MAMA dan papa yang bakal menyambut orang baru mesti teruja membuat bermacam-macam persiapan. Jangan lupa, ada satu keperluan penting yang perlu kita teliti, iaitu hospital yang akan menjadi destinasi bersalin nanti.

Jangan ambil mudah hal ini dengan membuat keputusan saat akhir kerana boleh menimbulkan kelam kabut.

Banyak perkara mesti dipertimbangkan sebelum memilih hospital bersalin. Berikut serba sedikit panduan yang dapat membantu anda buat pilihan sesuai:

1. SEJARAH KESIHATAN

Sebelum buat keputusan, pastikan ibu ada latar belakang kesihatan yang baik tanpa sejarah penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, jantung, kencing manis atau kompilkasi dalam kelahiran terdahulu.

Sekiranya anda termasuk dalam golongan berisiko, pilih hospital bersalin yang berpengalaman dan lengkap kemudahan, alatan dan perubatan lengkap supaya semua berjalan lancar.


2. KEMUDAHAN

Kemudahan disediakan seperti wad bersalin, bilik bayi, bilik ICU untuk ibu, unit penjagaan intensif neonatal (NICU) untuk bayi dan peralatan perubatan untuk menghadapi saat kecemasan perlu diambil kira.

Pastikan hosipital yang dipilih lengkap dan mencukupi untuk rawatan ibu dan anak. Selidik dahulu kemudahan rawatan dan alat sokongan yang ada di hospital tersebut termasuk bank darah dan pakar bius.


3. BAJET

Sekiranya ada bajet tanpa had, tiada salahnya memilih hospital swasta. Bagaimanapun, lebihkan kos untuk kelahiran caesarean sebagai persediaan.

Ada baiknya anda dapatkan maklumat lengkap mengenai pakej bersalin di hospital atau klinik bersalin. Kadangkala ada kos tersembunyi di sebalik pakej ditawarkan. Misalnya, berlaku komplikasi, pasti ada caj tambahan.


4. LOKASI

Lokasi hospital turut memainkan peranan, lebih-lebih lagi jika tanda bersalin datang sebelum tarikh jangkaan dan memerlukan anda tiba di hospital dalam masa singkat. Lokasi terbaik seharusnya dekat dengan rumah.

Sekiranya berlaku komplikasi seperti pendarahan, anda boleh sampai ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan dengan segera tanpa melalui banyak halangan. Pastikan juga lokasi bersalin terletak di kawasan yang jauh dari kesesakan lalu lintas.


5. KEPAKARAN DOKTOR

Ambil tahu doktor yang bertugas di tempat pilihan sama ada mempunyai kepakaran yang diiktiraf atau sebaliknya. Perkara ini penting supaya pihak hospital mampu mengendalikan proses kelahiran dengan segera jika bayi mengalami masalah.


6. STAF TERLATIH

Terdapat sesetengah hospital swasta mempunyai jururawat dikenali sebagai ‘nursing aid’ di mana mereka dilatih ketika kerja tetapi tiada sijil kejururawatan sah.

Jadi, pastikan jururawat atau pembantu doktor mempunyai sijil diiktiraf kerana mereka dapat berbuat sesuatu jika berlaku kecemasan.


7. KESELESAAN

Beberapa soalan yang mesti dijawab sebelum membuat keputusan:

  • Selesakah dengan doktor berkenaan?
  • Adakah mudah untuk bertanya soalan kepada doktor tersebut?
  • Adakah penerangan doktor lengkap dan jelas?
  • Adakah doktor prihatin keadaan anda?
  • Apabila selesa dengan doktor itu, pasti anda mahu doktor yang sama menyambut kelahiran nanti.

Selain itu, aspek keselesaan seperti adakah anda selesa jika doktor lelaki menyambut kelahiran anak. Jika tidak, carilah khidmat doktor perempuan.


8. SUAMI ATAU IBU DI BILIK BERSALIN

Mesti tahu, prosedur wad materniti dan bilik bersalin sama ada membenarkan suami atau ibu masuk menemani ketika bersalin. Ada sesetengah hospital tidak benarkan orang lain masuk ke bilik bersalin.


9. SEBILIK DENGAN BAYI

Anda boleh selidik prosedur di hospital tersebut yang akan meletakkan bayi dengan ibu atau di ruang nurseri. Kepada yang mahu menyusukan bayi tentu mahu bayi berada di samping.


10. PENGIKTIRAFAN

Pastikan lokasi bersalin mempunyai logo pengurusan berkualiti seperti ISO9000 atau pengiktirafan daripada Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH).

Sebagai makluman, MSQH mengiktiraf hospital yang mengamalkan sikap terbuka dengan membenarkan orang luar membuat penilaian perkhidmatan rawatan dan kemudahan dimiliki.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda