BERKAT kesabaran suami isteri untuk menimang cahaya mata sendiri selama 8 tahun akhirnya tercapai apabila dikurniakan bayi kembar hasil kaedah Persenyawaan In-Vitro (IVF) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Kelahiran anak kembar itu, sekali gus menjadi bayi ke-100 dan 101 dilahirkan menerusi teknik In-Vitro Fertlilization (IVF) sejak penubuhan Unit Perawatan Reproduktif di hospital itu sejak 10 tahun lalu.

Bayi kembar lelaki dan perempuan yang merupakan anak kepada pasangan Zairi Anuar Zakaria, 36, dan Nurfidiamil Razali, 35, tersebut dilahirkan selang seminit pada pukul 11.28 pagi dan 11.29 pagi, ahad lalu.

BACA>>>> Amalkan 8 Tip Ini Jika Merancang Dapat Anak Kembar

3 KALI LAKUKAN PROSEDUR IVF AKHIRNYA HAMIL

Nurfidiamil yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir berkata, dia dan suami memang merancang untuk memperoleh cahaya mata sebaik melangsungkan perkahwinan pada 2011.

Bagaimanapun katanya, ketentuan Ilahi untuk menguji kesabarannya dan pasangan mengatasi segala perancangan mereka.

“Pada tahun pertama perkahwinan kami sudah merancang untuk mendapatkan zuriat secepat mungkin, namun ketika itu kami tinggal berjauhan kerana kerja. Tahun seterusnya apabila sudah tinggal sebumbung kami masih tak ada rezeki.

“Justeru, kami mengambil keputusan mencuba pelbagai kaedah termasuk cara tradisional dan merujuk kepada klinik swasta sehingga berhabis hampir RM20,000, namun belum mendapat rezeki anak.

“Pada 2014, saya merujuk masalah dihadapi ke HSNZ dan doktor menyarankan kami mencuba kaedah Intrauterine Insemination (IUI).

“Namun, selepas empat kali menjalani prosedur berkenaan ia masih gagal,” katanya.

Nurfidiamil berkata, doktor kemudiannya mencadangkan mereka menjalani rawatan menggunakan kaedah IVF, dan selepas tiga kali menjalani prosedur berkenaan dia disahkan mengandung pada Mei tahun lalu.

“Lebih menggembirakan kami sekeluarga apabila doktor memaklumkan saya mengandungkan pasangan kembar lelaki dan perempuan, justeru saya betul-betul mengubah cara pemakanan supaya bayi dikandung kekal sihat,” katanya.

4,000 PASANGAN MENDAPAT RAWATAN SETIAP TAHUN

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata, Nurfidiamil Razali disahkan hamil setelah menjalani rawaran IVF menerusi pemindahan pembekuan embrio pada 3 Mei tahun lalu.

“Sebelum itu, pasangan Zairi Anuar dan Nurfidiamil yang sudah lapan tahun berkahwin mula mendapatkan rawatan IVF pada  2016.

“Sejak Unit Perawatan Reproduktif beroperasi di HSNZ pada tahun 2009, seramai 101 bayi secara IVF telah berjaya dilahirkan dengan kelahiran pertama pada 31 Ogos 2010,” katanya.

Mohd berkata, secara purata seramai 4,000 pasangan yang mempunyai masalah untuk memperolehi zuriat dari Terengganu, Pahang dan Kelantan telah mendapatkan rawatan di Unit Perawatan Reproduktif HSNZ tersebut pada setiap tahun.

BACA>>> 6 Senarai Hospital Kerajaan Terbaik Untuk Ibu Hamil

-GAMBAR HIASAN. SUMBER INTERNET-

HSNZ 4 KALI GANDA LEBIH MURAH DARIPADA HOSPITAL SWASTA

Menurut beliau, seramai 700 pasangan telah berjaya menjalani rawatan ART-IVF sejak 2009 dengan peratus kejayaan kini telah meningkat kepada 30 peratus.

“Caj dikenakan pula tidak melebihi RM4,000 iaitu empat kali ganda lebih murah berbanding di hospital swasta.

“Antara kriteria yang ditetapkan Kementerian Kesihatan untuk layak mendapatkan rawatan reproduktif di hospital kerajaan seperti HSNZ ialah bakal ibu berusia 42 tahun ke bawah, masih tidak mempunyai anak, tidak mempunyai penyakit berjangkit dan tiada risiko komplikasi kehamilan,” katanya.

SUMBER: K! ONLINE dan HMetro

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda