span) – Mainan terlalu banyak akan ganggu kanak-kanak untuk kekal fokus. Contohnya, jika permainan itu memerlukan kemahiran menyelesaikan masalah, mereka akan berpindah kepada mainan lain jika gagal menyelesaikan masalah itu dek pilihan permainan lain yang lebih mudah. Jadi, kemahiran menyelesaikan masalah yang dimahukan itu tidak menjadi.

3. Kemahiran bersosial jadi lebih baik – Dalam perkembangan sosial, bukanlah semata-mata bagaimana kita tahu berkomunikasi dengan orang sekeliling. Tapi, kanak-kanak belajar bagaimana mengekalkan perhubungan dengan kawan-kawan dalam tempoh masa panjang menerusi wujudnya hubungan interpersonal. Mereka akan menghargai orang sekeliling.

4. Menjaga barang – Ini benda penting. Kita nampak kanak-kanak menyepahkan mainan sebab terlalu banyak. Mereka tidak belajar menjaga dan menghargai barang sendiri. Untuk membina dan mengajar tanggungjawab kepada kanak-kanak, ia perlu dimulakan dengan yang sedikit dan akan berkembang. Jadi, tidaklah apabila melintas di depan kedai mainan, kita tidak mengajar mereka untuk sentiasa beli mainan baharu.

5. Belajar berkongsi – Jika kita ada mainan sedikit, mungkin di peringkat awal perebutan dan fighting akan berlaku antara kanak-kanak sebaya di taska/tadika, atau mungkin antara adik-beradik di rumah. Bagaimanapun, ‘pergaduhan’ itu perlu berlaku untuk wujudkan sifat toleransi, kerjasama dan berkongsi. Maka, mereka akan jadi kurang mementingkan diri pada masa depan.

Nak kena buang ke mainan yang berlambak dalam bakul kain itu?

Eh, tidak. Membazirkan tidak elok. Ibu bapa boleh berikan mainan secara berkala. Kumpulkan mainan tersebut. Berikan penguatkuasaan positif. Tanya anak-anak, betul ke nak main mainan banyak-banyak ini?

Jadi ibu bapa tidaklah pening kepala. Pening dengan mainan yang dibeli tetapi tidak main (atau belum main lagi).

Dan pening dengan mainan bersepah-sepah.

Sudahlah sakit kaki kalau terpijak. ?

Pemberitahuan – Saya bukanlah anti-mainan. Saya lihat kesan kepada perkembangan kanak-kanak. Kalau mainan banyak itu sesuatu yang merugikan dari segi perkembangan dan ekonomi, marilah kita cari jalan lain lebih baik.

* Project ‘Der Spielzeugfreie Kindergarten’ (English version) by Regular Eissing
** The influence of the number of toys in the environment on toddlers’ play by Dauch et al (2018)

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda