ANAK-anak meragam tidak mahu makan memang boleh buat kepala pening. Apa tidaknya, risau tengok anak kurus kering, takut juga tidak cukup khasiat.

Bukannya tidak beri makan, tetapi anak yang tidak mahu jamah makanan sihat yang kita hidang. Lagi buat kita stres, dia asyik minta makanan tidak sihat. Asyik-asyik aiskrim, coklat, dan air kotak serta jajan macam keropok, kerepek dan makanan ringan lain. Kalau tidak beri pula, terus dia tidak mahu makan. Aduh, memang pening kepala dibuatnya.

Bagaimanakah mahu atasi masalah anak memilih jenis makanan dan tidak mahu makan? Sebenarnya ada banyak cara dan strategi menguruskan anak yang kurang selera makan. Jom kita cuba beberapa tip untuk pujuk mereka ambil makanan berkhasiat dan baik untuk kesihatan diri.

1. HORMAT NAFSU MAKAN DAN BERI GANJARAN

Jangan tengking, pukul atau marah kalau anak tidak mahu makan. Sebaliknya, bantu dia atasi masalah nafsu makan. Kalau anak tidak mahu habiskan makanan, pujuk si kecil untuk habiskan makanan dengan tawarkan sesuatu yang mereka suka.

Contohnya:

  • “Kalau adik habiskan ayam ini, ibu akan beri aiskrim.”
  • “Lepas adik habis makan, ibu dan ayah bawa pergi mandi kolam.”

Dengan cara mudah ini, anak akan jadi lebih bersemangat untuk menghabiskan makanan sebab ternanti-nanti aiskrim yang ibu janjikan. Jangan pula tidak tunaikan janji!

2. AJAK SI MANJA KE DAPUR

Libatkan si kecil dengan kerja di dapur. Ajak buat tugasan kecil dan beri dia peluang buat apa yang dia mahu! Aktiviti di dapur bukan saja menyeronokkan, tapi buat anak lebih bersemangat mahu makan dan merasai air tangan sendiri.

Beri galakan kepada si manja dengan kata-kata dorongan seperti;

  • “Wah, pandainya anak ibu masak, mesti sedap.”
  • “Tak sabar betul ibu nak rasa masakan adik.”

Si manja pasti tidak sabar mahu makan dengan ibunya.

3. MAKAN MALAM BERSAMA KELUARGA

Ajak datuk, nenek dan seluruh ahli keluarga makan malam bersama. Suasana meriah akan membuatkan anak kita seronok dan menambahkan minat si kecil untuk makan.

Rutin makan yang membosankan boleh diubah dengan suasana yang lebih ceria buat si manja. Sekali-sekala, bawalah anak-anak berkelah di kawasan atau tempat menarik.

4. HIDANG MAKANAN DENGAN CARA KREATIF

Sajikan hidangan dengan gaya unik dan menarik kepada si manja. Contohnya, potong roti dalam bentuk-bentuk yang dia suka. Susun makanan yang dapat buat anak tertarik untuk makan.

Kita yang dewasa pun berselera tengok makanan yang cantik dan menarik, apatah lagi anak kita. Pasti dia rasa lagi bersemangat mahu makan.

5. SELITKAN KHASIAT DALAM HIDANGAN

Anak-anak tidak suka makan buah dan sayur? Buntu juga kita mahu pujuk mereka makan makanan berkhasiat. Apa tidaknya, kalau bercerita pasal kepentingan vitamin dan khasiat sesuatu makanan kepada anak, dia bukannya faham pun.

Ok, kita kena pandai sorok dan selit sayur atau buah dalam makanan anak. Contohnya, berikan strawberi dengan coklat, atau jus epal yang dikisar sendiri, atau masukkan sayur yang dikisar dalam masakan. Beri anak makan sayur, tetapi kita kenalah pandai sorok dan selit.

6. BERI SNEK BERKHASIAT

Boleh dikatakan agak mustahil kalau anak kecil tidak sukakan snek. Kawal pengambilan snek, dan pilih snek yang berkhasiat. Contohnya, beri anak buahan kering, jus buah tanpa gula, kekacang dan lain-lain.

Lagi baik, kita sediakan sendiri jus buah-buahan atau cuba resepi aiskrim buah untuk anak di rumah. Boleh juga buat biskut atau kek sendiri dengan guna bahan-bahan yang lebih berkualiti.

7. PELBAGAIKAN MENU SIHAT

Jangan beri makanan yang sama setiap hari kepada anak. Biasakan anak untuk makan semua benda berkhasiat dan tukar menu sekerap mungkin sekiranya anak jenis bermasalah atau memilih makan.

Semoga anak kita sentiasa sihat dan membesar dengan khasiat diperlukan. Makanan sihat melahirkan anak yang sihat dan ceria.

Selamat mencuba!

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda