DAPATKAN badan langsing seperti sebelum beranak memang impian semua ibu. Tetapi, tidak semua orang berjaya mendapatkan semula bentuk badan idaman mereka. Lazimnya, seseorang wanita yang hamil akan membesar bak johan dengan purata berat kira-kira 15-20kg.

Selepas bersalin, wanita itu akan hilang lebih kurang 6kg, dan kurang lagi 2-3kg selepas hilang berat air dalam badan, sebelum rahim pulih kembali kepada saiz asal.

Menyusukan bayi akan membantu mengurangkan berat badan kerana susu badan merangsang penggunaan simpanan lemak dalam tubuh dan mampu membakar lebih banyak kalori. Ingat, tempoh menguruskan badan memerlukan masa.

Jadi, jngan gelojoh mahu berdiet pada bulan-bulan awal selepas kelahiran kerana badan memerlukan tenaga dan nutrien tambahan untuk memenuhi keperluan diri dan bayi. Apa kata ikut tiga cara mudah ini yang boleh kita amalkan di mana-mana:

1. PANDUAN SENAMAN KEGEL

Mulakan rutin senaman yang ringkas dan ringan. Senaman paling mudah boleh dibuat di rumah ialah ‘senaman kegel’, yakni senaman kemutan otot faraj dan punggung yang boleh terus dimulakan sehari selepas bersalin.

Kegel penting untuk mengetatkan kembali otot lantai pelvik selepas bersalin dan dilakukan untuk menguatkan otot yang digunakan semasa buang air kecil.

Senaman ini mudah kerana boleh dilakukan di mana-mana, tanpa sesiapa mengetahuinya. dan boleh dilakukan bersama senaman ‘pelvic tilts’ (baring menelentang dan lonjakkan punggung ke atas). Cara ini dapat membantu mengempiskan perut dan menguatkan otot punggung. Cubalah.

2. MULA DENGAN BERJALAN

Inilah senaman paling mudah dilakukan – berjalan yang boleh dilakukan seisi keluarga dan juga bersama bayi. Anda boleh berjalan di taman, dan sekitar kawasan perumahan, termasuk pusat beli-belah! Bayi boleh digendong atau ditolak dalam stroler, sekali gus menambahkan lagi intensiti senaman anda.

3. PANDUAN VIDEO LEPAS BERSALIN @ POST NATAL

Jika bersedia mahu melangkah lebih lagi dan mahu bersenam secara terancang, belilah video senaman. Anda boleh juga mendaftarkan diri di mana-mana pusat gim atau kecergasan, ataupun cari pelatih peribadi khusus dalam senaman lepas bersalin atau post natal.

Anda juga boleh ikut kelas senaman regangan seperti yoga atau pilates, dan senam aerobik atau menari. Selain dapat langsing semula, senaman ini setidak-tidaknya dapat membantu anda hilangkan stres dan menyeronokkan juga!


Ada banyak pilihan senaman untuk mengembalikan kecergasan selepas bersalin, bergantung kepada minat dan juga faktor lain seperti masa dan tempat sesuai. Apapun kena beringat, kalau anda mengalami komplikasi ketika hamil, bersalin atau selepas bersalin, sila dapatkan pengesahan doktor terlebih dulu sebelum menjebakkan diri dalam apa-apa rejim senaman. 😀

SUMBER: KevinZahri.com

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda