POLYCYSTIC Ovary (PCOS) atau dikenali sebagai Sindrom Stein-Levanthal dianggarkan dialami kira-kira 5-10 peratus wanita dalam umur reproduktif, disebabkan ketidakseimbangan hormon dalam tubuh, iaitu terdapat lebihan hormon lelaki dan insulin dalam badan.

Mari kita baca artikel tentang PCOS menerusi perkongsian Doktor Sakit Puan, Dr Hamid Arshat di laman Facebooknya sebagai pengetahuan semua.

Status di bawah sudah disunting tanpa menjejaskan maksud kandungan asal penulis. Status sebenar boleh dirujuk pada pautan di akhir artikel. Harap maklum.


  • Polycystic Ovary (PCOS) punca sukar hamil. Ovari bengkak dan telur tidak matang.
  • Perlu ubah tabiat dan kuat azam serta berdisiplin mengawal makan dan bersenam.
  • Beli buku nota. Catat semua jenis dan amaun makanan setiap hari.
  • Catat jenis senaman setiap hari selama 30 minit.
  • Timbang berat setiap minggu. Jika masih tidak turun, kawal makanan karbohidrat dan manisan.

KAEDAH CATATAN DALAM BUKU DIDAPATI LEBIH BERKESAN.

Penyakit ini menjadi salah satu punca utama kemandulan. Semakin ramai mengalami penyakit PCOS.

GEJALA – GEJALA PCOS

  • Haid tidak teratur. Jarang datang haid, 3-6 bulan sekali.
  • Apabila datang haid, darah keluar sedikit saja atau terlalu banyak dan berpanjangan.
  • Kesannya sukar hamil atau mandul kerana telur sukar matang dan ovulasi jarang lagi.
  • Keguguran dan sering berulang kali. Sering ada kaitan dengan kencing manis.
  • Kebanyakkan pengidap PCOS gemuk atau obes.

MENGAPA SUKAR MERAWAT PCOS

1. CACAT BAKA ATAU GENETIK

Salah satu punca penyakit PCOS ialah cacat baka atau genetik, yang mana gen mengawal hormon subur adalah cacat sejak lahir. Tiada rawatan membetulkan kecacatan genetik ini. Kita bergantung dengan usaha mengubah faktor lain sahaja, ini pun banyak bergantung kepada azam dan kesungguhan pesakit PCOS.

2. GEMUK DAN OBESITI 

Kegemukan atau obesiti adalah faktor kedua penting dalam kejadian PCOS. PCOS sering dikaitkan dengan penyakit diabetes dalam keluarga. Begitu juga obesiti dikaitkan dengan diabetes dan baka. Usaha mengurangkan berat badan memang sangat sukar, mudah untuk naik berat badan, tetapi hendak turun memang perlu azam dan ketabahan.

Penurunan berat badan ialah rawatan terpenting bagi meningkatkan kesuburan di kalangan pesakit PCOS. Cara paling berkesan ialah DIET, iaitu mengurangkan makanan karbohidrat dan gula serta senaman untuk membakar lebihan gula dan lemak dalam badan.

Namun, saya dapati dua perkara di atas amat sukar diamalkan pengidap PCOS. Jika mereka sungguh-sungguh mahukan zuriat, mereka perlu kuatkan azam dan kecekalan untuk berkerja keras bagi mencapai matlamat.

Pengalaman saya lebih 40 tahun, lebih 90 peratus pengidap PCOS gagal menurunkan berat badan. Sangat penting mengubah minda dan sikap. Perlu mengaku hakikat mereka makan banyak. Hapuskan ‘denial’. Terima kenyataan. Mereka hanya bergantung kepada ubat dengan harapan mereka boleh hamil tanpa usaha.

3. TIADA UBAT UNTUK PCOS

Tiada ubat khusus untuk PCOS kerana ia rangkaian berbagai masalah termasuk rintangan insulin, ketidakseimbangan hormon antara FSH / LH, hormon testosteron tinggi, estrogen tinggi, dan progesteron rendah. Akhirnya sel-sel benih atau telur tidak dapat dimatangkan.

Seringkali ubat subur clomid dengan dos tertinggi diperlukan (200-250mg) dan jika gagal, ubat gonadotrophin secara suntikan diperlukan. Ubat ini sangat mahal harganya dan kadar kejayaan hanya 30 peratus.

Cuba betulkan edaran haid dengan makan pil Diane 35 selama 3 bulan, iaitu 3 pusingan haid. Ini bertujuan untuk mengimbangi hormon. Ada yang hamil secara spontan selepas berhenti makan pil Diane 35.

4. SUPLEMEN KURANGKAN BERAT BADAN

Kegunaan ubat-ubat suplemen boleh membantu mengurangkan berat badan, kurangkan rintangan insulin dan seterusnya mengurangkan gula dalam badan, serta mengurangkan hormon testosterone.

Saya sering beri pesakit ubat adipex, metformin, black cohosh (remifemin) dan saw palmetto. Perlu diingat, pesakit PCOS tidak boleh bergantung kepada ubat-ubat tersebut terlalu lama, mungkin antara 3-6 bulan sahaja.

5. MAKAN BANYAK BUAH, SAYUR DAN ULAM

Saya nasihatkan makan banyak buah-buahan dan sayuran serta ulam. Makanan yang banyak mengandungi bahan pengawet, perisa dan pemanis perlu dijauhkan termasuk makanan segera dan makanan ringan (junk foods). Segala kebaikan seperti vitamin, antioksidan dan logam terkandung dalam buah, sayur dan ulam.

6. JANGAN MUDAH PUTUS ASA

Jangan mudah putus asa, teruskan usaha sampai hamil. Perubahan dalam cara gaya hidup sangat penting terutama tabiat makan dan pilihan jenis makanan berzat dan berkhasiat. Pilih makanan segar tanpa diperoses, tanpa pengawet, perisa dan pemanis. Lakukan gerak tubuh atau senaman, mungkin buat joging 30 minit sehari. Lakukan senama pernafasan atau yoga untuk ketenangan, hilangkan stres dengan baca quran dan berzikir.

7. CUBA BUAT IUI

Cuba buat IUI apabila ada telur matang selepas makan clomid dos tinggi, ini mungkin boleh menambah peluang untuk hamil. Biasanya jika ada pematangan telur, kehamilan akan berlaku secara spontan tanpa memerlukan IUI.

8. LAPAROSCOPIC OVARIAN DRILLING

Laparoscopic ovarian drilling ialah kaedah pembedahan untuk menyuburkan ovari dan perlu dilakukan jika tiada pematangan telur walaupun dengan clomid dos tinggi. Rawatan ini dapat menurunkan tahap hormon testosteron yang sering mengganggu pematangan telur.

Selepas ovarian drilling, amalan pemakanan berzat dan berkhasiat amat penting; ubat subur clomid dos tinggi masih diteruskan selama 3 pusingan haid. Peluang hamil lepas rawatan ini ialah 40-50 peratus.

9. BAYI TABUNG UJI ATAU IVF

Bayi tabung uji atau IVF mungkin boleh dicuba sebagai langkah terakhir, itu pun kalau berjaya merangsang pematangan telur.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda