PENGASUH yang membiarkan suaminya mendera fizikal serta seksual bayi perempuan berusia sembilan bulan sehingga membawa kepada kematian bayi itu jumaat lalu perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan mendapat hukuman seberat mungkin.

Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, Norsheila Abdullah berkata, wanita tersebut juga perlu dipersalahkan 100 peratus kerana membiarkan suaminya mendera bayi itu ketika dalam jagaan mereka.

BACA>>> PPIM Gesa Kerajaan Bertindak Tegas Isu Kes Dera Pusat Jagaan Kanak-Kanak

HUKUMAN BERAT BERI PENGAJARAN KEPADA ORANG LAIN

Norsheila menegaskan, tindakan seumpama itu penting supaya kelak memberi pengajaran kepada orang lain.

“Jangan hanya salahkan suami pengasuh ini, bagaimana pula dengan wanita yang sepatutnya diberikan tanggungjawab untuk menjaga bayi tersebut tetapi lalai. Bukan itu sahaja, wanita itu berdiam diri sahaja membiarkan suaminya mendera anak kecil itu. Itu namanya bersubahat, bersekongkol.

“Kedua-dua mereka sebenarnya tidak berperikemanusian. Dadah sahaja bukan satu alasan untuk membiarkan mereka ini terlepas begitu sahaja. Apa sahaja hukuman yang diberikan haruslah berat dan menjadi pengajaran kelak.

“Suspek bukan sahaja membunuh tetapi mendera bayi yang hanya berusia 9 bulan dengan sebegitu kejam dan sanggup merogolnya juga, adakah tangisan bayi itu langsung tidak didengari oleh pengasuh berkenaan? Sepatutnya dia menjaga keselamatan anak itu.

“Mengapa membiarkan sahaja lelaki itu melakukan perbuatan hina keji seperti itu begitu sahaja? Mengapa sehingga membiarkan bayi itu mengalami kecederaan serius sampai meragut nyawa? Wanita itu perlu dipersalahkan juga,” katanya.

Beliau mengulas kejadian seorang bayi perempuan berusia 9 bulan meninggal dunia kerana didera secara kejam oleh suami kepada pengasuh bayi tersebut khamis lepas di Bandar Baru Bangi.

Bayi itu bukan sahaja mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul menggunakan alat tumpul malah ada kesan koyakan baru pada selaput dara serta dubur mangsa.

RANG UNDANG-UNDANG BAHARU 

Tambah Norsheila, sudah tiba masanya untuk kerajaan merangka undang-undang yang bukan menyabitkan pelaku tetapi yang turut membantunya.

“Dalam kes ini, pengasuh merupakan isteri kepada lelaki berkenaan. Seandainya kes seperti ini berlaku dalam rumah, pengasuh serta sesiapa yang terlibat semuanya perlu dihadapkan ke muka pengadilan.

“Sesiapa yang tinggal dalam rumah dan hanya mendiamkan diri membiarkan perbuatan pelaku juga mungkin boleh dipertimbangkan untuk dihadapkan ke mahkamah. Ini sedikit sebanyak boleh membantu mengurangkan insiden seperti ini, tengok nyawa melayang begitu sahaja,” tegasnya.

BACA>>> Apakah Gangguan Seksual? Pentingkah Anak Diajar?

-GAMBAR HIASAN-

NASIHAT IBU BAPA PERIKSA LATAR BELAKANG PENGASUH 

Dalam pada itu, jelas Norsheila, ibu bapa yang mahu menggunakan perkhidmatan pengasuh juga perlu sentiasa mengambil berat tentang latarbelakang serta persekitaran tempat mereka menghantar anak-anak mereka.

“Jangan pandang ringan perkara seperti ini. Apabila nasi menjadi bubur, apakan daya anda? Fikirlah. Ini bukan perkara main-main. Ini adalah anak-anak anda. Bayangkan jika orang anda hantar itu mempunyai masalah mental seperti ini.

“Tidak kisah taska atau tadika, operator yang menjalankan premis ini juga perlu lebih fokus dan bertanggungjawab dalam memilih pengasuh yang akan menjaga anak-anak kecil ini.

“Pengasuhan di rumah perlu tahu tentang akta kanak-kanak, berwaspada di bawah akta ini, anda boleh didakwa seandainya tidak melindungi atau mengabaikan mereka.

“Undang-undang ini juga boleh diguna pakai kepada ibu bapa yang lalai dan membiarkan anak-anak mereka yang kecil tinggal berseorangan.

“Sudah tiba masa, jangan ada lagi perasaan kesian kepada golongan yang boleh membawa kepada insiden-insiden seperti ini. Cukuplah. Jangan ada kesian atau maaf kepada mereka ini,” ujarnya.

SUMBER: MalaysiaGazette

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda