HARI yang dinanti-nanti untuk menimang cahaya mata pertama merupakan antara saat bersejarah buat semua pasangan suami isteri. Suami sudah pasti mahu teman isteri bersalin dan berada disisi sepanjang masa hingga bayi anda dilahirkan.

Mungkin, lebih memudahkan jika suami mempunyai pengetahuan tentang persediaan ini sebelum menemani isteri di wad bersalin.

Berikut kami kongsikan 10 tip buat suami yang sangat membantu anda berhadapan proses bersalinan isteri anda. Semoga bermanfaat.

BACA>>> 7 Perkara Suami Perlu Buat Sepanjang Tunggu Isteri Bersalin

Walaupun amat sukar bagi seorang suami melihat isterinya dalam kesakitan, namun kebanyakan mereka merasakan bahawa kelahiran bayi yang tunggu-tunggu adalah saat yang paling indah dalam hidup mereka, nak-nak lagi baby pertama kan?

Jadi, apakah cara yang terbaik untuk suami memberi sokongan kepada isteri dalam mengharungi detik yang mungkin yang paling mencabar dalam hidupnya?

10 TIP BUAT SUAMI KETIKA MENEMANI ISTERI BERSALIN

Berikut adalah 10 tip yang saya kongsikan kepada suami – yang saya dapat dari bapa yang sudah melalui pengalaman ini. Dipendekkan cerita, pengalaman dari bapa ke bapa yang lain.

1. PASTIKAN ANDA TAHU APA YANG ISTERI MAHUKAN

Berbincang dengan isteri anda terlebih dahulu mengenai apa yang dia mahu atau tidak mahu semasa dalam proses kelahiran. Anda adalah orang yang bertanggungjawab memaklumkan perkara ini kepada doktor atau bidan terlatih. Sebelum sakit bersalin itu datang, biasanya isteri masih lagi dapat berfikir dengan baiknya, jangan ditanya isteri masa dia tengah sakit – silap hari bulan boleh kena penumbuk!

2. BAWA BARANG KEPERLUAN ANDA SENDIRI

Semua akan menumpukan perhatian kepada isteri anda, tetapi anda juga jangan abaikan kebajikan anda sendiri. jika mahu bermalam di hospital, atau menemani isteri dalam kamar bersalin, bawa segala keperluan anda bersama. contohnya – bawa la baju sehelai dua, selipar jepun dan keperluan-keperluan lain.

Jangan lupa bawa sedikit snek dan minuman kerana anda mungkin terpaksa berada agak lama di hospital, ini yang paling penting!

3. TAHU APA YANG HARUS DIJANGKAKAN

Bila sakit bersalin sudah bermula, tidak sempat hendak google atau membaca buku panduan berkenan kelahiran.

Lebih adfhal jika anda dapat meluangkan masa menghadiri kelas-kelas antenatal bersama isteri anda dengan fikiran yang terbuka. Dengan cara ini, anda akan memperolehi maklumat mengenai proses kelahiran dan bersalin, serta dapat membuat sedikit sebanyak perancangan bagaimana hendak menghadapi hari tersebut. Tidaklah terpinga-pinga melopong bila doktor menerangkan keadaan isteri dalam dewan bersalin.

4. FLEKSIBEL

Proses kelahiran ini bukan berlaku dalam masa yang singkat. Ianya mengambil masa yang cukup lama. Anda kena bersabar dan fleksible untuk menempuh apa yang berlaku. Bukannya menggesa doktor untuk mempercepatkan proses kelahiran sebab tidak sanggup menunggu, katanya penat menunggu.

Buat pembacaan sedikit mengenai proses bersalin sebelum marah staf dewan bersalin tidak tentu pasal. Staf dewan bersalin juga manusia seperti anda, punya hati dan perasaan. Perlu masa untuk makan, ke tandas dan sebagainya.

Kami tidak kuasa sakti boleh mengeluarkan bayi segera, dan tahu bila bayi akan dilahirkan. Wallahualam.

5. CARI SESUATU UNTUK MENGALIHKAN PERHATIAN

Melahirkan anak biasanya adalah satu tugas yang sukar dan prosesnya panjang. Pada satu ketika semasa kelahiran yang panjang, anda dan isteri akan mengenalpasti sesuatu yang dia boleh fokuskan perhatiannya semasa datangnya kontraksi.

Tugas anda ialah untuk membantu isteri anda mengalihkan perhatian isteri untuk berperang dengan kesakitan ini atau dia sudah mula surrender.

contohnya – urut tapak kaki isteri, urut belakang isteri. Kaedah-kaedah lain yang anda mungkin pelajari di kelas-kelas antenatal memfokus kepada mengajar bakal-bakal ibu bagaimana menghadapi sakit bersalin menggunakan teknik-teknik bertenang dan teknik pernafasan.

6. LAKUKAN SEGALA-GALANYA SENDIRI

Walaupun ramai orang yang lebih berpengalaman di sekeliling anda yang boleh membantu, anda adalah tonggak utama yang paling penting bagi isteri anda. Buat apa sahaja dan dapatkan apa yang diperlukannya.

Tidak kiralah jika anda terpaksa berlari ke kafetaria untuk membeli gula-gula ataupun mengambilkannya segelas air, ataupun berbincang dengan doktor bagi pihaknya. Biasanya isteri dekat-dekat bersalin ini manjanya terlebih. layankan saja!

7. TAHU BATAS-BATAS ANDA

Bilik bersalin adalah tempat yang sangat sibuk dan banyak pesakit-pesakit lain sedang bertarung nyawa untuk bersalin. Pastikan anda tahu apa yang anda boleh lakukan dan apa yang perlu diserahkan kepada mereka yang lebih tahu dan bertauliah.

Jangan pula terkejut kalau orang sebelah-sebelah terpekik terlolong menahan kesakitan. Itu perkara biasa dalam dewan bersalin.

Pastikan anda jenis yang tidak mabuk darah – ada kes suami yang pengsan dalam dewan bersalin sebab lihat darah yang banyak. satu hal lagi, nak rawat isteri, kena rawat suami sekali!

8. BERSEDIA UNTUK MEMBUAT KEPUTUSAN PADA SAAT-SAAT GENTING

Hanya anda dan isteri yang tahu apa yang anda berdua mahukan, tetapi isteri anda mungkin tidak dapat membuat keputusan yang penting pada ketika itu. Bersedialah untuk melangkah ke hadapan dan membuat keputusan apabila situasi memerlukan anda berbuat demikian.

Lazimnya doktor akan menerangkan keadaan dan pilihan rawatan yang ada dalam kecemasan. Sila bekerjasama dengan doktor, berbincang dengan isteri dan berikan keputusan mengikut nasihat doktor.

Bukannya, telefon kaum kerabat di rumah, untuk meminta nasihat pada saat-saat genting. Keluarga di rumah tidak tahu menahu mengenai ape yang sedang berlaku, maka tidak perlu hiraukan mereka. Doktor hanya berbincang dengan anda dan isteri sahaja.

BACA>>> 9 Tip Legakan Rasa Sakit Saat Bersalin

9. BERSEDIA UNTUK MENUNGGU

Tidak seperti yang anda lihat dalam filem ataupun televisyen, kebanyakan wanita terpaksa menempuh sakit bersalin selama berjam-jam sebelum mereka pergi ke hospital.

Banyak pasangan yang merasakan lebih selesa berada di rumah sahaja pada peringkat awal kelahiran. Tambahan pula, banyak pusat-pusat bersalin yang lebih suka jika anda menunggu sehingga kontraksi anda lebih kerap dan jarak di antaranya lebih dekat sebelum anda mendaftar masuk.

10. BERADA DISISINYA

Rakan kelahiran merupakan perkara yang penting bagi seorang wanita yang dalam proses bersalin. Walaupun pada hari ini si bapa biasanya akan hadir, banyak hospital yang menerima sesiapa sahaja yang dipilih oleh si ibu sebagai rakan kelahiran. Ramai wanita yang meminta ibu mereka untuk membantu, jika suaminya tidak dapat menemani ketika hendak bersalin.

Bagi setiap rakan kelahiran, ini merupakan salah satu peristiwa di mana kehadiran anda adalah amat bermakna untuk wanita ini. Jangan lepas tangan nak serahkan kepada pihak hospital mentah-mentah.

Ingat, wanita yang sedang sakit bersalin, perlukan peneman di sisi. Jangan abaikan mereka. Kongsi saat indah ini bersama, supaya anda lebih menghargai isteri anda.

Kepada wanita nak bersalin itu, jangan ‘berperang’ sendirian, jom bawa sekali suami teman anda.

Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak
Pegawai Perubatan
Kesihatan wanita & Kehamilan

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda