RASA segan pula hendak menyusahkan ibu atau mertua. Semasa menimang anak pertama dulu memanglah perlu bantuan mereka sebab memang tiada pengalaman menguruskan anak kecil dan selok belok cara berpantang. Tetapi sudah masuk anak kedua dan ketiga, rasanya sudah boleh berpantang sendiri di rumah.

Kepada anda yang buat keputusan mahu berpantang sendiri di rumah, mesti ada semangat kuat. Bukan setakat semangat, stamina juga pentin. Kalau setakat ala kadar, sebaiknya mintalah bantuan orang lain yang boleh dipercayai.

Kepada yang baru kali pertama hendak berpantang sendiri selepas bersalin, kami kongsikan beberapa cara sebagai panduan.


1. BANGUN AWAL 

Pastikan bangun awal, dan bukan tengah hari ok. Jika kita mulakan kerja di awal pagi, nanti mudah kita uruskan hal-hal lain. Misalnya mandi awal pagi sebelum anak bangun hendak menyusu. Apabila badan sudah bersih dan selesa, kita boleh uruskan anak pula.

2. BERTUNGKU

Jangan lupa bertungku ketika berpantang. Sebelum mandi, panaskan dahulu batu tungku  atas dapur dengan api perlahan. Jadi selepas selesai mandi, boleh terus bertungku.

Bertungku ini sebenarnya sangat penting untuk kecutkan semula rahim dan membantu mengeluarkan darah kotor pada rahim. Lagi satu, jangan lupa pakai stokin selepas mandi.

3. BENGKUNG

Sudah siap bertungku, sapu minyak panas (kalau guna krim mustajab pun sudah ok), dan wajib berbengkung. Jangan elak bengkung, sebab ini bagus untuk mengempiskan perut dan mengembalikan bentuk badan wanita kepada asal.

Sebenarnya bukan setakat ketika pantang, jika mahu perut kempis dan ramping, amalkan pakai bengkung setiap hari.

4. SARAPAN

Sarapan awal pagi sangat penting. Jika tidak dalam keadan berpantang sekalipun, jangan lambatkan atau tinggal waktu sarapan.

5. MEMASAK

Bab memasak menu ibu berpantang mudah sahaja. Sup, nasi putih, ikan goreng atau rebus dan ulam-ulaman sikit. Untuk memudahkan kerja memasak, keluarkan siap-siap bahan yang akan dimasak.

Selepas sarapan pagi, anda sudah boleh masak untuk makan tengah hari. Tetapi kalau suami bantu kerja memasak, ini akan buatkan kerja kita lebih mudah dan kurang penat.

6. MANDIKAN ANAK

Sebaiknya mandikan anak selepas anda selesai sarapan. Ada ibu yang suka mandikan anak awal pagi dan ada yang suka lewatkan. Ini terpulanglah kepada anda hendak mandikan bayi sama ada awal pagi atau matahari sudah naik.

7. SUSUKAN ANAK

Selesai mandikan anak, boleh terus susukan dia. Bayi kecil mudah dijaga. Waktu lapar atau rasa tidak selesa sahaja dia akan bangun. Jadi, anda susukan anak hingga dia kenyang.

Cuma jika pada tempoh awal kelahiran, bayi anda terkena kuning, memang akan rasa letih. Sebabnya perlu kejut bayi setiap jam untuk disusukan.

8. CUCI PAKAIAN

Bab cuci pakaian, boleh letak semua dalam mesin basuh. Jika mahu mudah, cuci pada waktu malam kemudian minta suami jemur pada esok pagi. Tetapi jika suami tiada di rumah, anda boleh jemur sendiri.

Tetapi ingat, jika kain jemuran terlalu berat, jangan sampai memaksa diri. Buat apa yang mampu jangan sampai memudaratkan diri.

9. MAKAN TENGAH HARI

Jangan lupa atau lambatkan makan tengah hari. Ibu berpantang dan menyusu perlu makan lebih sedikit untuk tenaga tambahan. Sarapan, snek pagi, makan tengah hari, snek petang dan makan malam. Itu sudah jadi kemestian. Jangan biar perut kosong ye.

10. URUT

Jika luka bersalin sudah sembuh, boleh panggil bidan mengurut. Jika diikutkan, ada pakej ibu berpantang termasuk mengurut, memasak, siapkan kerja rumah dan lengkap segalanya. Cuma bergantung kepada kemampuan dan keperluan masing-masing.


Itulah tip jika anda mahu berpantang sendiri di rumah. Semestinya kita memerlukan bantuan suami untuk mengurus anak, mengemas rumah, beli barangan dapur dan sebagainya. Buatlah apa yang termampu dan tidak membebankan.

Selain tip berpantang, anda juga boleh semak panduan lengkap berpantang di pautan ini: 20 Panduan Lengkap Berpantang untuk Kembali Cantik dan Sihat

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda